Hak nafkah wanita dan anak selepas penceraian dalam perspektif ekonomi Islam

Iklan
Gambar hiasan

Institusi keluarga merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Dalam Islam, perkahwinan bukan sahaja bertujuan memenuhi tuntutan fitrah manusia, malah berperanan mewujudkan kehidupan yang dipenuhi kasih sayang, tanggungjawab dan kerjasama antara suami isteri.

Namun, tidak semua perkahwinan dapat dipertahankan sehingga ke akhir hayat. Apabila berlaku perceraian, pelbagai isu akan timbul termasuklah berkaitan hak dan kebajikan wanita serta anak-anak. Antara isu yang sering mendapat perhatian ialah kegagalan bekas suami menunaikan tanggungjawab nafkah selepas perceraian.

Iklan
Iklan

Isu nafkah selepas perceraian semakin penting untuk dibincangkan kerana kadar perceraian di Malaysia menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 60,457 kes perceraian direkodkan pada tahun 2024 berbanding 58,095 kes pada tahun 2023. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 47,577 kes melibatkan pasangan Islam.

Iklan

Peningkatan ini menunjukkan bahawa semakin ramai wanita dan anak-anak berdepan risiko ketidakstabilan ekonomi sekiranya hak nafkah tidak ditunaikan dengan sewajarnya. Oleh itu, isu nafkah bukan lagi sekadar masalah individu atau keluarga, malah

telah menjadi isu sosial dan ekonomi yang memerlukan perhatian pelbagai pihak. Dalam Islam, nafkah merujuk kepada pemberian keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan penjagaan kesihatan kepada individu yang berada di bawah tanggungan seseorang. Nafkah merupakan kewajipan yang telah ditetapkan oleh syarak dan bukannya satu pilihan.

Iklan

Semasa perkahwinan, suami bertanggungjawab menyediakan nafkah kepada isteri dan anak-anak mengikut kemampuan. Walaupun berlaku perceraian, tanggungjawab terhadap anak-anak tetap tidak terputus kerana mereka masih memerlukan

sokongan kewangan untuk meneruskan kehidupan dan mendapatkan pendidikan yang sempurna. Kewajipan memberi nafkah telah dijelaskan dengan jelas dalam Al-Quran.

ALLAH SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud:"Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya".

Selain itu, ALLAH SWT turut berfirman dalam Surah At-Talaq ayat 7 yang bermaksud:"Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya, dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah daripada apa yang diberikan ALLAH kepadanya. ALLAH tidak membebani seseorang melainkan menurut apa yang diberikan-Nya kepadanya".

Ayat-ayat ini menunjukkan bahawa Islam mengambil berat terhadap kebajikan wanita dan anak-anak serta menegaskan bahawa kewajipan nafkah perlu ditunaikan mengikut kemampuan seseorang. Walaupun keadaan ekonomi seseorang berubah, tanggungjawab tersebut tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Selain al-Quran,

Rasulullah SAW juga menegaskan kepentingan menjaga kebajikan ahli keluarga. Baginda bersabda:

"Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa apabila dia mensia-siakan orang yang berada di bawah tanggungannya". (Riwayat Abu Daud)

Hadis ini menunjukkan bahawa pengabaian nafkah merupakan satu perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Seseorang yang gagal memenuhi tanggungjawab terhadap ahli keluarganya bukan sahaja menjejaskan kehidupan mereka, malah turut melakukan kesalahan dari sudut agama.

Dari perspektif ekonomi Islam, nafkah memainkan peranan penting sebagai mekanisme pengagihan kekayaan dalam institusi keluarga. Sistem ekonomi Islam bukan hanya menumpukan kepada keuntungan dan pemilikan harta, tetapi juga menekankan keadilan sosial serta kebajikan masyarakat.

Melalui pelaksanaan nafkah, sumber ekonomi dapat diagihkan secara lebih seimbang kepada golongan yang memerlukan, khususnya wanita dan anak-anak yang menjadi tanggungan selepas perceraian.

Selain itu, kewajipan nafkah juga selaras dengan konsep Maqasid Syariah, khususnya dalam aspek pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl) dan pemeliharaan harta (hifz al-mal).

Pemeliharaan keturunan bertujuan memastikan anak-anak membesar dalam persekitaran yang baik dan mendapat keperluan yang mencukupi, manakala pemeliharaan harta pula memastikan sumber ekonomi digunakan secara adil dan bertanggungjawab. Oleh itu, pelaksanaan nafkah

bukan sekadar memenuhi tuntutan agama, malah membantu mencapai matlamat syariah dalam mewujudkan masyarakat yang sejahtera. Walau bagaimanapun, realiti yang berlaku pada hari ini menunjukkan bahawa masih terdapat banyak kes tunggakan nafkah dalam kalangan masyarakat. Ada bekas suami yang gagal

membayar nafkah kerana masalah kewangan, namun terdapat juga yang sengaja mengabaikan tanggungjawab tersebut walaupun mempunyai kemampuan. Situasi ini menyebabkan ramai ibu tunggal terpaksa menanggung keseluruhan kos kehidupan keluarga secara bersendirian.

Mereka perlu menyediakan makanan, tempat tinggal, pakaian dan pendidikan anak-anak tanpa bantuan yang mencukupi daripada bekas suami.

Kesan pengabaian nafkah amat besar terhadap kehidupan wanita dan anak-anak. Dari sudut ekonomi, ibu tunggal berdepan tekanan kewangan yang tinggi, terutama dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Mereka mungkin terpaksa bekerja lebih masa atau melakukan beberapa pekerjaan bagi menampung keperluan keluarga. Dalam sesetengah

keadaan, mereka juga terpaksa bergantung kepada bantuan zakat, bantuan kebajikan atau sokongan ahli keluarga untuk meneruskan kehidupan. Anak-anak pula merupakan golongan yang paling terkesan apabila nafkah tidak diberikan.

Kekurangan sumber kewangan boleh menjejaskan peluang mereka mendapatkan pendidikan yang berkualiti, kemudahan kesihatan yang baik dan persekitaran hidup yang selesa.

Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menyebabkan mereka terus berada dalam kitaran kemiskinan dan menghadapi kesukaran untuk meningkatkan taraf hidup pada masa hadapan.

Selain memberi kesan kepada keluarga, pengabaian nafkah juga memberi implikasi kepada ekonomi negara. Apabila semakin ramai wanita dan anak-anak memerlukan bantuan daripada institusi zakat dan agensi kebajikan, beban kewangan yang ditanggung oleh institusi tersebut akan meningkat.

Keadaan ini menunjukkan bahawa kegagalan individu melaksanakan tanggungjawab nafkah akhirnya memberi kesan kepada masyarakat secara keseluruhan. Bagi mengatasi masalah ini, pelbagai langkah perlu dilaksanakan.

Antaranya ialah memperkukuh penguatkuasaan perintah nafkah oleh Mahkamah Syariah supaya individu yang ingkar dapat dikenakan tindakan yang lebih tegas.

Selain itu, penggunaan sistem digital dalam urusan tuntutan dan pemantauan pembayaran nafkah perlu diperluaskan bagi mempercepatkan proses serta mengurangkan birokrasi.

Langkah seperti potongan gaji secara automatik juga boleh dipertimbangkan bagi memastikan nafkah dibayar secara konsisten kepada pihak yang berhak menerimanya.

Di samping itu, pendidikan mengenai tanggungjawab kewangan keluarga perlu diperkasakan dalam kalangan masyarakat. Program praperkahwinan yang dijalankan oleh pihak berkuasa agama boleh menekankan kepentingan nafkah dan tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak walaupun selepas perceraian.

Kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat dapat membantu mengurangkan kes pengabaian nafkah pada masa hadapan.

Kesimpulannya, hak nafkah wanita dan anak selepas perceraian merupakan aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam sistem ekonomi Islam. Islam telah menetapkan garis panduan yang jelas bagi memastikan kebajikan wanita dan anak-anak sentiasa terpelihara walaupun selepas berakhirnya sesebuah perkahwinan.

Pelaksanaan nafkah bukan sahaja mencerminkan ketaatan kepada perintah ALLAH SWT, malah berperanan mewujudkan keadilan sosial dan kesejahteraan ekonomi dalam masyarakat.

Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama bagi memastikan hak nafkah dilaksanakan dengan berkesan agar matlamat ekonomi Islam untuk melahirkan masyarakat yang adil, sejahtera dan berdaya tahan dapat direalisasikan

Maklumat penulis:

1. Mahasiswa Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Dinni Farha Wan Omar Safiatuddin

2. Pensyarah Kanan, Dr Jaharudin Padli