Pada era globalisasi ini, budaya membazir makanan semakin membimbangkan di Malaysia. Ironinya, masih terdapat golongan orang susah yang mengalami kekurangan makanan sehingga terpaksa berjimat demi sesuap nasi, namun pada masa sama, bertimbun-timbun makanan dibuang begitu sahaja setiap hari. Ia bukan sekadar mendatangkan kerugian ekonomi, malah jelas bertentangan dengan nilai yang diajar oleh Islam. Ekonomi Islam menekankan penggunaan sumber secara bijak, sederhana dan beretika. Oleh itu, isu pembaziran makanan ini perlu dilihat sebagai cabaran besar yang memerlukan tindakan berlandaskan prinsip Islam.
Pembaziran makanan berlaku apabila makanan yang masih baik keadaanya akhirnya dibuang ke dalam tong sampah. situasi ini sering berlaku di rumah, restoran, hotel, majlis dan kedai makan. Antara punca masalah ini berlaku adalah disebabkan oleh sikap masyarakat yang tamak ketika membeli, tidak merancang ketika menyediakan makanan dan sekadar mengambil makanan mengikut nafsu melebihi keperluan. Kemudahan teknologi dan pelbagai aplikasi penghantaran makanan menjadikan masyarakat lebih mudah membuat pesanan secara spontan. Dengan adanya promosi, diskaun dan tawaran penghantaran percuma menjadikan mereka muda tergoda untuk membeli lebih daripada yang diperlukan. Kesannya, banyak makanan yang tidak dihabiskan dan akhirnya dibuang.
Dari sudut ekonomi, penghasilan setiap makanan yang dibazirkan itu melibatkan penggunaan sumber yang pelbagai seperti tanah, air, tenaga kerja, modal dan teknologi. Apabila makanan dibuang, semua sumber yang digunakan turut dibazirkan. Hal ini menjejaskan kecekapan ekonomi dan menyukarkan usaha mencapai pembangunan mampan. Selain itu, kos untuk mengurus sisa makanan yang semakin bertambah juga menjadi masalah tambahan kepada kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.
Dari sudut Islam pula, sikap membazir ini dipandang serius kerana ia melanggar prinsip kesederhanaan atau wasatiyyah. ALLAH telah berfirman dalam Surah al-A‘raf ayat 31:"Makan dan minumlah, tetapi jangan berlebih-lebihan. ALLAH tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan". Ayat ini jelas ini jelas menunjukkan bahawa nikmat rezeki bukan sesuatu yang boleh diambil mudah, tapi perlu dilakukan dengan sederhana dan tidak melampaui batas. Dalam ekonomi Islam, prinsip sederhana penting untuk memastikan sumber digunakan secara optimum, bukannya dibiarkan terbuang.
Islam juga melarang perbuatan israf iaitu penggunaan secara berlebihan sehingga berlakunya pembaziran. Pembaziran makanan antara bentuk israf yang paling kerap berlaku pada masa ini. Dalam Surah al-Isra' ayat 27 telah diingatkan bahawa orang yang membazir adalah sebenarnya saudara syaitan. Pembaziran bukan sahaja memberi impak kepada ekonomi, tetapi dari sudut akhlak dan rohani turut terkesan. Sebagai seorang Muslim wajib mengetahui untuk menghargai nikmat yang diberikan dan menggunakan dengan penuh tanggungjawab.
Berdasarkan ekonomi Islam, semua sumber yang diperoleh termasuk makanan adalah amanah dari ALLAH. Oleh itu, dengan penuh kewajipan kepada masyarakat untuk mengurus dan mengguna sumber tersebut dengan bijak. Makanan tu bukanlah sekadar komoditi semata-mata, namun ia adalah rezeki yang perlu dihargai. Sikap suka membazir seolah-olah menunjukkan bahawa sebuah kegagalan dalam menjalankan amanah yang telah diberi. Apabila sesuatu makanan dihargai, sikap ini sebenarnya memberi pengajaran supaya bersyukur dan lebih peka dengan nasib orang lain yang menghadapi kesusahan.
Pembaziran bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah turut dirasai oleh masyarakat. Sisa makanan yang dibuang akan menghasilkan gas metana yang menjadi penyumbang kepada pemanasan global dan perubahan iklim. Jumlah sisa pepejal yang semakin bertmabah, turut memerlukan kos pengurusan yang tinggi. Lebih memilukan, pembaziran ini berlaku sedangkan masih terdapat golongan yang masih berlapar iaitu golongan miskin, asnaf, dan gelandangan. Jelaslah bahawa perkara ini bercanggah dengan prinsip keadilan sosial yang menjadi asas ekonomi Islam.
Setiap perubahan perlulah bermula dari individu. Setiap individu perlu lebih teliti apabila merancang pembelian makanan dan mengelakkan membeli mengikut nafsu. Dengan menyediakan senarai barangan sebelum membuat pembelian, mengambil makanan berdasarkan keperluan, dan menghabiskan semua makanan yang dibeli. Sikap sederhana ni bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran, malah menunjukkan akhlak Muslim yang menghargai nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH
Makanan lebihan yang masih elok masih ada nilainya. Antaranya dengan menyimpan untuk kegunaan akan datang atau berkongsi dengan jiran, kawan, atau yang lebih memerlukan. Amalan berkongsi ini sinonim dengan konsep ukhuwah dan kebajikan yang Islam sangat galakkan. Bukan sahaja dapat mencegah pembaziran, bahkan boleh meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik.
Institusi seperti masjid, sekolah, universiti juga perlulah memainkan peranan penting. Dengan menganjurkan program pendidikan dan kempen kesedaran untuk memupuk budaya menggunakan sumber dengan penuh bertanggungjawab. Usahawan makanan juga boleh mengurus inventori secara cekap dan menghantar lebihan makanan kepada badan kebajikan. Kerajaan pula boleh meneruskan kempen kesedaran dan menggalakkan amalan penggunaan lestari dalam masyarakat.
Kesimpulannya, isu pembaziran makanan ini tidak sepatutnya dipandang remeh kerana mendatangkan kesan yang meluas bukan sekadar sudut ekonomi sahaja. Dari sudut ekonomi Islam pula, pembaziran bertentangan dengan nilai sederhana, amanah dan keadilan sosial. Setiap individu bertanggungjawab dalam mengubah cara berfikir dan amalan dalam penggunaan makanan yang lebih berhemah. Jika nilai ekonomi Islam diamalkan, isu pembaziran boleh dikurangkan, masyarakat menjadi lebih sejahtera dan pembangunan ekonomi yang mampan dapat dicapai bersama.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Dua, Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Syahirah Abd Halim
2) Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my