Konsep barakah dalam ekonomi: Mengapa pendapatan sedikit boleh lebih mencukupi?

Iklan
Dalam dunia yang semakin materialistik ini, mungkin sudah tiba masanya kita menilai semula cara kita melihat kekayaan. Bukan sekadar mengejar angka, tetapi mencari keberkatan agar kehidupan menjadi lebih tenang, seimbang dan bermakna. Gambar kecil: Aisyah Umairah (kanan) dan Dr Jaharudin (kiri)

Dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar hari ini, isu kos sara hidup sering menjadi topik utama perbualan masyarakat. Harga barang meningkat, komitmen kewangan bertambah dan tekanan hidup semakin dirasai oleh pelbagai lapisan masyarakat. Dalam keadaan ini, ramai yang beranggapan bahawa satu-satunya jalan untuk hidup lebih selesa ialah dengan meningkatkan pendapatan. Logiknya mudah, orang kita beranggapan yang jika lebih banyak duit, lebih mudah memenuhi keperluan hidup.

Namun begitu, realiti kehidupan tidak selalu bergerak selari dengan logik tersebut. Tiada individu yang berpendapatan tinggi, tetapi masih berasa tidak cukup, sentiasa tertekan dan dibebani masalah kewangan. Dalam masa yang sama, terdapat juga golongan yang berpendapatan sederhana atau rendah, tetapi mampu hidup dengan tenang, mencukupi dan lebih tersusun. Keadaan ini menimbulkan satu persoalan yang lebih mendalam. Persoalannya, adakah jumlah pendapatan benar-benar penentu utama kesejahteraan hidup?

Iklan
Iklan

Dalam ekonomi Islam, persoalan ini dijawab melalui satu konsep yang sangat penting tetapi sering diabaikan iaitu konsep barakah. Barakah merujuk kepada keberkatan atau kebaikan yang dilipatgandakan oleh ALLAH SWT dalam sesuatu perkara. Dalam konteks ekonomi, barakah bukan sekadar merujuk kepada jumlah harta, tetapi kepada nilai, manfaat dan kecukupan yang terhasil daripadanya. Dengan kata lain, sedikit yang diberkati boleh menjadi lebih mencukupi berbanding banyak yang tidak diberkati.

Salah satu asas utama kepada keberkatan rezeki ialah sumber pendapatan itu sendiri. Islam menegaskan bahawa rezeki hendaklah diperoleh melalui cara yang halal dan bebas daripada unsur yang dilarang seperti riba, penipuan, rasuah dan eksploitasi. Walaupun pendapatan yang diperoleh secara tidak halal mungkin kelihatan lumayan, namun ia sering kali tidak membawa ketenangan dan mudah hilang tanpa manfaat yang jelas. Sebaliknya, rezeki yang halal walaupun sedikit, lebih cenderung membawa rasa cukup dan ketenangan dalam kehidupan.

Iklan

Dalam kehidupan seharian, kita sering mendengar kisah individu yang 'gaji besar tapi sentiasa tidak cukup'. Setiap bulan, wang seolah-olah habis begitu sahaja tanpa disedari ke mana perginya. Ada sahaja perbelanjaan tidak dijangka yang muncul, daripada kerosakan kenderaan hingga kepada komitmen hutang yang semakin bertambah. Situasi ini berbeza dengan mereka yang berpendapatan sederhana tetapi mampu mengurus kehidupan dengan baik iaitu cukup makan, cukup pakai dan masih mampu menyimpan atau membantu orang lain. Inilah antara gambaran jelas tentang kewujudan barakah dalam rezeki.

Selain sumber pendapatan, cara seseorang mengurus kewangan juga memainkan peranan yang besar. Islam menggalakkan umatnya mengamalkan kesederhanaan atau wasatiyyah iaitu berbelanja mengikut keperluan dan mengelakkan pembaziran (israf). Namun dalam dunia moden yang dipengaruhi oleh budaya konsumerisme, ramai yang terperangkap dalam gaya hidup berlebihan. Media sosial, misalnya, sering memaparkan gaya hidup mewah yang secara tidak langsung mewujudkan tekanan untuk 'hidup setaraf' dengan orang lain.

Iklan

Lebih membimbangkan, kemudahan teknologi seperti pembayaran tanpa tunai, e-dompet dan pelbagai promosi jualan menjadikan aktiviti berbelanja semakin mudah dan pantas. Tanpa kawalan yang baik, seseorang boleh berbelanja di luar kemampuan tanpa benar-benar menyedarinya. Perbelanjaan kecil yang dilakukan secara berterusan akhirnya menjadi beban besar yang menjejaskan kestabilan kewangan. Dalam keadaan ini, jelas bahawa pendapatan yang tinggi tidak menjamin kesejahteraan sekiranya tiada disiplin dalam pengurusan kewangan.

Di sinilah konsep barakah memberi peringatan bahawa keberkatan bukan sahaja bergantung kepada jumlah yang diterima, tetapi juga bagaimana harta itu diurus dan dimanfaatkan. Individu yang berbelanja secara berhemah, mengutamakan keperluan berbanding kehendak, serta mengelakkan pembaziran, lebih berpotensi menikmati keberkatan dalam rezekinya.

Selain itu, amalan memberi seperti zakat, sedekah dan infak merupakan antara kunci utama dalam menarik keberkatan. Dalam pandangan zahir, memberi mungkin dilihat sebagai mengurangkan harta. Namun dalam perspektif Islam, ia sebenarnya menambah nilai dan membersihkan harta tersebut. Zakat, sebagai kewajipan, memastikan pengagihan kekayaan berlaku secara adil dalam masyarakat, manakala sedekah dan infak pula mencerminkan keprihatinan sosial dan semangat tolong-menolong.

Apa yang menarik, ramai yang telah merasai sendiri kesan amalan memberi ini. Walaupun jumlah pendapatan tidak berubah, kehidupan terasa lebih lapang dan urusan menjadi lebih mudah. Ini menunjukkan bahawa keberkatan bukan sesuatu yang abstrak semata-mata, tetapi boleh dirasai dalam bentuk ketenangan jiwa, hubungan sosial yang baik dan kestabilan hidup.

Di samping itu, barakah juga berkait rapat dengan pengurusan masa dan gaya hidup. Masa merupakan satu bentuk rezeki yang sering tidak disedari. Ada individu yang mampu menyelesaikan pelbagai tugasan dalam tempoh yang singkat, manakala ada yang sentiasa berasa tidak cukup masa walaupun beban tugas tidak banyak. Apabila masa diurus dengan baik dan digunakan untuk perkara yang bermanfaat, kehidupan menjadi lebih teratur dan produktif. Inilah antara bentuk keberkatan yang sering terlepas pandang.

Dalam konteks yang lebih luas, konsep barakah boleh dijadikan asas dalam membentuk sistem ekonomi yang lebih adil dan beretika. Jika setiap individu dan institusi menitikberatkan aspek halal, keadilan dan tanggungjawab sosial, maka jurang kekayaan dapat dikurangkan dan kesejahteraan masyarakat dapat dipertingkatkan. Ekonomi tidak lagi berorientasikan keuntungan semata-mata, tetapi turut mengambil kira keseimbangan dan kebajikan bersama.

Kesimpulannya, konsep barakah dalam ekonomi Islam menawarkan satu perspektif yang lebih menyeluruh tentang makna sebenar kekayaan dan kesejahteraan hidup. Ia mengajar bahawa kecukupan tidak semestinya datang daripada pendapatan yang besar, tetapi daripada keberkatan yang terkandung dalam setiap rezeki. Dalam dunia yang semakin materialistik ini, mungkin sudah tiba masanya kita menilai semula cara kita melihat kekayaan. Bukan sekadar mengejar angka, tetapi mencari keberkatan agar kehidupan menjadi lebih tenang, seimbang dan bermakna. Pendapatan yang sedikit tidak lagi dilihat sebagai kekurangan, sebaliknya sebagai ruang untuk meraih keberkatan yang lebih besar dalam kehidupan.

Maklumat penulis:

1) Mahasiswa Tahun Dua, Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Aisyah Umairah Hashim

2) Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my