Dalam era pemodenan, generasi muda sering dihujani dengan pelbagai tawaran kewangan – daripada peminjam mudah, penggunaan kad kredit sehinggalah pelaburan digital yang menjanjikan keuntungan segera dan lumayan. Namun, tanpa ilmu yang mencukupi, generasi muda mudah terjebak dalam hutang dan risiko kewangan yang menekan.
Islam sebagai agama yang syumul telah menyediakan panduan yang jelas dalam pengurusan harta, termasuklah larangan riba dan penekanan kepada keadilan. Justeru, literasi kewangan Islam perlu difahami sebagai keperluan asas, bukan sekadar isu akademik, demi melahirkan generasi yang lebih bijak dan beretika dalam mengurus kewangan.
Literasi kewangan merujuk kepada kemampuan untuk memahami dan menggunakan kemahiran kewangan asas dalam pengurusan wang, belanjawan dan juga pelaburan. Prinsip utama ekonomi islam ialah menolak riba (faedah berlebihan), gharar (ketidakpastian melampau) dan maisir (judi). Sebaliknya, ia menekankan keadilan, perkongsian risiko dan keberkatan dalam transaksi.
Perkara ini dapat dilihat melalui produk kewangan Islam yang semakin dekat dengan kehidupan generasi muda. Sebagai contohnya, akaun simpanan patuh syariah yang berkonsepkan wadiah dan mudharabah yang tidak mengenakan faedah tetapi memberi keuntungan melalui perkongsian hasil. Selain itu, takaful menjadi alternatif kepada insurans konvensional, berasaskan konsep tabarru’ (saling membantu) dan pelaburan halal seperti saham patuh syariah memberi peluang kepada belia untuk melabur secara beretika.
Rasulullah SAW bersabda: “Allah melaknat orang yang mengambil riba, memberi riba, orang yang mencatatnya dan dua orang saksinya” (Riwayat Muslim). Hadis ini jelas menggambarkan bahawa larangan riba adalah asas penting dalam literasi kewangan islam. Tanpa kefahaman ini, generasi muda mudah terperangkap dalam struktur kewangan yang membebankan dan tidak beretika.
Generasi muda di Malaysia berdepan pelbagai cabaran kewangan dalam era moden ini. Hutang pendidikan seperti peminjam PTPTN masih membelenggu ramai graduan kerana lebih 1.3 juta peminjam dilaporkan belum melunaskan hutang mereka sehingga tahun 2025. Selain itu, penggunaan kad kredit dan peminjam peribadi semakin meningkat dalam kalangan belia yang berusia 25 hingga 34 tahun. Keadaan ini menjadikan mereka kumpulan yang paling terdedah kepada tekanan hutang jangka panjang yang boleh menjejaskan kestabilan kewangan.
Gaya hidup digital turut menambah risiko apabila penggunaan e-wallet, pembelian dalam talian dan pelaburan kripto menjadi trend yang semakin popular namun tidak semuanya patuh syariah. Lebih membimbangkan, ramai generasi muda masih kurang pendedahan tentang kewangan islam seperti takaful, pembiayaan tanpa riba dan pelaburan halal.
Rasulullah SAW mengingatkan “Sesungguhnya setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu akan ditanya tentang kepimpinananya…” (Riwayat al-Bukhari & Muslim). Hadis ini menekankan bahawa generasi muda perlu bertanggungjawab dalam mengurus kewangan mereka dengan amanah dan tidak mengikut trend popular masa kini.
Ada pandangan yang menyatakan literasi kewangan Islam hanyalah pilihan kerana sistem konvensional sudah lama bertapak dan lebih meluas. Namun, hakikatnya ia merupakan satu keperluan yang mendesak. Literasi kewangan Islam membantu generasi muda mengelak daripada hutang, riba, menabung dengan cara halal serta melabur secara halal.
Jika dianggap sekadar pilihan, generasi muda berisiko memilih jalan yang salah dan akhirnya terjerumus dalam tekanan kewangan yang berpanjangan. Literasi kewangan islam perlu dilihat sebagai asas penting dalam membentuk masyarakat yang lebih Sejahtera dan berdaya tahan, bukan sekadar alternatif yang boleh diabaikan.
Rasulullah SAW bersabda: “Kekayaan itu bukanlah dengan banyaknya harta benda, tetapi kekayaan itu ialah kaya hati” (Riwayat al-Bukhari & Muslim). Hadis ini mengajar bahawa literasi kewangan Islam bukan untuk mengejar keuntungan semata-mata, tetapi membentuk sikap yang beretika dan Sejahtera.
Perkembangan literasi kewangan Islam tidak akan berlaku tanpa sokongan institusi yang berperanan mendidik dan membimbing generasi muda. Universiti atau sekolah boleh memperkenalkan kursus asas kewangan Islam sebagai sebahagian daripada pendidikan yang formal. Institusi kewangan Islam seperti bank dan syarikat takaful pula boleh menganjur program literasi kewangan Islam khas kepada golongan belia termasuklah seminar dan lain-lain.
Media arus perdana juga perlu memainkan peranan penting dalam menyebarkan kempen kesedaran, artikel dan forum yang mudah difahami oleh masyarakat. Disamping itu, pihak kerajaan dan NGO boleh menyediakan modul latihan dan juga sokongan yang berterusan untuk memastikan literasi kewangan Islam boleh diamalkan dalam kehidupan seharian. Semua pihak mestilah berganding bahu agar literasi kewangan Islam tidak hanya menjadi wacana akademik, malah benar-benar dapat membentuk budaya masyarakat.
Jika generasi muda celik dalam kewangan Islam, masa depan ekonomi negara akan lebih terjamin. Masyarakat akan menjadi lebih berdaya tahan terhadap krisis ekonomi kerana mereka mengurus kewangan dengan lebih beretika dan berlandaskan syariah Islam. Masalah sosial mengakibatkan hutang berlebihan dan ketidakstabilan kewangan juga dapat dikurangkan.
Selain itu, kesejahteraan masyarakat akan meningkat melalui pengagihan zakat, wakaf dan juga pelaburan yang halal dan seterusnya dapat memberi manfaat kepada golongan yang lebih memerlukan. Pada masa yang sama, literasi kewangan Islam akan menyokong agenda negara dalam usaha memperkukuhkan sistem kewangan Islam di peringkat global, menjadikan Malaysia sebagai peneraju utama dalam industri ini.
Sebaliknya, jika literasi kewangan Islam diabaikan, ia akan menyebabkan generasi muda berisiko terperangkap dalam struktur kewangan yang membebankan, sekali gus menjejaskan kestabilan ekonomi dalam jangka masa panjang.
Ringkasnya, literasi kewangan Islam tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan, sebaliknya menjadi tuntutan utama dalam menghadapi cabaran ekonomi moden. Dalam dunia yang penuh cabaran kewangan moden, ilmu tentang literasi kewangan Islam ini menjadi benteng daripada terjebak dengan hutang, riba, pelaburan yang tidak halal serta ketidakstabilan ekonomi.
Generasi muda perlu diperkasa dengan pengetahuan, terutamanya kewangan Islam agar mereka mampu membuat yang Keputusan yang bijak, beretika dan berlandaskan syariah. Literasi kewangan Islam merupakan asas kepada kesejahteraan ekonomi masyarakat dan masa depan negara.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Dua, Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Atikah Marzuki,
2) Pensyarah Kursus Pengenalan Ekonomi Islam (ECO3073), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Jaharudin Padli.