Bukan sekadar bantuan tunai: Mengaplikasi Fiqh al-Muwazanat dalam revolusi Mikrokredit Zakat

Iklan
Apabila usahawan asnaf berjaya, mereka bukan sahaja dapat menjadi pembayar zakat, malah menjadi inspirasi kepada asnaf lain untuk turut berjaya. Gambar kecil: Syarifah Nadhirah (atas) dan Dr Jaharudin (bawah)

Dalam meniti arus kemodenan ekonomi pada masa kini, isu berkaitan dengan kemiskinan tegar dalam kalangan rakyat di Malaysia masih menjadi perbualan umum.

Selama bertahun lamanya, institusi zakat Malaysia telah berusaha dalam memastikan kebajikan golongan asnaf terjaga dari segi bantuan tunai atau hibah.

Iklan
Iklan

Namun cetus persoalan, adakah zakat ini sekadar bantuan dalam menjamin kelangsungan hidup jangka pendek atau perlukah pihak tertentu menyediakan inisiatif lain dalam mencapai kelestarian yang memberi kemandirian jangka panjang?

Konsep Mikrokredit Zakat & Qardhul Hassan

Iklan

Persoalan tersebut telah mencetuskan satu revolusi iaitu dengan mewujudkan skim Qardhul Hassan atau Tabung Mikrokredit Zakat (MZF) untuk membantu peniaga asnaf dengan memberikan pinjaman modal perniagaan daripada dana zakat.

MZF ini merupakan salah satu inisiatif yang memastikan pinjaman tersebut dibayar balik tanpa sebarang faedah supaya ia boleh digunakan untuk membantu asnaf yang lain.

Iklan

Matlamat MZF ini adalah untuk memastikan golongan asnaf tidak berada di dalam kepompong kemiskinan malah menjadi Muzakki (pembayar zakat) suatu hari nanti.

Ia selari dengan ayat 11 dalam surah Al-Hadid yang menggesa umat Islam untuk bersedekah dan berinfak di jalan ALLAH. Amalan ini disamakan seperti memberi 'pinjaman yang baik' kepadaNya.

Perdebatan: Menolak atau Menerima?

Pada bahagian dapatan kajian dalam jurnal yang ditulis oleh Fathullah Hasni, Mohamad Ihsan Zulkifli dan Yusairi Yusli, membuktikan terdapat sesetengah pihak yang menyokong dan menolak MZF ini.

Pihak yang menyokong MZF menyatakan bahawa ia selari dengan maqasid (tujuan) zakat dalam membantu asnaf keluar dari belenggu kemiskinan. Ia menunjukkan ijtihad (usaha) kontemporari yang dilakukan oleh pihak zakat sesuai mengikut peredaran masa.

Pada 2021, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) perkenalkan zakat mikro kewangan melalui Program Smart Sawah pada tahun 2021 untuk membantu meningkatkan pendapatan golongan asnaf di Kedah.

Ia membuktikan bahawa zakat ini bukan sahaja sebagai bantuan namun sebagai pemacu pembangunan ekonomi dan kebajikan sosial golongan asnaf.

Namun terdapat pihak yang menegaskan bahawa MZF ini perlu diberikan secara tamlik (pemilikan penuh) bukan sebagai pinjaman.

Sebahagian fatwa negeri menekankan bahawa zakat adalah bantuan dan bukan dana yang membebankan asnaf.

Pihak ini bimbang jika golongan asnaf dibebani dengan hutang dan menyatakan MZF ini tidak selari dengan hukum asal zakat.

Pertimbangan maslahah melalui Fiqh Al-Muwazanat

Meskipun revolusi ini mencetuskan pelbagai perdebatan, namun ia diperkukuh melalui prinsip Fiqh al-Muwazanah (Fiqh Pertimbangan) yang menimbang tara antara mendapatkan maslahah (kebaikan) atau mengelakkan mafsadah (keburukan) jangka panjang.

Dalam surah al-Hasyr ayat 7 menerangkan"...supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang kaya di kalangan kamu..." 

Ayat ini dengan jelas menerangkan pentingnya memberi peluang ekonomi kepada golongan asnaf agar tidak berlaku penindasan.

Dalam erti kata lain, jika zakat ini deberikan sebagai bantuan sahaja, ia membantu asnaf dalam jangka masa pendek yang membawa kepada mafsadah (keburukan) kerana terlalu bergantung kepada bantuan zakat.

Namun, MZF mampu memberi maslahah (kebaikan) berterusan kerana golongan asnaf ini berusaha membangunkan perniagaan mereka hasil pinjaman modal dan dana zakat ini akan sentiasa berputar untuk membantu asnaf yang lain.

Fiqh al-Muwazanah jelas membuktikan bahawa MZF ini mampu memberi kebaikan yang berpanjangan untuk ekonomi ummah tanpa berpaksi kepada bantuan zakat semata-mata.

Dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiah, Nabi Muhammad SAW juga mementingkan maslahah jangka panjang ketika menghadapi kaum Kafir Quraisy.

Baginda sanggup memadam nama Baginda Muhammad Rasullah dan diganti dengan Muhammad bin Abdullah.

Dalam pada itu, Baginda turut menyetujui bahawa perkataan Bismillahirrahmanirrahim ditukar kepada Bismikallahumma pada surat perjanjian yang dituntut oleh Kafir Quraisy.

Pengorbanan yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW dalam menitikberatkan maslahah jangka panjang akhirnya membawa kepada kemenangan umat Islam (Pembukaan Kota Makkah).

Ekosistem ummah: Latihan dan panduan perniagaan

Bagi memastikan bahawa revolusi MZF ini mampu memberikan kesan jangka panjang yang positif, institusi zakat di Malaysia tidak boleh menyalurkan pinjaman semata-mata tanpa sebarang panduan dan pantaun.

Ia mampu meningkatkan Risiko kegagalan perniagaan kerana kurang ilmu pengurusan perniagaan.

Justeru, bagi asnaf yang ingin memulakan perniagaan dengan bantuan MZF ini, institusi zakat harus mewajibkan mereka menjalani latihan keusahawanan yang komprehensif, bimbingan serta pemantauan secara berkala.

Pemantauan secara berkala dan berterusan mampu mengelakkan isu ketirisan dan salah guna wang berlaku semasa golongan asnaf menjalankan perniagaan mereka.

Sebagai contoh, Lembaga Zakat Selangor, LZS memberikan bantuan modal, latihan, dan projek usahawan secara berkelompok.

Di samping itu, Baitulmal MAIWP pula memberikan bantuan seperti peralatan, modal perniagaan, serta latihan.

MZF ini bukan sahaja berfokus dalam memberi bantuan, namun ia juga melihat ke arah dalam menjalinkan kerjasama dengan syarikat atau institusi perniagaan di Malaysia seperti Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dan juga INSPEN.

Kerjasama ini sekali gus meningkatkan kemampuan golongan asnaf dalam mengembangkan perniagaan mereka atas sokongan dan bantuan yang diberikan.

Kesimpulannya, Fiqh al-Muwazanat telah berjaya membuktikan bahawa MZF ini bukanlah pinjaman tunai yang membebankan asnaf namun ia merupakan kebaikan berpanjangan tertuama sekali terhadap sistem zakat di Malaysia dan individu itu sendiri.

Ia masih berfokus pada kebajikan golongan asnaf namun ia telah diselarikan mengikut kesesuaian peredaran masa lebih-lebih lagi dalam keadaan kegawatan ekonomi yang berlaku hari ini.

Pinjaman modal ini bukanlah untuk membebankan golongan asnaf, tetapi mengajar agar tidak terlalu bergantung kepada bantuan sara diri sahaja.

Selaras dengan matlamat Malaysia dalam mengeluarkan lebih ramai usahawan yang berjaya kelak.

Apabila terdapat usahawan asnaf yang berjaya, ini dapat menjadikan mereka sebagai pembayar zakat yang menjadi inspirasi kepada golongan asnaf yang lain sekali gus dapat membantu asnaf yang lain untuk turut berjaya bersama-sama.

Meskipun peruntukan yang diberikan oleh institusi zakat tidak mencukupi, namun dengan usaha, doa dan semangat ia tidak akan sesekali menghampakan mereka yang ingin berjaya.

Maklumat penulis:

1) Mahasiswa Tahun Dua, Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Syarifah Nadhirah Sol

2) Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my