Mengapa riba dilarang dan apakah kesannya kepada masyarakat dan ekonomi?

Iklan
Gambar hiasan

Ramai rakyat Malaysia kini bergelut dengan bebanan hutang yang berpunca daripada pinjaman pemilikan aset seperti rumah dan kereta. Kebanyakan pinjaman ini dikenakan faedah oleh institusi kewangan, yang menyebabkan jumlah bayaran balik meningkat melebihi jumlah asal yang dipinjam.

Dalam ekonomi Islam, lebihan ini dikenali sebagai riba, yang diharamkan kerana membebankan peminjam. Persoalannya, mengapakah riba dilarang dalam Islam, dan apakah kesannya terhadap masyarakat dan ekonomi negara?

Iklan
Iklan

Secara ringkas dan mudah difahami riba membawa maksud pertambahan bayaran dalam urusan pertukaran barang dan hutang. sebagai contoh pihak bank memberikan pinjaman sebanyak RM100 ribu kepada peminjam untuk membeli sebuah kereta. Selepas memgambil kira kadar faedah, peminjam perlu membayar balik pinjaman sebanyak RM120 ribu kepada pihak bank.

Lebihan bayaran sebanyak RM20 ribu itu merupakan riba. Berdasarkan ekonomi Islam, riba adalah dilarang hal ini kerana ia bersifat zalim, menindas pihak yang lemah dan mewujudkan ketidakseimbangan sosial. Dalam mazhab Syafie terdapat tiga jenis riba iaitu riba al-Fadhl, al-Nasiah dan al-Yadd. Riba al-Fadhl merupakan pertukaran barang yang sama jenis tetapi tidak sama jumlah

Iklan

dan timbangannya, di mana salah satu pihak mendapat lebih daripada yang lain secara tidak seimbang dalam transaksi tersebut. Manakala riba al-Yadd pula ialah urusan pertukaran barang ribawi yang tidak diserahkan secara serta-merta dalam majlis akad, iaitu berlaku kelewatan dalam penyerahan walaupun kedua-dua pihak telah bersetuju untuk bertukar.

Seterusnya adalah riba al-Nasiah yang berlaku apabila terdapat penangguhan dalam pembayaran atau penyerahan barang sehingga menyebabkan adanya tambahan bayaran. Riba jenis ini sering berlaku dalam urusan pinjaman atau hutang tanpa disedari, terutama apabila dikenakan faedah atau lebihan bayaran akibat penangguhan masa tersebut.

Iklan

Secara keseluruhan ketiga-tiga jenis riba ini memberi gambaran jelas tentang larangan riba dalam Islam. Sehubungan dengan itu, riba turut memberikan pelbagai kesan negatif terhadap masyarakat. Antaranya, rakyat kini terbeban dengan jumlah hutang yang tinggi. Keadaan ini memaksa mereka bekerja lebih keras bagi melangsaikan pinjaman tersebut.

Secara tidak langsung, hal ini menyumbang kepada tekanan dalam institusi keluarga apabila ibu bapa dan anak-anak semakin kekurangan masa bersama. Kesibukan bekerja akhirnya menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi semakin renggang. Selain itu, riba juga boleh menyebabkan perubahan peranan sosial dalam institusi keluarga.

Pada zaman dahulu, golongan lelaki lebih dominan dalam mencari rezeki bagi menyara keluarga serta memenuhi keperluan kewangan. Namun, pada masa kini, peningkatan kos sara hidup dan beban hutang yang semakin tinggi telah mendorong golongan wanita untuk turut keluar bekerja. Hal ini dilakukan bagi membantu menampung keperluan ekonomi keluarga.

Di samping itu, implikasi riba memberi kesan terhadap struktur sosial masyarakat. Nilai-nilai murni seperti semangat gotong-royong semakin terhakis, digantikan dengan budaya materialistik dan individualistik. Dalam masa yang sama, perubahan ini turut membawa kepada kesan sosial yang lebih luas seperti perubahan gaya hidup, peningkatan pergaulan bebas dan kemerosotan akhlak.

Justeru, jelas bahawa amalan riba memberi impak menyeluruh kepada kesejahteraan sosial masyarakat. Seterusnya, amalan riba turut memberikan implikasi negatif terhadap ekonomi negara, terutamanya dari segi peningkatan kadar kemiskinan. Sistem ekonomi berasaskan riba lazimnya lebih memihak kepada golongan berkemampuan, manakala golongan berpendapatan rendah terus dibebani oleh kadar faedah yang tinggi.

Akibatnya, mereka terperangkap dalam kitaran hutang yang berpanjangan dan sukar untuk keluar, sekali gus memperluas jurang ekonomi dalam masyarakat. Selain itu, riba juga boleh melemahkan sistem ekonomi negara. Hal ini berlaku apabila sesebuah negara terlalu bergantung kepada hutang berfaedah.

Apabila kerajaan terus mengambil pinjaman baharu bagi menampung perbelanjaan, beban pembayaran faedah akan semakin meningkat dari semasa ke semasa. Keadaan ini menyebabkan kerajaan terpaksa mengurangkan perbelanjaan yang sepatutnya diperuntukkan untuk pelaburan jangka panjang serta pembangunan inovasi.

Justeru itu, larangan riba dalam Islam bukanlah tanpa sebab, sebaliknya mempunyai hikmah yang besar dalam memastikan keadilan dan keseimbangan ekonomi. Dalam sistem ekonomi Islam, setiap urus niaga hendaklah berasaskan prinsip keadilan dan saling menguntungkan tanpa menindas mana-mana pihak. Larangan riba bertujuan mengelakkan berlakunya eksploitasi terhadap golongan yang lemah, khususnya mereka yang terdesak memerlukan bantuan kewangan.

Selain itu, Islam turut menggalakkan alternatif yang lebih adil seperti sistem perkongsian untung dan rugi, di mana risiko dan keuntungan dikongsi bersama antara pihak yang terlibat. Pendekatan ini bukan sahaja mewujudkan hubungan ekonomi yang lebih seimbang, malah membantu melindungi kebajikan masyarakat secara keseluruhan serta mengurangkan jurang ketidaksamaan ekonomi.

Bagi merealisasikan prinsip keadilan tersebut, Islam telah memperkenalkan pelbagai instrumen kewangan yang bebas daripada riba. Antaranya ialah melalui sistem perbankan

Islam yang beroperasi tanpa mengenakan faedah ke atas pinjaman. Dalam sistem ini, konsep seperti mudharabah diperkenalkan, iaitu perkongsian keuntungan antara pelabur dan pengusaha berdasarkan persetujuan bersama.

Selain itu, terdapat juga konsep murabahah yang melibatkan urus niaga jual beli dengan keuntungan yang telah dipersetujui secara telus antara penjual dan pembeli. Pendekatan ini memastikan setiap transaksi berlaku secara adil dan jelas

tanpa unsur penindasan. Secara tidak langsung, ia membuktikan bahawa Islam bukan sekadar melarang sesuatu amalan, tetapi turut menyediakan penyelesaian yang praktikal bagi menjamin kesejahteraan ekonomi masyarakat. Kesimpulannya, larangan riba dalam Islam bukan sekadar hukum agama, tetapi satu

langkah penting dalam melindungi kesejahteraan masyarakat dan kestabilan ekonomi negara. Dalam realiti hari ini, kesan riba jelas dirasai apabila ramai terjerat dengan beban hutang dan jurang ekonomi semakin melebar.

Justeru, sudah tiba masanya masyarakat lebih memahami dan menghargai sistem ekonomi Islam yang menekankan keadilan serta keseimbangan. Dengan adanya alternatif kewangan tanpa riba, kita bukan sahaja mampu mengelakkan penindasan, malah dapat membina masa depan ekonomi yang lebih mampan dan sejahtera untuk semua.

Maklumat penulis:

1. Pelajar Ekonomi Islam Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nurul Alya Rozi Rozi

2. Pensyarah kursus dan guru penasihat, Dr Jaharudin Padli