Ekonomi digital atau eksploitasi pengguna? Analisis model PinDuoDuo dalam kerangka ekonomi Islam

Iklan
Konsep pembelian secara berkumpulan yang diperkenalkan oleh PinDuoDuo membolehkan pengguna menikmati harga yang lebih rendah apabila mereka membeli bersama-sama dengan pengguna lain. Gambar kecil: Husnul Fariha (atas) dan Dr Jaharudin (bawah)

Perkembangan teknologi digital telah mengubah corak kehidupan masyarakat, termasuk cara pengguna menjalankan urusan jual beli. Kemunculan pelbagai platform e-dagang telah memudahkan masyarakat mendapatkan barangan dan perkhidmatan dengan lebih cepat serta pada harga yang lebih kompetitif. Salah satu platform yang semakin mendapat perhatian ialah PinDuoDuo, sebuah platform e-dagang dari China yang terkenal dengan konsep pembelian secara berkumpulan atau group buying. Menerusi pendekatan ini, pengguna dapat menikmati harga yang lebih rendah dengan membeli sesuatu produk bersama pengguna lain. Walaupun konsep tersebut lahir daripada perkembangan ekonomi digital moden, nilai yang diketengahkan sebenarnya mempunyai persamaan dengan prinsip ekonomi Islam, khususnya dari aspek kesederhanaan, penjimatan dan semangat kerjasama dalam masyarakat.

Ekonomi Islam merupakan satu sistem ekonomi yang menekankan keseimbangan antara kepentingan individu dan masyarakat. Islam tidak melarang manusia mencari keuntungan dan menikmati kemudahan hidup, namun setiap aktiviti ekonomi hendaklah dilaksanakan secara sederhana, beretika dan tidak membawa kepada pembaziran. ALLAH SWT berfirman dalam Surah al-Isra', ayat 26 hingga 27 yang bermaksud:

Iklan
Iklan

"Dan janganlah engkau membazir dengan boros. Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya." 

Ayat ini menunjukkan bahawa Islam menggalakkan umatnya mengurus perbelanjaan secara berhemah dan menjauhi sikap berlebih-lebihan. Dalam konteks ini, kewujudan platform seperti PinDuoDuo yang menawarkan harga yang lebih murah melalui pembelian secara berkumpulan dilihat mampu membantu pengguna mengurus perbelanjaan dengan lebih cekap.

Iklan

Konsep pembelian secara berkumpulan yang diperkenalkan oleh PinDuoDuo membolehkan pengguna menikmati harga yang lebih rendah apabila mereka membeli bersama-sama dengan pengguna lain. Sistem ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu pengguna dan pengeluar. Pengguna memperoleh penjimatan kos, manakala pengeluar dapat meningkatkan jumlah jualan mereka. Pada masa yang sama, hubungan yang lebih langsung antara pengguna dan pengeluar dapat diwujudkan, sekali gus mengurangkan kos perantaraan dan menjadikan harga produk lebih kompetitif.

Daripada perspektif ekonomi Islam, amalan ini mempunyai persamaan dengan konsep ta'awun atau saling membantu sesama manusia. ALLAH berfirman dalam Surah al-Maidah, ayat 2 yang bermaksud:

Iklan

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan kebajikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan pencerobohan." 

Konsep pembelian secara berkumpulan menunjukkan bagaimana semangat kerjasama dapat memberikan manfaat kepada masyarakat. Walaupun tujuan utama pengguna adalah untuk mendapatkan harga yang lebih murah, amalan tersebut secara tidak langsung membantu mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi keluarga.

Selain itu, Islam turut menitikberatkan konsep kesederhanaan atau wasatiyyah dalam perbelanjaan. Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, masyarakat perlu lebih bijak dalam membuat keputusan pembelian dan mengutamakan keperluan berbanding kehendak. Kewujudan platform seperti PinDuoDuo membuktikan bahawa teknologi boleh dimanfaatkan untuk membantu masyarakat mendapatkan barangan pada harga yang lebih berpatutan. Rasulullah SAW bersabda:

"Makanlah, minumlah, berpakaianlah dan bersedekahlah tanpa berlebih-lebihan dan tanpa sifat sombong." - (Hadis Riwayat al-Nasa’i, No. 2559)

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa Islam menggalakkan umatnya mengamalkan perbelanjaan yang sederhana dan menjauhi sifat boros. Selaras dengan itu, ALLAH turut berfirman dalam Surah al-Furqan, ayat 67 yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula bakhil, sebaliknya berada di tengah-tengah antara kedua-duanya." 

Prinsip ini menggambarkan bahawa Islam sentiasa menekankan keseimbangan dalam setiap aspek kehidupan termasuk dalam aktiviti ekonomi.

Selain membantu pengguna mendapatkan harga yang lebih murah, model perniagaan PinDuoDuo turut menunjukkan bagaimana teknologi digital dapat meningkatkan kecekapan pasaran. Kemudahan yang disediakan oleh platform e-dagang membolehkan pengguna membuat perbandingan harga dengan lebih mudah serta merancang perbelanjaan secara sistematik. Situasi ini dapat membantu pengguna mengelakkan pembelian yang tidak diperlukan dan seterusnya mengurus kewangan isi rumah dengan lebih baik.

Di samping itu, perkembangan platform digital seperti PinDuoDuo turut membuka peluang kepada pengeluar dan usahawan kecil untuk memasarkan produk mereka kepada pasaran yang lebih luas tanpa memerlukan kos pemasaran yang tinggi. Dalam ekonomi Islam, peluang ekonomi yang saksama kepada semua pihak merupakan salah satu elemen penting dalam mewujudkan keadilan ekonomi. Sistem ekonomi Islam menolak amalan monopoli dan penindasan yang boleh menjejaskan golongan peniaga kecil. Oleh itu, perkembangan teknologi digital seharusnya dimanfaatkan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat dan mewujudkan pengagihan ekonomi yang lebih seimbang.

Walau bagaimanapun, pengguna perlu berhati-hati agar tawaran harga murah yang disediakan tidak mendorong kepada pembelian secara berlebihan. Sikap membeli sesuatu barang semata- mata kerana tertarik dengan promosi boleh menyebabkan pembaziran dan bercanggah dengan nilai ekonomi Islam. Tambahan pula, isu berkaitan kualiti produk dan ketulenan barangan juga perlu diberi perhatian. Dalam Islam, setiap transaksi mestilah berasaskan kejujuran, amanah dan kerelaan antara penjual dan pembeli. Penjual dilarang menyembunyikan kecacatan barang atau melakukan penipuan kerana tindakan tersebut boleh menjejaskan kepercayaan dalam urusan muamalat.

Persaingan yang sihat dalam pasaran juga merupakan salah satu prinsip yang ditekankan dalam ekonomi Islam. Kewujudan platform seperti PinDuoDuo memberikan manfaat kepada pengguna melalui harga yang lebih kompetitif dan pelbagai pilihan produk. Namun, persaingan yang terlalu agresif sehingga menjejaskan peniaga kecil dan menyebabkan ketidakseimbangan pasaran perlu dielakkan. Oleh itu, perkembangan ekonomi digital perlu diseimbangkan dengan perlindungan terhadap usahawan tempatan supaya manfaat ekonomi dapat dinikmati secara lebih adil dan menyeluruh.

Kesimpulannya, fenomena PinDuoDuo menunjukkan bahawa perkembangan teknologi dan ekonomi digital tidak semestinya bercanggah dengan nilai ekonomi Islam. Sebaliknya, konsep pembelian secara berkumpulan dan budaya berjimat mempunyai persamaan dengan prinsip kesederhanaan, kerjasama dan penggunaan yang berhemah yang dianjurkan oleh Islam. Apa yang lebih penting ialah pengguna dan peniaga perlu memastikan setiap urusan dilakukan secara jujur, adil dan bebas daripada unsur yang dilarang syarak. Dengan memanfaatkan teknologi secara bijaksana, ekonomi digital mampu menjadi pemangkin kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan ekonomi yang lebih lestari sejajar dengan tuntutan Islam. Justeru, pengguna Muslim perlu sentiasa mengamalkan budaya berbelanja secara sederhana dan menjadikan prinsip ekonomi Islam sebagai panduan dalam menghadapi cabaran ekonomi digital pada masa kini.

Maklumat penulis:

1) Mahasiswa Tahun Dua, Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Husnul Fariha Abdul Salam

2) Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my