Bila sebut pasal sistem atau barangan yang mematuhi syariah, biasanya orang akan automatik terfikir dua benda saja. Pertama, logo halal dekat bungkusan makanan, dan kedua, urusan perbankan yang bebas daripada faedah atau riba. Pemahaman umum macam ni sebenarnya tak salah, cuma bagi saya, skopnya agak terhad.
Seolah-olah kita dah mengecilkan keindahan sistem ekonomi Islam ini ke dalam satu ruang yang sangat sempit. Padahal kalau kita tengok dunia moden hari ni, syarikat perniagaan antarabangsa sedang sibuk mengenalkan konsep ESG (Environmental, Social, and Governance) demi memperjuangkan isu kelestarian. Sedangkan Islam dah lama menyediakan acuan yang jauh lebih jelas, lama sebelum dunia barat popular dengan istilah moden tersebut. Acuan Islam mengajar kita bahawa sesuatu perkara itu bukan setakat perlu 'Halal', tapi mestilah berasaskan prinsip 'Tayyib' iaitu membawa maksud baik, suci, berkualiti dan mesra alam.
Kalau kita kaji dengan lebih mendalam, perbezaan paling ketara antara ekonomi Islam dengan model konvensional sebenarnya terletak pada cara kita memandang tanggungjawab moral terhadap bumi. Bagi sistem kapitalisme tulen, alam sekitar sering kali dianggap sebagai objek eksploitasi atau sekadar bahan mentah untuk mengaut keuntungan.
Syarikat-syarikat besar boleh memeras sumber alam sesuka hati mereka demi mengejar untung maksimum, manakala kesan buruk yang terhasil biasanya diabaikan begitu sahaja. Sebaliknya, ekonomi Islam menawarkan perspektif yang sangat berbeza, di mana manusia ditugaskan sebagai khalifah atau pemegang amanah yang bertanggungjawab untuk memakmurkan bumi, bukannya bertindak sebagai ejen pemusnah.
Sebab itu dalam Islam, kebebasan kita untuk mencari kekayaan ada sempadannya, dan setiap tindakan kita sentiasa dinilai berdasarkan soal dosa dan pahala. Dalam Al-Quran, Surah Ar-Rum ayat 41, ALLAH SWT dah mengingatkan perkara ini dengan sangat tegas tentang krisis alam sekitar.
Melalui ayat tersebut, ALLAH mengingatkan bahawa segala kerosakan dan bencana yang berlaku di darat mahupun di laut adalah berpunca daripada perbuatan tangan manusia sendiri. Kesan buruk yang menimpa hari ni sebenarnya sebahagian daripada balasan atas kesilapan kita, supaya kita sedar dan kembali bertaubat.
Prinsip 'Tayyib' inilah yang memaksa kita untuk menilai semula operasi perniagaan secara menyeluruh, bukan sekadar melihat kepada keuntungan produk yang dijual semata-mata. Contoh mudah, katakan ada sebuah kilang yang berjaya menghasilkan produk makanan yang bahan-bahannya memang dijamin 100 peratus halal. Tapi, rupanya sepanjang operasi berjalan, kilang tersebut senyap-senyap membuang sisa toksik berbahaya ke dalam sungai sampai menjejaskan kesihatan penduduk kampung berdekatan.
Ditambah pula dengan kebajikan pekerja bawahannya yang diabaikan sebab gaji tak setimpal dengan kos sara hidup. Dalam situasi macam ini, nilai 'Tayyib' itu dah dikira hilang. Ekonomi Islam tak pernah melarang kita mengejar kekayaan dunia, tapi kalau harta itu diperoleh daripada aktiviti yang merosakkan alam atau menzalimi manusia, keberkatannya dah jadi cacat. Lagipun, matlamat akhir ekonomi kita adalah untuk mencapai Al-Falah iaitu kejayaan yang seimbang di dunia dan di akhirat, bukannya kaya di dunia tapi muflis di sana.
Perkara yang sama juga sepatutnya berlaku dalam pasaran kewangan Islam moden. Memang benar produk pembiayaan sekarang kebanyakannya dah bersih daripada unsur riba, tapi institusi perbankan Islam kadangkala dilihat masih terlepas pandang pasal isu kelestarian alam sekitar. Pelaburan Islam yang matang sepatutnya lebih tegas dengan mengelak daripada memberi dana kepada projek yang merosakkan ekosistem, seperti pembalakan haram tanpa kawalan atau industri berat yang mencemarkan udara.
Kita kena ingat, menjaga nyawa (Hifz al-Nafs) dan harta benda manusia adalah antara intipati utama dalam Maqasid Syariah. Bila keinginan mengejar untung duniawi sampai menghancurkan alam sekitar, kesannya akan berbalik kepada kita dalam bentuk bencana alam yang besar. Tengok sajalah setiap kali negara kita dilanda banjir besar atau tanah runtuh, fikirkan berapa banyak nyawa yang terancam dan berapa juta ringgit harta benda awam yang musnah begitu sahaja.
Namun, pengenalan instrumen seperti Sukuk Hijau (Green Sukuk) dalam pasaran modal hari ini membuktikan yang Ekonomi Islam tidak pernah ketinggalan zaman dan sangat praktikal. Langkah ini menunjukkan kepada dunia bahawa pelaburan dalam Islam bukan sekadar teori atas kertas atau perdebatan akademik semata-mata. Melalui Sukuk Hijau, projek-projek yang menghasilkan impak karbon yang tinggi memang takkan dapat pembiayaan. Sebaliknya, dana tersebut akan digunakan khusus untuk membina infrastruktur yang mesra ekosistem, seperti ladang tenaga solar, sistem pengurusan sisa pepejal yang efisien, dan loji rawatan air bersih untuk komuniti. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa usaha menjaga kelangsungan bumi boleh berjalan seiring dengan usaha menjana kekayaan.
Selain daripada pelaburan skala besar, sistem ekonomi Islam juga sangat mengambil berat tentang isu keadilan sosial. Kita kena faham realiti bahawa apabila sesebuah negara mula beralih kepada penggunaan teknologi hijau, golongan pekerja bawahan atau komuniti luar bandar selalunya menjadi pihak yang paling terkesan akibat peningkatan kos sara hidup.
Di sinilah pentingnya instrumen sosial Islam seperti zakat, wakaf dan sedekah untuk bertindak sebagai pelindung dan bantuan kepada mereka. Seperti yang diingatkan dalam Surah Al-Hasyr ayat 7, harta kekayaan tidak sepatutnya hanya berputar dalam kalangan orang kaya sahaja. Wang daripada instrumen sosial ini perlu dialirkan semula ke bawah bagi membantu golongan yang memerlukan supaya mereka dapat membina semula ekonomi hidup mereka sendiri.
Tanggungjawab untuk berubah ini sebenarnya bukan terletak di bahu penggubal dasar atau syarikat besar semata-mata, tapi bermula daripada kita sebagai pengguna harian. Sekarang ini, budaya membazir seolah-olah dah menjadi perkara biasa, terutamanya kalau kita tengok isu sisa makanan atau tabiat membeli barang yang tidak perlu. Dalam jangka masa panjang, seorang pengguna yang benar-benar faham prinsip ekonominya akan sedar bahawa setiap sen yang dibelanjakan ada impak tersendiri kepada alam sekitar.
Rasulullah SAW sendiri pernah menegur para sahabat supaya jangan membazir air walaupun ketika sedang berwuduk di tepi sungai yang mengalir deras. Hadis riwayat Imam Ahmad ini membawa pengajaran yang sangat mendalam walaupun sumber alam kelihatan melimpah-ruah, kita tetap diajar untuk menghargai dan memeliharanya dengan cermat.
Akhir kata, sudah tiba masanya kita berhenti memandang konsep patuh syariah pada luaran atau label semata-mata. Kita perlu lihat ekonomi Islam sebagai satu sistem yang utuh, sangat praktikal, mesra alam dan penuh dengan nilai kemanusiaan. Memisahkan etika penjagaan alam sekitar daripada usaha mencari rezeki harian adalah satu kesilapan besar dan krisis iklim global yang semakin tidak menentu hari ini adalah harga yang terpaksa kita bayar akibat kesilapan itu.
Dengan meletakkan prinsip 'Halalan Tayyiban; sebagai paksi utama dalam setiap tindakan ekonomi, kita bukan sahaja sedang melindungi generasi akan datang, malah membuktikan kepada dunia bahawa sistem Islam adalah aturan hidup yang benar-benar membawa rahmat kepada seluruh alam.
Maklumat penulis:
1. Mahasiswa Tahun Dua, Program Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Puqtra Saffwan Rosli
2. Penyelaras Kursus Pengenalan Kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my