Kemiskinan merupakan antara isu utama yang sering dibincangkan dalam pembangunan ekonomi sesebuah negara termasuk Malaysia. Walaupun Malaysia telah mencapai kemajuan pesat dari segi teknologi, pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi, masih terdapat sebahagian masyarakat yang hidup dalam kesempitan akibat kesukaran memenuhi keperluan asas. Keadaan ini menunjukkan bahawa, pertumbuhan ekonomi sesebuah negara tidak semestinya menjamin pengagihan kekayaan yang adil kepada semua lapisan masyarakat. Situasi ini semakin mencabar apabila kos sara hidup terus meningkat, peluang pekerjaan tidak seimbang, serta jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin semakin melebar. Lantas, timbul persoalan sama ada pendekatan bantuan jangka pendek mampu menyelesaikan masalah ini secara tuntas atau memerlukan satu sistem penyelesaian yang lebih menyeluruh, berstruktur dan berterusan.
Dalam konteks ekonomi Islam, pembangunan ekonomi tidak hanya berfokus kepada aspek keuntungan material semata-mata, tetapi turut menekankan aspek keadilan sosial, keseimbangan pengagihan kekayaan dan kesejahteraan ummah secara menyeluruh. Islam memandang kekayaan sebagai amanah daripada ALLAH SWT yang perlu diurus secara adil agar tidak hanya berlegar dalam kalangan golongan tertentu sahaja. Perkara ini ditegaskan dalam firman ALLAH dalam Surah Al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud:
"Supaya harta itu tidak hanya beredar dalam kalangan orang kaya sahaja antara kamu."
Ayat ini menunjukkan bahawa Islam secara jelas menolak ketidakseimbangan ekonomi kerana ini boleh membawa kepada jurang sosial yang lebih besar, ketidakadilan ekonomi dan akhirnya menjejaskan keharmonian masyarakat. Justeru, Islam memperkenalkan instrumen ekonomi seperti zakat dan wakaf sebagai mekanisme utama dalam memastikan pengagihan kekayaan berlaku secara lebih adil, inklusif dan berkesan.
Zakat merupakan instrumen kewangan Islam yang berperanan penting dalam mengurangkan ketidakseimbangan sosioekonomi melalui pengagihan semula kekayaan daripada golongan berkemampuan kepada golongan yang layak menerima bantuan. Hal ini ditegaskan dalam firman ALLAH dalam Surah At-Taubah ayat 103:
"Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan dan menyucikan mereka."
Secara tidak langsung, zakat bukan sekadar ibadah wajib, tetapi juga berfungsi sebagai sistem jaminan sosial yang menyokong kestabilan ekonomi umat Islam. Dari sudut ekonomi, zakat membantu mengurangkan pengumpulan harta dalam satu kelompok kecil serta meningkatkan kuasa pembelian dalam kalangan masyarakat berpendapatan rendah. Ini secara tidak langsung merangsang aktiviti ekonomi kerana aliran wang berlaku dalam ekonomi sebenar.
Di Malaysia, pelaksanaan zakat telah diperluaskan merangkumi pelbagai bentuk bantuan seperti pendidikan, kesihatan, perumahan, modal perniagaan dan pembangunan modal insan. Sebagai contoh, bantuan pendidikan bukan sahaja membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk meneruskan pengajian, tetapi juga meningkatkan mobiliti sosial mereka dalam jangka panjang. Hal ini penting kerana pendidikan merupakan faktor utama dalam memutuskan kitaran kemiskinan antara generasi. Selain itu, bantuan modal perniagaan kepada golongan asnaf membolehkan mereka menjana pendapatan sendiri melalui aktiviti ekonomi kecil seperti perniagaan makanan, pertanian atau perkhidmatan. Pendekatan ini lebih bersifat produktif berbanding bantuan berbentuk konsumptif kerana ia menggalakkan penerima untuk berdikari dan keluar daripada kitaran kemiskinan secara lebih mampan. Oleh itu, pengurusan zakat yang sistematik, telus dan efisien mampu memberi impak besar bukan sahaja kepada individu, malah kepada kestabilan ekonomi negara secara keseluruhan.
Selain zakat, wakaf turut memainkan peranan yang sangat signifikan dalam usaha membasmi kemiskinan. Namun begitu, masih terdapat salah faham dalam masyarakat yang menganggap wakaf hanya terhad kepada pembinaan masjid, surau atau tanah perkuburan. Hakikatnya, konsep wakaf adalah lebih luas dan fleksibel kerana ia merangkumi pelbagai bentuk aset seperti tanah, bangunan, wang tunai dan harta yang boleh dimanfaatkan secara berterusan untuk kepentingan masyarakat. Pada masa kini, pendekatan wakaf produktif semakin mendapat perhatian kerana ia mampu menjana manfaat jangka panjang. Sebagai contoh, pembangunan tanah wakaf boleh dijadikan pusat pendidikan, hospital, rumah mampu milik, pusat latihan kemahiran atau premis perniagaan. Inisiatif ini bukan sahaja membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan akses kepada kemudahan asas, malah turut mewujudkan peluang pekerjaan, mengurangkan kadar pengangguran dan merangsang pembangunan ekonomi setempat secara inklusif. Mutakhir ini, dapat dilihat pelbagai institusi pengajian tinggi mahupun sekolah dengan kerjasama dari agensi berwajib telah mewujudkan dana waqaf yang memberi manfaat terus kepada para pelajar seperti Universiti Teknologi Malaysia yang menubuhkan Dana Wakaf Pendidikan UTM, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan perwujudan Biasiswa Wakaf Ilmu UMT dan Rumah Wakaf Alumni UMT, Universiti Sains Islam Malaysia yang menubuhkan Program Wakaf Pendidikan dan banyak lagi.
Kelebihan utama wakaf ialah sifatnya yang berterusan (sadaqah jariah), di mana manfaatnya tidak terhenti selepas sesuatu aset diwakafkan. Sebaliknya, aset tersebut boleh terus menjana pendapatan yang kemudiannya disalurkan semula kepada aktiviti kebajikan, pendidikan dan pembangunan masyarakat. Hal ini menjadikan wakaf sebagai instrumen pelaburan sosial jangka panjang yang sangat relevan dalam menangani isu kemiskinan secara mampan dan berkesan.
Walaupun zakat dan wakaf mempunyai potensi besar, pelaksanaannya masih berdepan beberapa cabaran utama. Antaranya ialah tahap kesedaran masyarakat yang masih rendah terhadap fungsi sebenar kedua-dua instrumen ini. Terdapat juga persepsi bahawa zakat hanya kewajiban tahunan, manakala wakaf pula hanya berkaitan urusan ibadah semata-mata. Selain itu, isu pengurusan dan pentadbiran yang kurang cekap serta birokrasi yang kompleks turut memberi kesan kepada keberkesanan agihan dan pembangunan aset.
Oleh itu, penambahbaikan perlu dilaksanakan melalui integrasi teknologi digital seperti sistem e-zakat, blockchain untuk ketelusan dana, serta pengurusan data yang lebih sistematik dan moden. Pada masa yang sama, pendidikan dan kempen kesedaran juga perlu diperkasakan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat tentang peranan sebenar instrumen ini dalam pembangunan ekonomi Islam dan negara. Kerjasama strategik antara institusi agama, kerajaan, NGO dan masyarakat juga amat penting bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan sistem ini secara menyeluruh dan berimpak tinggi.
Kemiskinan merupakan isu kompleks yang memerlukan penyelesaian jangka panjang dan pendekatan berterusan daripada pelbagai pihak. Namun, ekonomi Islam melalui instrumen zakat dan wakaf menawarkan satu sistem yang lebih holistik, adil dan mampan dalam menangani isu ini. Zakat berfungsi sebagai mekanisme pengagihan semula kekayaan secara langsung, manakala wakaf pula menyediakan manfaat berterusan melalui pembangunan aset produktif. Justeru, pengukuhan kesedaran masyarakat, peningkatan kecekapan pengurusan serta sokongan bersepadu daripada semua pihak amat penting bagi memastikan kedua-dua instrumen ini benar-benar berfungsi sebagai pemangkin kepada kesejahteraan sosial dan pengurangan kemiskinan rakyat secara mampan.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Dua, Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nor Najlaa Aina Luwi
2) Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my