Makanan viral, harga melambung: Antara gaya hidup dan keperluan sebenar menurut perspektif ekonomi Islam

Iklan
Gambar hiasan

Pada era digital yang berkembang pesat hari ini, makanan bukan lagi sekadar memenuhi keperluan asas manusia, malah turut menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat. Kewujudan media sosial seperti Tiktok dan Instagram telah mengubah pandangan masyarakat terhadap makanan apabila sesuatu hidangan menarik perhatian jutaan pengguna dalam masa yang singkat.

Fenomena makanan 'viral' seperti minuman premium, pencuci mulut dan hidangan ekslusif kini menjadi “trend” terumatanya dalam golongan remaja. Sebagai contoh yang sedang disukai ramai adalah minuman dan makanan berasaskan Matcha, Tiramisu dan olahan makanan berasaskan Pistachio. Namun begitu, perkembangan ini turut membawa kepada persoalan apabila harga makanan semakin meningkat dan melampaui kemampuan sesetengah masyarakat.

Iklan
Iklan

Pada era kini, makanan yang dulu dianggap mampu milik kini dijual dengan harga yang tinggi disebabkan oleh faktor populariti dan jenama. Contohnya, nasi lemak di kafe estetik yang kini berharga melebihi RM15 setiap hidangan. Keadaan ini menyebabkan masyarakat mempersoalkan sama ada makanan yang dibayar adalah nilai sebenar atau nilai trend. Dalam perspektif Islam, makanan bukanlah sekadar sesuatu untuk dijual beli, malah merupakan sesuatu nikmat oleh ALLAH SWT yang perlu disyukuri dan diuruskan secara halal.

Menurut firman ALLAH SWT ayat 24 Surah Al-Abasa, ”Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya”. Ayat ini menunjukkan bahawa makanan merupakan keperluan yang sangat penting dalam kehidupan manusia dan perlu mengambil perhatian dari aspek sumber, pengurusan serta penggunaannya.

Iklan

Fenomena makanan viral ini tidak menjadi masalah sekiranya berlaku dalam keadaan yang dibenarkan oleh syarak. Isu trend semasa seperti “Ayam Gepuk Pistachio” dan “Ikan Keli Pistachio” kini menjadi perhatian orang ramai di media sosial. Trend makanan seperti berikut akan menyebabkan pembaziran dan mewujudkan persaingan tidak sihat. Makanan yang kurang berkualiti dan harga yang tinggi perlu dikaji semula mengikut perspektif ekonomi Islam.

Ekonomi Islam menerapkan prinsip keadilan (al-Adla) dalam setiap aktiviti ekonomi. Keuntungan dalam perniagaan tidak boleh diperoleh daripada cara yang membebankan individu. Dalam isi makanan viral, peniaga perlu memastikan harga yang ditetapkan adalah munasabah dan mengikut harga pasaran yang ditetapkan oleh kerajaan dan tidak melampaui batas kemampuan masyarakat.

Iklan

ALLAH SWT berfirman dalam Surah An-Nisa ayat 29, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara reda-meredai antara kamu”.

Ayat ini menjadi panduan bahawa aktiviti perniagaan jual beli mestilah dilakukan secara jujur dan tidak melibatkan unsur mengambil kesempatan terhadap pihak lain. Kenaikan harga yang munasabah masih diperlukan bagi memastikan peniaga dapat meneruskan operasi. Sebagai contoh, peningkatan harga makanan disebabkan kos bahan mentah seperti minyak, tepung dan ayam meningkat.

Sekiranya harga dinaikkan sekadar mengikut trend, hal ini boleh bertentang dengan prinsip keadilan dalam Islam. Isu penipuan dalam urusan perniagaan turut menarik perhatian dari segi Islam. Peniaga mestilah bersifat tanggungjawab atas kualiti, produk dan harga makanan mengikut syarak. ALLAH SWT berfirman, “Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan).”, Surah Al-Mutaffifin, ayat 1.

Dalam fenomena makanan viral hari ini, peniaga perlu memastikan harga yang ditetapkan mestilah berpatutan tanpa mengambil kesempatan pengguna. Prinsip ini selari dengan ekonomi Islam yang menekankan nilai amanah dan kejujuran. Dalam dunia makanan moden, Islam melarang segala bentuk manipulasi atau penipuan seperti meletakkan harga yang terlalu tinggi tanpa sebab atau membina persepsi bahawa produk akan lebih bernilai hanya kerana ia menjadi viral. Pada masa yang sama, pengguna juga memainkan peranan dalam menghadapi trend makanan viral.

Dalam konsep Islam, ia mengajar untuk sentiasa besederhana dalam kehidupan bagi mengelakkan pembaziran. Allah SWT pernah berfirman dalam Surah Al-A’raf ayat 31, “Makanlah dan minumlah, tetapi janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan.” Ayat ini sangat sesuai dengan keadaan budaya membeli makanan pada masa kini.

Mencuba makanan baharu itu tidak salah, tetapi pengguna perlulah bijak dalam membuat pilihan supaya tidak berlebih-lebihan semata-mata ingin mengikut trend. Perbelanjaan perlulah sesuai dengan kemampuan sendiri dan tidak membawa kepada tekanan kewangan. Selain itu, Islam juga menekankan prinsip keseimbangan dalam kehidupan individu.

ALLAH SWT berfirman dalam Surah Al-Hasyr ayat 7, “Supaya harta itu jangan hanya beredar antara orang-orang kaya sahaja dalam kalangan kamu”. Prinsip ini menunjukkan ekonomi Islam menggalakkan pengagihan yang lebih adil supaya setiap lapisan masyarakat dapat menikmati manfaat ekonomi. Dalam konsep Islam, masyarakat boleh membantu golongan yang memerlukan dalam bentuk zakat dan sedekah. Menurut firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 267, “Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik...”.

Konsep ini menunjukkan lebihan kekayaan daripada golongan yang berkemampuan dapat disalurkan kepada golongan yang lebih memerlukan. Dalam konteks makanan, bantuan seperti zakat makanan, bantuan kewangan dan program kebajikan dapat membantu golongan yang mengalami krisis kos sara hidup yang tinggi. Kesimpulannya, fenomena makanan viral dan kenaikan harga makanan perlu diambil kira secara seimbang. Peniaga tidak salah untuk mengembangkan industri makanan dan kreativiti, tetapi ia boleh menyumbang kepada ekonomi masyarakat.

Namun, perkara tersebut perlulah dilalukan mengikut prinsip ekonomi Islam yang mementingkan keadilan, amanah dan tanggungjawab sosial. Makanan bukan dilihat sebagai gaya hidup, tetapi ia merupakan keperluan asas dalam kehidupan yang harus dihargai. Oleh itu, peniaga mestilah memperoleh keuntungan secara beretika, manakala pengguna perlulah mengamalkan perbelanjaan secara bijak.

Pendekatan ekonomi Islam menunjukkan bahawa pembangunan ekonomi bukanlah tentang keuntungan semata-mata, tetapi juga tentang kepentingan kesejahteraan masyarakat.

Maklumat penulis:

1. Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Farrah Hazwanee Redzuan

2. Pensyarah, Dr Jaharudin Padli