Dalam usaha mengejar kemajuan ekonomi, dunia hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran alam sekitar yang semakin membimbangkan. Isu seperti perubahan iklim, pencemaran udara dan air, kemusnahan hutan serta peningkatan jumlah sisa pepejal bukan lagi masalah yang boleh dipandang ringan.
Pertumbuhan ekonomi yang pesat sememangnya mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat, namun pembangunan yang tidak terkawal turut mengakibatkan eksploitasi sumber alam secara berlebihan. Keadaan ini menimbulkan persoalan penting sama ada pembangunan ekonomi yang dicapai pada hari ini mampu menjamin kesejahteraan generasi akan datang.
Bagi menangani cabaran tersebut, konsep ekonomi hijau semakin mendapat perhatian di seluruh dunia. Ekonomi hijau merujuk kepada sistem ekonomi yang menitikberatkan penggunaan sumber secara cekap, mengurangkan pencemaran, memelihara biodiversiti serta memastikan pembangunan yang mampan.
Walaupun istilah ekonomi hijau sering dikaitkan dengan dasar moden, hakikatnya prinsip yang terkandung dalam konsep ini telah lama ditekankan oleh Islam. Dalam perspektif ekonomi Islam, manusia bukan sahaja berperanan sebagai pengguna sumber alam, malah dipertanggungjawabkan sebagai khalifah yang diamanahkan untuk mengurus bumi dengan penuh tanggungjawab.
Konsep khalifah merupakan asas penting dalam hubungan antara manusia dan alam sekitar. ALLAH SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud, “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” Ayat ini menjelaskan bahawa manusia diberikan amanah untuk mentadbir bumi mengikut panduan yang ditetapkan oleh ALLAH SWT.
Sebagai khalifah, manusia tidak mempunyai hak mutlak terhadap sumber alam, sebaliknya bertanggungjawab menggunakannya secara bijaksana demi kemaslahatan bersama. Oleh itu, setiap aktiviti ekonomi yang dijalankan perlu mengambil kira keseimbangan antara keperluan pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar.
Malangnya, pelbagai bentuk kerosakan alam yang berlaku pada hari ini berpunca daripada kegagalan manusia melaksanakan amanah tersebut. Aktiviti pembalakan tidak terkawal, pencemaran sungai akibat pembuangan sisa industri, penggunaan bahan api fosil secara berlebihan serta penerokaan sumber alam tanpa perancangan telah menyebabkan kemerosotan kualiti alam sekitar.
Fenomena banjir luar biasa, cuaca ekstrem dan peningkatan suhu global yang berlaku di pelbagai negara merupakan antara kesan daripada aktiviti manusia yang mengabaikan tanggungjawab sebagai khalifah. Dalam Islam, tindakan yang membawa kepada kemusnahan alam dianggap sebagai satu bentuk kerosakan atau fasad yang ditegah oleh syarak.
ALLAH SWT berfirman dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud, “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia.” Ayat ini menunjukkan bahawa kerosakan alam sekitar yang berlaku pada hari ini bukan sekadar isu saintifik atau ekonomi, tetapi turut mempunyai dimensi moral dan spiritual.
Justeru, penyelesaian terhadap masalah alam sekitar perlu melibatkan perubahan sikap dan nilai dalam kalangan masyarakat, selaras dengan ajaran Islam yang menekankan tanggungjawab terhadap alam.
Selain itu, Islam turut menegaskan larangan terhadap pembaziran atau israf. Pembaziran merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada penggunaan sumber secara tidak cekap. Dalam masyarakat moden, pembaziran dapat dilihat melalui penggunaan air dan elektrik yang berlebihan, pembuangan makanan yang masih boleh dimakan serta budaya penggunaan yang melampau.
Menurut pelbagai laporan, Malaysia membuang ribuan tan makanan setiap hari, termasuk makanan yang masih elok untuk dimakan. Menurut anggaran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Malaysia menghasilkan kira-kira 16,688 tan sisa makanan setiap hari, menjadikan sisa makanan sebagai antara komponen terbesar dalam sisa pepejal negara. Keadaan ini menunjukkan bahawa amalan
pembaziran masih berlaku pada tahap yang membimbangkan dan bercanggah dengan prinsip kesederhanaan yang dianjurkan oleh Islam. Situasi ini bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar melalui peningkatan sisa pepejal, malah mencerminkan kegagalan masyarakat menghargai nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Firman ALLAH SWT dalam Surah Al-A'raf ayat 31 yang bermaksud, “Makan dan minumlah, tetapi janganlah berlebih-lebihan.
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.” Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Islam menggalakkan penggunaan sumber secara sederhana dan berhemah. Prinsip ini selari dengan matlamat ekonomi hijau yang menekankan kecekapan penggunaan sumber bagi mengurangkan tekanan terhadap alam sekitar. Dalam konteks ekonomi Islam, sumber yang dijimatkan pada hari ini mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan generasi akan datang.
Sehubungan itu, ekonomi hijau dilihat sebagai pendekatan yang mampu mengimbangi keperluan pembangunan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar. Pelaksanaan ekonomi hijau melibatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan hidro, pengurangan pelepasan karbon, pengurusan sisa yang lebih sistematik serta pembangunan teknologi yang mesra alam.
Di Malaysia, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif melalui Dasar Teknologi Hijau Negara dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara bagi menggalakkan penggunaan tenaga bersih dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil. Melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia menyasarkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui mencapai 70% daripada kapasiti bekalan elektrik negara menjelang tahun 2050. Sasaran ini membuktikan komitmen negara dalam mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil serta memperkukuhkan pembangunan ekonomi hijau yang lebih mampan.
Pembangunan sektor tenaga boleh diperbaharui bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran, malah mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan daya saing ekonomi negara. Hal ini menunjukkan bahawa pemeliharaan alam sekitar tidak semestinya menghalang pertumbuhan ekonomi. Sebaliknya, ekonomi hijau mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan yang lebih mampan dan berdaya tahan. Pendekatan ini selaras dengan prinsip ekonomi Islam yang menolak pembangunan yang membawa mudarat kepada manusia dan alam sekitar.
Dalam masa yang sama, ekonomi hijau juga mempunyai hubungan yang rapat dengan konsep Maqasid Syariah. Maqasid Syariah merujuk kepada objektif utama syariat Islam yang bertujuan menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Pemeliharaan alam sekitar sebenarnya menyumbang kepada pencapaian kesemua objektif tersebut.
Sebagai contoh, udara dan air yang bersih membantu memelihara nyawa manusia daripada penyakit. Pengurusan sumber yang lestari pula mampu melindungi harta dan menjamin kesejahteraan ekonomi masyarakat. Pada masa yang sama, pemeliharaan alam memastikan generasi akan datang dapat menikmati sumber yang mencukupi untuk meneruskan kehidupan.
Oleh itu, usaha merealisasikan ekonomi hijau tidak boleh dipikul oleh kerajaan semata-mata. Setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk memainkan peranan masing-masing. Antara langkah yang boleh dilakukan termasuklah mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, mengamalkan kitar semula, menjimatkan penggunaan air dan elektrik serta mengelakkan pembaziran makanan. Masyarakat pula perlu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar melalui program pendidikan dan kempen kesedaran yang berterusan.
Sektor swasta juga memainkan peranan yang penting dalam menjayakan agenda ekonomi hijau. Syarikat dan industri perlu mengutamakan amalan perniagaan yang mesra alam seperti penggunaan teknologi cekap tenaga, pengurangan pelepasan karbon serta pengurusan sisa yang lebih berkesan. Di samping itu, pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat yang memberi perhatian kepada pemuliharaan alam sekitar mampu meningkatkan imej organisasi dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Kerajaan pula perlu terus memperkukuhkan dasar dan penguatkuasaan yang berkaitan dengan pemeliharaan alam sekitar. Galakan dalam bentuk insentif cukai, bantuan kewangan dan sokongan teknologi perlu diperluaskan bagi menggalakkan penggunaan teknologi hijau. Pada masa yang sama, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pihak yang melakukan pencemaran atau mengeksploitasi sumber alam secara berlebihan. Pendekatan ini penting bagi memastikan pembangunan ekonomi negara dapat dicapai tanpa mengorbankan kelestarian alam sekitar.
Selain aspek dasar kerajaan dan tindakan individu, institusi kewangan Islam juga boleh memainkan peranan penting dalam menjayakan ekonomi hijau melalui pembiayaan projek tenaga boleh diperbaharui, sukuk hijau dan pelaburan patuh syariah yang menitikberatkan aspek kelestarian. Pendekatan ini membuktikan bahawa sistem ekonomi Islam bukan sahaja memberi perhatian kepada keuntungan ekonomi, malah menekankan kesejahteraan alam sekitar dan masyarakat secara menyeluruh.
Jelaslah bahawa cabaran alam sekitar hari ini bukan sekadar isu pembangunan, tetapi juga isu amanah dan tanggungjawab. Dengan menghayati peranan sebagai khalifah serta mengamalkan prinsip ekonomi hijau, masyarakat dapat menyumbang kepada kelestarian alam demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang. Sebagai khalifah, manusia bertanggungjawab mengurus sumber alam secara amanah, mengelakkan pembaziran dan memastikan setiap aktiviti ekonomi yang dijalankan tidak membawa kepada kemusnahan alam sekitar.
Konsep pembangunan lestari yang menjadi tunjang ekonomi hijau juga selari dengan prinsip keadilan, keseimbangan dan tanggungjawab yang ditekankan oleh Islam. Dalam menghadapi cabaran alam sekitar yang semakin kompleks, penghayatan terhadap nilai-nilai ekonomi Islam mampu menjadi panduan penting dalam membina sebuah masyarakat yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi, tetapi juga lestari dan sejahtera untuk generasi masa kini serta masa hadapan.
Maklumat penulis:
1. Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhammad Hasrul Ramadan
2. Pensyarah, Dr Jaharudin Padli