Dapur bersih, hidup sihat: Bahaya tersembunyi papan pemotong yang diabaikan

Iklan
Gambar kecil: Nur Aina Batrisyia (bawah) dan Norliawati (atas)

Bayangkan situasi ini. Anda baru sahaja memotong ayam mentah untuk menyediakan makan malam. Selepas itu, tanpa berfikir panjang, anda terus menggunakan papan pemotong yang sama untuk menghiris buah tembikai yang segar dan sedia dimakan. Nampak seperti perkara biasa, bukan? Malah, ramai dalam kalangan kita mungkin pernah melakukannya tanpa menyedari sebarang risiko.

Namun, di sebalik rutin dapur yang kelihatan remeh ini, sebenarnya tersembunyi satu ancaman yang serius terhadap kesihatan iaitu pencemaran silang (cross-contamination). Bakteria daripada makanan mentah seperti ayam, daging dan ikan boleh berpindah dengan mudah ke makanan lain, terutamanya makanan yang tidak dimasak seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Perpindahan ini berlaku tanpa kita sedari kerana bakteria tersebut tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Akibatnya, makanan yang kelihatan bersih dan selamat sebenarnya telah tercemar dan berpotensi menyebabkan pelbagai penyakit bawaan makanan.

Iklan
Iklan

Papan pemotong merupakan antara peralatan dapur yang paling kerap digunakan dalam penyediaan makanan harian. Setiap hari, ia digunakan untuk pelbagai jenis bahan makanan. Namun begitu, papan pemotong juga merupakan salah satu tempat yang paling mudah menjadi “sarang bakteria” sekiranya tidak dibersihkan dan tidak digunakan dengan cara yang betul. Lebih membimbangkan, bahan seperti plastik yang sering dianggap selamat, murah dan praktikal sebenarnya boleh menyimpan bakteria di celah-celah calar halus pada permukaannya.

Oleh itu, adalah penting untuk kita memahami risiko sebenar di sebalik penggunaan papan pemotong yang tidak diasingkan mengikut jenis makanan. Dalam pembentangan ini, saya akan membongkar bahaya tersebut dengan lebih mendalam serta menjelaskan langkah-langkah pencegahan yang boleh diamalkan bagi memastikan keselamatan makanan dan kesihatan kita sentiasa terpelihara.

Iklan

Apakah pencemaran silang dan mengapa ia berbahaya?

Pencemaran silang berlaku apabila bakteria berbahaya berpindah dari satu makanan ke makanan lain. Biasanya ia berpindah melalui peralatan dapur seperti pisau dan papan pemotong. Situasi ini sangat biasa berlaku apabila papan yang sama digunakan untuk memotong makanan mentah dan makanan sedia dimakan tanpa pembersihan yang sempurna.

Iklan

Sebagai contoh, ayam mentah sering mengandungi bakteria seperti Salmonella dan Campylobacter. Bakteria ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun boleh menyebabkan keracunan makanan yang serius jika memasuki tubuh manusia. Selain itu, daging mentah juga boleh mengandungi bakteria seperti E. coli yang turut berbahaya kepada sistem pencernaan.

Apabila papan pemotong yang telah digunakan untuk ayam mentah tidak dibersihkan dengan sempurna, bakteria ini boleh berpindah ke makanan lain seperti sayur atau buah-buahan yang dimakan segera. Ini bermaksud makanan tersebut tidak melalui proses pemanasan yang boleh membunuh bakteria. Akibatnya, pengguna boleh mengalami simptom seperti cirit-birit, muntah, sakit perut dan demam dalam tempoh beberapa jam atau hari selepas memakan makanan tersebut.

Dalam keadaan tertentu, jangkitan ini boleh menjadi lebih serius, terutamanya kepada golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan individu dengan sistem imun yang lemah. Mereka mungkin mengalami komplikasi yang lebih teruk dan memerlukan rawatan perubatan.

Ramai individu menggunakan satu papan pemotong untuk semua jenis makanan atas faktor kemudahan, kekangan ruang atau kurangnya kesedaran. Namun, amalan ini sebenarnya meningkatkan risiko pencemaran silang secara mendadak.

Setiap jenis makanan mempunyai tahap risiko yang berbeza. Daging dan ayam mentah biasanya mengandungi bakteria yang jumlahnya agak tinggi. Ikan pula mempunyai mikroorganisma dan mudah meninggalkan bau yang kuat. Dalam masa yang sama, sayur-sayuran dan buah-buahan selalunya dimakan mentah tanpa proses memasak.

Apabila semua jenis makanan ini diproses di atas papan yang sama, bakteria daripada makanan mentah boleh mencemari makanan lain. Selain itu, bau daripada ikan atau daging juga boleh melekat pada buah-buahan dan sayur-sayuran, sekali gus menjejaskan rasa dan kualiti makanan.

Oleh itu, pakar keselamatan makanan menyarankan penggunaan papan pemotong yang berasingan mengikut kategori makanan. Sistem kod warna sering digunakan dalam industri makanan, seperti merah untuk daging, kuning untuk ayam, biru untuk ikan dan hijau untuk sayur-sayuran serta buah-buahan. Amalan ini membantu mengurangkan risiko pencemaran silang dengan lebih sistematik.

Adakah terdapat risiko menggunakan papan pemotong plastik?

Kebanyakan masyarakat di Malaysia menggunakan papan pemotong plastik kerana ia ringan, murah dan mudah didapati di pasaran. Namun, di sebalik kelebihannya, terdapat beberapa risiko yang sering diabaikan oleh pengguna.

Antaranya ialah calar halus yang menyimpan bakteria. Setiap kali pisau digunakan di atas papan plastik, permukaannya akan mengalami calar halus. Lama-kelamaan, calar ini menjadi semakin banyak. Celahan kecil ini merupakan tempat ideal untuk bakteria berkumpul dan membiak. Walaupun papan tersebut kelihatan bersih selepas dicuci, bakteria mungkin masih tersembunyi di dalamnya.

Selain itu, risikonya juga boleh menyebabkan mikroplastik berada dalam makanan kita. Penggunaan berterusan boleh menyebabkan permukaan papan plastik terhakis dan menghasilkan serpihan kecil yang dikenali sebagai mikroplastik. Serpihan ini berpotensi memasuki makanan tanpa kita sedari. Walaupun kajian mengenai kesan jangka panjang masih dijalankan, pendedahan berterusan terhadap mikroplastik boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan.

Seterusnya, ia boleh menyebabkan penyerapan bau dan warna. Papan plastik juga cenderung menyerap bau dan warna daripada makanan seperti bawang, ikan dan kunyit. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan rasa makanan lain, malah menunjukkan bahawa sisa daripada penggunaan sebelumnya masih tertinggal pada permukaan papan.

Selain plastik, adakah terdapat bahan lain yang boleh dijadikan papan pemotong?

Terdapat beberapa jenis papan pemotong selain daripada bahan jenis plastik. Papan pemotong kayu sering dianggap lebih selamat dalam beberapa aspek. Kajian menunjukkan bahawa kayu mempunyai sifat antibakteria semula jadi yang boleh membantu mengurangkan pertumbuhan bakteria.

Selain itu, permukaannya kurang menghasilkan calar dalam yang boleh memerangkap bakteria. Namun begitu, papan kayu memerlukan penjagaan yang rapi seperti pengeringan yang betul dan tidak dibiarkan lembap terlalu lama.

Terdapat juga papan pemotong yang diperbuat daripada bahan seperti besi atau stainless steel. Walau bagaimanapun, bahan ini kurang sesuai untuk kegunaan harian kerana boleh merosakkan mata pisau dengan cepat, menghasilkan bunyi yang kuat serta meningkatkan risiko kecederaan. Permukaan yang terlalu keras juga menyebabkan pisau mudah tergelincir semasa digunakan.

Ini menunjukkan bahawa tiada bahan yang benar-benar bebas risiko. Apa yang lebih penting ialah cara penggunaan, kebersihan dan penyelenggaraan papan pemotong tersebut.

Apakah kesan kesihatan yang mungkin akan berlaku?

Penggunaan papan pemotong yang sama untuk pelbagai jenis makanan tanpa dibersihkan atau diasingkan dengan betul boleh menyebabkan pencemaran silang. Amalan ini boleh membawa kepada pelbagai penyakit bawaan makanan yang memberi kesan serius terhadap kesihatan.

Antara kesan yang mungkin berlaku ialah keracunan makanan. Apabila bakteria seperti Salmonella, E. coli atau Campylobacter berpindah ke makanan lain, individu yang memakannya boleh mengalami keracunan makanan. Gejala yang mungkin akan terjadi ialah loya, muntah, sakit perut dan cirit-birit.

Kesan seterusnya ialah seorang individu itu akan mengalami dehidrasi akibat cirit-birit teruk. Cirit-birit yang berpanjangan boleh menyebabkan kehilangan air dan elektrolit dalam badan secara mendadak. Keadaan ini boleh mengakibatkan dehidrasi, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas.

Di samping itu, kesannya juga boleh menyebabkan jangkitan bakteria dalam usus. Bakteria yang masuk ke dalam sistem penghadaman boleh menyebabkan keradangan usus dan gangguan pencernaan. Ini boleh mengakibatkan sakit perut yang berpanjangan dan ketidakselesaan.

Selain itu, ia boleh memberi kesan menjejaskan kualiti makanan. Makanan yang tercemar bukan sahaja berbahaya, malah boleh menjejaskan rasa, bau dan kualitinya. Ini boleh menyebabkan pembaziran makanan.

Dalam kes yang lebih serius, pesakit mungkin memerlukan rawatan di hospital jika jangkitan tidak dirawat dengan segera.

Apakah yang boleh dilakukan untuk mengelak daripada masalah ini?

Bagi mengurangkan risiko pencemaran silang, beberapa langkah mudah boleh diamalkan dalam kehidupan seharian:

Langkah pertama ialah kita perlu asingkan papan pemotong. Gunakan sekurang-kurangnya dua papan pemotong yang berbeza. Satu untuk makanan mentah dan satu lagi untuk makanan sedia dimakan.

Kemudian, kita perlu membersihkan papan pemotong dengan betul. Bersihkan papan pemotong menggunakan air panas dan sabun selepas setiap penggunaan bagi memastikan tiada sisa makanan atau bakteria tertinggal.

Seterusnya, kita perlu keringkannya sebelum simpan di tempat yang tidak lembap. Papan yang lembap mudah menjadi tempat pembiakan bakteria. Oleh itu, pastikan ia dikeringkan dengan sempurna sebelum disimpan.

Selepas itu, kita harus gantikan papan yang rosak dengan papan yang baru. Papan yang mempunyai banyak calar atau retakan perlu diganti kerana ia boleh menyimpan bakteria.

Akhir sekali, kita juga digalakkan mengamalkan kebersihan tangan mengikut tujuh langkah yang telah diwar-warkan Kementerian Kesihatan Malaysia. Kita wajib membasuh tangan sebelum dan selepas mengendalikan makanan. Tangan manusia boleh membawa pelbagai jenis bakteria, oleh itu kebersihan tangan amat penting dalam mencegah pencemaran silang.

Kesimpulan: Apakah yang boleh diambil daripada artikel ini?

Secara keseluruhannya, penggunaan papan pemotong yang tidak diasingkan mengikut jenis makanan serta pengabaian aspek kebersihan bukanlah perkara kecil yang boleh dipandang ringan. Walaupun kelihatan remeh dalam rutin harian di dapur, amalan ini sebenarnya membuka ruang kepada pencemaran silang yang boleh membawa kepada pelbagai penyakit bawaan makanan.

Selain itu, penggunaan papan pemotong plastik secara berterusan juga mempunyai risiko tersendiri seperti pengumpulan bakteria dalam calar halus dan berpotensi terdedah kepada mikroplastik. Walaupun terdapat alternatif seperti papan kayu atau bahan lain, setiap jenis mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.

Kesan daripada kecuaian ini boleh menjadi serius, terutamanya kepada golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai sistem imun yang lemah. Dalam keadaan tertentu, ia boleh membawa kepada komplikasi kesihatan yang memerlukan rawatan perubatan.

Oleh itu, langkah pencegahan seperti mengasingkan papan pemotong, mencuci dengan betul, keringkan ia sebelum disimpan serta menggantikan papan yang telah rosak perlu dijadikan amalan harian. Kebersihan tangan juga memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan makanan.

Akhir kata, keselamatan makanan bermula daripada kesedaran dan disiplin dalam melakukan perkara kecil. Jangan biarkan sikap sambil lewa menjadi punca kepada masalah kesihatan yang lebih besar. Dapur yang bersih bukan sahaja menghasilkan makanan yang sedap, tetapi juga menjamin kesejahteraan diri dan orang yang kita sayangi.

Maklumat penulis:

1. Mahasiswi Tahun Dua, (S75703) Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Aina Batrisyia Asif

2. Pensyarah Kursus Kimia dan Masyarakat Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Norliawati Mohd Sidek