Hutang: Keperluan atau perangkap? Pandangan ekonomi Islam dalam pengurusan hutang

Iklan
Gambar hiasan

Isu hutang menjadi satu cabaran yang besar dalam kehidupan masyarakat hari ini kerana peningkatan kos sara hidup, kemudahan pinjaman yang mudah diperoleh dan budaya perbelanjaan yang semakin tidak terkawal. Ramai individu terpaksa membuat pinjaman untuk memenuhi keperluan hidup dengan membeli rumah, kenderaan atau membiayai pendidikan.

Walau bagaimanapun, terdapat juga segelintir masyarakat yang berhutang untuk memenuhi kehendak dan gaya hidup mewah sehingga menghadapi masalah kewangan yang serius. Dalam keadaan ini, ekonomi Islam telah menawarkan panduan yang jelas mengenai pengurusan hutang agar individu dapat mencapai kestabilan kewangan tanpa menjejaskan kesejahteraan diri dan keluarga.

Iklan
Iklan

Secara umumnya, Islam tidak melarang umatnya berhutang. Hutang dibenarkan dalam ekonomi Islam sekiranya ia bertujuan memenuhi keperluan yang dibenarkan syarak dan dilakukan mengikut kemampuan seseorang. Namun begitu, Islam memandang hutang sebagai salah satu amanah dan tanggungjawab yang wajib dilunaskan bagi seorang muslim. Rasulullah SAW sendiri menegaskan bahawa hutang perlu dibayar dan tidak boleh dipandang remeh. Oleh sebab itu, seseorang muslim mestilah berhati-hati sebelum membuat keputusan untuk berhutang.

Salah satu prinsip utama dalam pengurusan hutang dalam ekonomi Islam ialah mengelakkan pembaziran dan perbelanjaan yang berlebihan. Islam mengajar umatnya supaya mengamalkan sikap sederhana dalam berbelanja serta mendahulukan keperluan berbanding kehendak. Kini, ramai individu terjebak dengan hutang akibat pembelian barangan yang tidak diperlukan, penggunaan kad kredit secara berlebihan dan keinginan untuk gaya hidup semasa yang mewah.

Iklan

Sikap ini bukan sahaja meningkatkan beban kewangan seseorang tetapi juga menyebabkan seseorang terperangkap dalam kitaran hutang yang sukar diselesaikan. Oleh itu, pengurusan kewangan yang bijak dan berdisiplin oleh seseorang individu perlu diamalkan bagi mengelakkan masalah tersebut terjadi.

Selain itu, ekonomi Islam menekankan bahawa hutang mestilah bebas daripada riba. Riba merujuk kepada nilai tambahan atau faedah yang dikenakan ke atas pinjaman dan riba ini telah diharamkan secara jelas dalam Al-Quran. Larangan ini bertujuan untuk mengelakkan

Iklan

penindasan terhadap pihak yang meminjam serta memastikan keadilan dalam urusan kewangan. Dalam sistem kewangan ekonomi Islam, pelbagai alternatif pembiayaan telah diperkenalkan seperti murabahah, ijarah dan musharakah yang berasaskan perkongsian risiko dan keuntungan. Pendekatan ini membolehkan individu mendapatkan pembiayaan tanpa terlibat dengan unsur riba yang dilarang oleh Islam.

Di samping itu, Islam menggalakkan para pemiutang untuk bersikap bertimbang rasa terhadap penghutang yang menghadapi kesukaran pembayaran. Sekiranya seseorang itu benar-benar tidak mampu melunaskan hutangnya pada masa yang telah ditetapkan dalam perjanjian maka Islam menggalakkan pemberian tempoh masa tambahan atau penjadualan semula pembayaran malah dalam sesuatu keadaan, pemiutang mestilah mengurangkan atau menghapuskan sebahagian hutang sebagai satu bentuk kebajikan sesama manusia. Prinsip ini dapat menunjukkan bahawa ekonomi Islam bukan sahaja mementingkan keuntungan tetapi juga mengambil kira pelbagai aspek kemanusiaan dan kebajikan sosial.

Bagi penghutang pula, Islam mengajar bahawa penghutang perlulah sentiasa berusaha untuk melangsaikan hutang secepat mungkin. Salah satu perbuatan yang tidak baik bagi seorang muslim ialah menangguhkan pembayaran hutang tanpa alasan yang munasabah. Oleh itu, individu yang mempunyai hutang perlu merancang kewangan dengan teliti, menyediakan bajet bulanan dan mengutamakan pembayaran hutang sebelum berbelanja untuk perkara yang kurang penting. Sikap tanggungjawab ini dapat membantu mengelakkan masalah kewangan yang lebih serius pada masa hadapan.

Dalam konteks masyarakat moden kini, peningkatan kes muflis atau bankrap akibat hutang pengguna menunjukkan bahawa kesedaran mengenai pengurusan hutang masih berada pada tahap yang rendah dan membimbangkan. Ramai individu termasuklah golongan muda yang telah terjebak dengan pinjaman peribadi dan penggunaan kad kredit tanpa kawalan.

Hal ini dapat menunjukkan bahawa Pendidikan kewangan yang lebih menyeluruh berasaskan prinsip ekonomi Islam. Institusi pendidikan, institusi kewangan Islam dan pihak kerajaan perlu bersama-sama berganding bahu dalam meningkatkan literasi kewangan masyarakat agar mereka lebih memahami risiko hutang dan cara mengurus kewangan yang berkesan.

Selain peranan pendidikan kewangan, institusi kewangan Islam juga memainkan peranan yang amat penting dalam membantu masyarakat mengurus hutang secara lebih bijak dan bertanggungjawab. Produk pembiayaan yang ditawarkan perlu menepati prinsip Syariah serta mengambil kira kemampuan pelanggan. Pada masa yang sama juga, institusi kewangan perlu memberikan penerangan yang jelas mengenai syarat pembiayaan supaya pelanggan dapat membuat keputusan yang tepat dan tidak terbeban dengan komitmen kewangan yang berlebihan.

Seterusnya, institusi zakat dan badan kebajikan juga penting dalam membantu individu yang dibebani hutang. Dalam Islam, terdapat golongan asnaf yang dikenali sebagai al-gharimin iaitu seseorang yang menanggung hutang untuk tujuan yang dibenarkan dalam syarak dan tidak mampu melunaskannya. Bantuan yang disalurkan melalui dana zakat dapat membantu mereka keluar daripada masalah kewangan dan menjalani kehidupan yang lebih stabil.

Di Malaysia, pelbagai institusi zakat negeri menyediakan bantuan khas kepada golongan ini untuk mengurangkan beban hutang serta mengelakkan mereka daripada terus terjerumus ke dalam kemiskinan. Hal ini menunjukkan bahawa ekonomi Islam bukan sahaja menekankan tanggungjawab individu, malah menyediakan mekanisme sosial bagi membantu mereka yang menghadapi kesukaran kewangan.

Dalam era digital masa kini, masyarakat terdedah kepada pelbagai bentuk kemudahan kewangan yang boleh diperoleh hanya melalui telefon pintar. Oleh sebab mengikut gaya hidup yang mewah menyebabkan ramai pengguna membuat keputusan kewangan tanpa pertimbangan yang sewajarnya. Oleh itu, literasi kewangan menjadi kepentingan untuk memastikan masyarakat memahami risiko yang berkaitan dengan hutang.

Pendidikan kewangan berasaskan prinsip ekonomi Islam perlu diperkasakan agar pengguna mampu membezakan antara keperluan kehendak, mengurus pendapatan dengan bijak serta mengelakkan amalan yang boleh membawa kepada masalah kewangan pada masa hadapan. Kesedaran ini penting bagi melahirkan masyarakat yang lebih bertanggungjawab dalam membuat keputusan ekonomi.

Kesimpulannya, pengurusan hutang menurut perspektif ekonomi Islam bukan hanya sekadar proses memberi pinjaman dan membayar semula hutang tetapi pengurusan hutang ini juga merangkumi nilai amanah, tanggungjawab, keadilan dan kesederhanaan. Islam membenarkan hutang sebagai satu keperluan, namun mengingatkan umatnya supaya tidak menjadikan hutang sebagai jalan untuk memenuhi kehendak yang berlebihan dan mewah. Cabaran hutang yang semakin membelenggu masyarakat moden kini memerlukan

penyelesaian yang bukan sahaja berasaskan aspek kewangan tetapi juga nilai dan etika.dalam dunia yang semakin dipengaruhi budaya berbelanja dan kemudahan kredit menyebabkan masyarakat kini perlu bertanya kepada diri sendiri sama ada hutang yang dibuat benar-benar satu keperluan atau kehendak.

Dengan mengamalkan prinsip-prinsip yang telah dijelaskan oleh Islam seperti mengelakkan penggunaan riba dalam hutang, berbelanja secara berhemah dan melunaskan hutang mengikut kemampuan masing-masing menyebabkan masyarakat dapat mencapai kestabilan kewangan yang lebih baik. Akhirnya, pengurusan hutang yang berlandaskan Syariah mampu melahirkan individu yang lebih bertanggungjawab serta menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi negara secara keseluruhannya.

Maklumat penulis:

1. Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Najwa Eizaty Khairul Anuar

2. Pensyarah, Dr Jaharudin Padli