Pembangunan mampan semakin mendapat perhatian di seluruh dunia. Pembangunan mampan merujuk kepada pembangunan yang mampu memenuhi keperluan masa kini dan masa hadapan bagi mencapai keseimbangan pembangunan ekonomi, sosial, demografi dan alam sekitar. Dari perspektif ekonomi Islam, pembangunan bukan sahaja bertujuan mencapai pertumbuhan ekonomi, malah memastikan kesejahteraan masyarakat serta kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.
Pembangunan mampan berhubung kait dengan khalifah. Dalam istilah ekonomi Islam, manusia dianggap sebagai pemegang amanah ALLAH SWT untuk mentadbir dan menguruskan sumber alam mengikut syariat-Nya. Sumber alam yang ada di dunia ini bukanlah milik mutlak manusia, tetapi ia merupakan satu amanah daripada ALLAH SWT.
Sebagai manusia, kita wajib menguruskan sumber secara bertanggungjawab. Selain itu, pembangunan dalam Islam juga menekankan konsep keadilan. Secara umumnya, sumber alam terbahagi kepada dua iaitu sumber yang boleh diperbaharui dan sumber yang tidak boleh diperbaharui (akan habis). Sumber tidak boleh diperbaharui seperti bahan api fosil memerlukan sistem pengurusan yang baik supaya generasi akan datang dapat menikmatinya selari dengan prinsip kelestarian.
Seterusnya, amalan keseimbangan (mizan) dalam pembangunan. Seimbang yang dimaksudkan ialah seimbang dunia dan akhirat. Sebagai contoh, membangunkan bandar moden dan sistem pengangkutan namun perlu memastikan alam sekitar tidak terjejas dan mengurangkan pencemaran. Allah SWT berfirman :
“Dan Dia meninggikan langit serta meletakkan neraca (mizan), supaya kamu tidak melampaui batas dalam neraca itu.”
(Surah Ar-Rahman, 55:7-8)
Pembangunan mampan sering dikaitkan dengan isu alam sekitar seperti isu pencemaran, perubahan iklim dan pembaziran sumber alam. Punca berlakunya pencemaran ialah daripada aktiviti manusia yang tidak terkawal. Contohnya, aktiviti perindustrian. Segelintir daripada pengusaha kilang mengabaikan tanggungjawab mereka dengan cara membiarkan asap beracun dilepaskan begitu sahaja ke udara. Implikasinya, berlaku pencemaran udara yang bukan sahaja menjejaskan kelestarian alam, malah mengancam kesihatan manusia
secara menyeluruh. Contohnya, Di Malaysia, jerebu rentas sempadan dan pencemaran sungai merupakan antara isu alam sekitar yang memberi kesan kepada kesihatan dan aktiviti ekonomi masyarakat.
Selain itu, berlakunya perubahan iklim. Perubahan iklim bermaksud peningkatan suhu purata global dan perubahan cuaca ekstrem yang tidak menentu. Perubahan iklim terjadi disebabkan oleh pembakaran bahan api fosil, penyahutanan dan aktiviti pertanian dan perindustrian. Hal ini akan menyebabkan berlakunya pemanasan global, pencairan ais dan kenaikan paras laut. Pelbagai cara yang boleh dilaksanakan bagi mengatasi isu ini misalnya beralih kepada tenaga boleh diperbaharui (solar, angin), membina infrastruktur tahan banjir, mengamalkan kitar semula dan penjimatan tenaga.
Selanjutnya, isu pembaziran sumber. Pembaziran sumber berlaku apabila sumber semula jadi digunakan secara berlebihan atau tidak cekap sehingga mendatangkan kerugian ekonomi dan alam sekitar. Antara contoh pembaziran sumber yang lazimnya berlaku ialah pembaziran tenaga elektrik, air dan bahan api. Kebiasaannya, manusia selalu lupa untuk mematikan suis elektrik seperti lampu, kipas, dan penyaman udara. Bukan itu sahaja, bahkan manusia membiarkan paip bocor atau menggunakan air bersih secara boros untuk aktiviti harian sehingga mengurangkan bekalan air terawat. ALLAH SWT berfirman:
"Dan makanlah serta minumlah, dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan."
(Surah Al-A'raf, 7:31)
Ayat ini bukan sahaja merujuk kepada makanan dan minuman, tetapi juga menjadi prinsip umum bahawa penggunaan sumber hendaklah secara sederhana dan tidak berlebihan.
Pelbagai cabaran yang perlu dihadapi bagi sesebuah negara untuk mewujudkan pembangunan mampan. Salah satunya ialah pembangunan yang berteraskan keuntungan. Dalam situasi ini, sesetengah pihak lebih mengejar keuntungan ekonomi tanpa mengambil kira kesan terhadap alam sekitar, masyarakat atau generasi akan datang. Contohnya, aktiviti pembalakan dan pembukaan tanah secara berlebihan boleh menyebabkan kehilangan biodiversiti, hakisan tanah dan peningkatan pelepasan karbon.
Walaupun aktiviti tersebut meningkatkan pendapatan syarikat, ia boleh menyebabkan kemusnahan habitat haiwan, hakisan tanah dan pencemaran alam sekitar. Dalam perspektif ekonomi Islam, pembangunan yang hanya berorientasikan keuntungan adalah tidak digalakkan kerana Islam menekankan keseimbangan antara keuntungan ekonomi, kebajikan masyarakat dan pemeliharaan alam sekitar. ALLAH SWT berfirman:
"Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi setelah Allah memperbaikinya."
(Surah Al-A'raf, 7:56)
Ayat ini menunjukkan bahawa pembangunan ekonomi tidak boleh dilakukan sehingga menyebabkan kemusnahan alam sekitar atau menjejaskan kesejahteraan masyarakat.
Selain itu, kesedaran masyarakat yang rendah juga menjadi cabaran kepada pembangunan mampan. Masih ramai yang kurang memahami kepentingan menjaga alam sekitar dan mengamalkan gaya hidup lestari. Sikap ini boleh meningkatkan pencemaran dan mempercepatkan kemusnahan sumber alam, Oleh itu, pendidikan dan kempen kesedaran perlu diperkukuhkan agar masyarakat memahami kepentingan menjaga alam sekitar.
Cabaran seterusnya ialah kos pelaksanaan teknologi hijau yang tinggi. Penggunaan tenaga boleh diperbaharui, kenderaan elektrik dan teknologi mesra alam memerlukan modal yang besar. Keadaan ini menyebabkan sesetengah organisasi atau negara sukar untuk melaksanakan teknologi tersebut secara meluas. Walau bagaimanapun, pelaburan dalam teknologi hijau mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada ekonomi dan alam sekitar selaras dengan prinsip pembangunan mampan dalam Islam.
Pada masa kini, penggunaan tenaga solar semakin meluas sebagai salah satu aplikasi pembangunan mampan yang selaras dengan prinsip ekonomi Islam. Tenaga solar ialah tenaga yang diperoleh daripada sinaran dan cahaya matahari. Ia merupakan sumber tenaga boleh diperbaharui yang bersih, percuma, dan tidak akan habis. Penggunaan tenaga solar dapat mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil. Kita juga dapat menjimatkan tenaga elektrik. Pemasangan panel solar sudah ada di beberapa tempat seperti sekolah, masjid dan bangunan kerajaan.
Satu lagi aplikasi semasa pembangunan mampan dalam ekonomi Islam ialah kewangan hijau Islam atau Green Sukuk. Green sukuk merupakan instrumen kewangan patuh syariah yang digunakan untuk membiayai projek mesra alam seperti tenaga hijau dan pengurusan sumber air. Dengan adanya aplikasi Green Sukuk, unsur-unsur seperti riba, gharar, maisir dan zulm
dapat dielakkan. Secara tidak langsung, kewangan Islamik menjadi lebih menarik, walaupun kepada orang bukan Islam. Melalui Green Sukuk, pembangunan ekonomi dapat dijalankan tanpa mengabaikan pemeliharaan alam sekitar, selaras dengan prinsip pembangunan mampan dalam Islam.
Selain itu, program kitar semula dan pengurusan sisa juga merupakan aplikasi pembangunan mampan yang semakin diberi perhatian pada masa kini. Program kitar semula telah divariasikan kepada beberapa bentuk yang lebih menarik seperti KITARecycle, Aplikasi KitarNow dan Trash to Cash. Usaha ini dilakukan agar masyarakat lebih berminat untuk meneruskan amalan kitar semula. Justeru itu, kemudahan tong sampah pengasingan sisa telah disediakan oleh pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, serta organisasi swasta bagi menggalakakkan amalan kitar semula dan pengurusan sisa yang lebih sistematik.
Kesimpulannya, pembangunan mampan adalah penting untuk mencapai kemajuan ekonomi tanpa menjejaskan kebajikan sosial masyarakat. Dalam perspektif ekonomi Islam, pembangunan bukan sahaja tertumpu kepada keuntungan semata-mata, malah mengambil kira aspek sosial, moral dan tanggungjawab alam sekitar.
Prinsip seperti khalifah, amanah dan mizan (keseimbangan) menjadi panduan dalam mengurus sumber secara berhemah dan mengelakkan pembaziran. Aplikasi semasa seperti penggunaan tenaga solar, kewangan hijau Islam (Green Sukuk) dan program kitar semula menunjukkan bahawa konsep pembangunan mampan boleh dilaksanakan dalam kehidupan sebenar. Oleh itu, pembangunan mampan menurut ekonomi Islam mampu mewujudkan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, kebajikan masyarakat dan pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.
Maklumat penulis:
1. Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Ainul Nadiah Mazlee
2. Pensyarah Kursus Pengenalan Kepada Ekonomi Islam, Dr Jaharudin Padli