Belakangan ini, pasaran domestik menyaksikan lonjakan yang luar biasa dalam industri produk yang berteraskan imej Islam.
Daripada pelbagai jenama pakaian patuh syariah, kosmetik mesra wuduk, sehinggalah kepada produk suplemen kesihatan berasaskan makanan sunnah kesemuanya mendapat tempat yang sangat istimewa di hati pengguna Muslim di Malaysia.
Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memilih produk yang suci dan halal kini berada pada tahap yang lebih tinggi berbanding dekad lalu.
Bagaimanapun, di sebalik label 'patuh syariah' dan imej Islamik yang ditonjolkan oleh para pengasas produk, timbul satu persoalan penting yang jarang dibincangkan secara meluas oleh masyarakat.
Adakah status halal itu hanya sekadar diletakkan pada produk atau proses pembuatan fizikal semata-mata atau turut merangkumi cara sumber manusia dan pekerja di dalamnya dilayan?
Realitinya, wujud satu paradoks yang membimbangkan apabila ada segelintir entiti perniagaan Islam yang begitu teliti menjaga status kebersihan rantaian bekalan bahan mentah mereka agar lulus audit syariah, namun pada masa yang sama culas dan mengabaikan kebajikan pekerja bawahan yang menjadi tulang belakang operasi syarikat.
Dalam kerangka Ekonomi Islam yang syumul, konsep halalan tayyiban yang bermaksud halal lagi baik mempunyai dimensi yang jauh lebih luas daripada aspek teknikal atau fizikal sesuatu produk semata-mata.
Konsep ini menuntut keseluruhan rantaian bekalan dan ekosistem perniagaan dijalankan secara beretika, telus dan bebas daripada sebarang unsur kezaliman.
Sesuatu produk tidak boleh dianggap mencapai status tayyib yang bermaksud baik dan berkualiti, sekiranya proses pengeluarannya melibatkan penindasan terhadap hak pekerja dan manusia yang lain.
Hal ini selaras dengan firman ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 168 yang memerintahkan sekalian manusia untuk memakan daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.
Ayat ini jika diteliti bukan sahaja menyentuh tentang apa yang masuk ke dalam perut, tetapi merupakan satu arahan sistemik agar sistem muamalat dan kaedah perolehan harta itu sendiri bersih daripada sebarang elemen pengorbanan hak orang lain.
Oleh itu, syarikat yang memilih untuk menggunakan imej Islamik sebagai identiti korporat mereka memikul beban moral yang lebih besar untuk memastikan kehalalan produk mereka bergerak seiring dengan kehalalan tadbir urus kemanusiaan di dalam organisasi.
Menjaga kebajikan pekerja bukanlah satu bentuk ihsan atau sedekah yang boleh dibuat mengikut budi bicara majikan, sebaliknya merupakan satu tuntutan syariah yang wajib dipenuhi.
Di sinilah terletaknya kepentingan prinsip Al-'Adl yang bermaksud keadilan dan Ihsan yang membawa erti berbuat kebaikan dalam ekonomi Islam.
Prinsip keadilan menuntut majikan memberikan hak yang selayaknya kepada pekerja tanpa dikurangkan sedikit pun, termasuklah pembayaran upah yang setimpal dengan skop kerja, penyediaan persekitaran kerja yang selamat serta pematuhan hak undang-undang seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Sementara itu, prinsip Ihsan pula mendorong majikan melayani pekerja dengan penuh nilai kemanusiaan, bertoleransi dan tidak membebankan mereka dengan tugasan di luar had kemampuan mental atau fizikal tanpa ganjaran yang sewajarnya.
Sistem Ekonomi Islam meletakkan maruah pekerja di tempat yang sangat mulia kerana titik peluh mereka merupakan penggerak utama kepada kemakmuran ekonomi sesebuah masyarakat.
Penegasan terhadap hak ini dapat dilihat dengan melalui hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, di mana baginda bersabda agar dibayarkan upah kepada pekerja sebelum kering peluhnya.
Hadis yang ringkas tetapi mendalam ini secara tegas melarang sebarang bentuk penangguhan upah yang sengaja dilakukan oleh pihak pengurusan.
Tindakan menahan upah, melengahkan pembayaran gaji atau mengurangkan hak pekerja secara tidak adil demi mencapai keuntungan yang lebih tinggi jelas bertentangan dengan prinsip ekonomi Islam.
Perbuatan sedemikian bukan sahaja menjejaskan kebajikan pekerja, malah mencerminkan kegagalan melaksanakan konsep Amanah yang menjadi asas penting dalam pengurusan harta dan perniagaan.
Harta dan perniagaan adalah amanah yang telah dititipkan oleh ALLAH dan setiap majikan bertanggungjawab memastikan hak pekerja dipelihara dengan adil serta berintegriti.
Namun demikian, dalam dunia perniagaan moden yang dipenuhi persaingan sengit, prinsip-prinsip ini sering kali berdepan cabaran untuk dilaksanakan secara menyeluruh.
Tekanan untuk mengurangkan kos operasi dan keinginan meningkatkan keuntungan boleh menyebabkan segelintir majikan Muslim mengambil jalan pintas dengan mengabaikan hak-hak pekerja buruh.
Dalam sesetengah keadaan, terdapat pekerja yang diminta memberikan komitmen kerja melebihi skop tugas asal tanpa ganjaran yang setimpal, malah ada yang diasak dengan alasan moral atau keagamaan bagi menggalakkan mereka terus berkorban demi kepentingan organisasi.
Keadaan seperti ini perlu dinilai secara kritis kerana Islam tidak pernah menghalalkan pengorbanan hak pekerja atas nama agama.
Sebaliknya, setiap bentuk sumbangan dan pengorbanan hendaklah disertai dengan keadilan serta penghormatan terhadap hak individu.
Jika imej Islamik hanya dijadikan strategi pemasaran untuk menarik sokongan pengguna Muslim, sedangkan kebajikan pekerja tidak diberikan perhatian yang sewajarnya, maka nilai yang dipamerkan tidak selari dengan semangat sebenar ekonomi Islam yang menuntut keseimbangan antara keuntungan dan tanggungjawab sosial.
Dari sudut falsafah perundangan Islam, pengabaian terhadap kebajikan pekerja boleh menjejaskan pencapaian objektif utama syariat iaitu Maqasid Syariah.
Dua daripada lima tunjang utama dalam Maqasid Syariah adalah Hifz al-Nafs yang bermaksud menjaga jiwa atau nyawa dan Hifz al-Mal yang bermaksud menjaga harta.
Usaha menjaga kebajikan pekerja, termasuk memastikan kesihatan mental dan fizikal mereka terjaga melalui persekitaran kerja yang selamat dan waktu kerja yang munasabah adalah sebahagian daripada tuntutan menjaga kesejahteraan manusia.
Manakala pembayaran upah yang adil, telus dan tepat pada masanya pula adalah bentuk perlindungan terhadap harta pekerja agar mereka dapat menyara kehidupan diri dan keluarga dengan bermaruah.
Organisasi yang menampilkan identiti atau nilai Islam perlu memastikan kebajikan pekerja diberikan perhatian yang sewajarnya.
Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pekerja, malah boleh menyumbang kepada pelbagai masalah sosial dan ekonomi yang bertentangan dengan semangat keadilan yang ditekankan dalam Islam.
Bagi menangani isu ini secara lebih berkesan, satu anjakan paradigma yang menyeluruh diperlukan daripada semua pihak yang terlibat dalam ekosistem pasaran.
Para majikan Muslim perlu sedar bahawa keberkatan atau barakah dalam perniagaan bukan hanya diukur melalui peningkatan keuntungan tetapi juga melalui cara pekerja dilayan dan hak mereka dipelihara.
Keuntungan yang diperoleh hendaklah bergerak seiring dengan prinsip keadilan, amanah dan tanggungjawab sosial yang dianjurkan oleh Islam.
Selain itu, pihak berkuasa boleh memperkukuhkan kerjasama antara institusi berkaitan halal dan agensi yang bertanggungjawab terhadap kebajikan pekerja seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Langkah ini penting bagi menggalakkan budaya perniagaan yang bukan sahaja menitikberatkan pematuhan syariah dalam pengeluaran produk, malah turut memberi perhatian kepada aspek kebajikan dan hak pekerja.
Dalam masa yang sama, pengguna juga boleh memainkan peranan melalui amalan penggunaan beretika dengan menyokong syarikat yang menunjukkan komitmen terhadap kebajikan pekerja dan tanggungjawab sosial.
Secara keseluruhannya, penjenamaan Islamik dalam dunia perniagaan hari ini merupakan satu perkembangan yang positif, namun menuntut akauntabiliti yang tinggi di sisi undang-undang dan agama.
Perniagaan Islam yang sebenar bukan sekadar mengejar keuntungan tetapi turut menitikberatkan kesejahteraan manusia yang terlibat dalam proses pengeluaran dan perkhidmatan.
Kepatuhan syariah yang sebenar perlu diterjemahkan dalam bentuk keadilan, amanah dan penghormatan terhadap hak pekerja.
Sudah tiba masanya masyarakat menyedari bahawa status halal pada sesuatu produk mestilah disertai dengan status halal pada pengurusan dan layanan terhadap kebajikan para pekerja demi melahirkan sebuah ekonomi yang membawa rahmat kepada seluruh masyarakat.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Dua, Program Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Siti Nurzakirah Muhammad Rusli
2) Pensyarah Kanan merangkap Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam UMT, Dr Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my