Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) menzahirkan rasa dukacita atas pemergian seorang murid yang dilaporkan meninggal dunia di sebuah sekolah di negeri ini pada hari ini.
JPNS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga murid berkenaan dan mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta dicucuri rahmatNya.
Malah, jabatan turut berharap agar keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi saat yang amat sukar ini.
Menurut kenyataan media, JPNS dan semua pihak berkaitan memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang sedang berjalan.
"JPNS juga telah memulakan siasatan dalaman bagi meneliti setiap perkara berkaitan.
"Keutamaan JPNS ketika ini adalah memastikan kebajikan keluarga murid yang terlibat sentiasa diberikan perhatian sewajarnya.
"Selain itu, perkhidmatan sokongan psikososial turut digerakkan bagi membantu warga sekolah yang terkesan," kongsi kenyataan itu pada Jumaat.
Sementara itu, JPNS memohon semua pihak untuk memberi ruang dan menghormati sensitiviti keluarga yang sedang berhadapan keadaan sukar pada ketika ini.