Jauh beribu kilometer meninggalkan keluarga di Banting, Selangor bukanlah satu keputusan mudah buat Muhammad Haikal Zainal Abidin.
Namun demi mengejar cita-cita dalam bidang kulinari, remaja berusia 18 tahun itu nekad merantau ke Sabah untuk memulakan pengajian di Kolej Komuniti Beaufort (KKBS).
Bekas pelajar Sekolah Menengah Jugra itu secara rasmi mendaftar sebagai pelajar Program Sijil Kulinari bagi Sesi I 2026/2027 pada Isnin lalu.
Lebih istimewa, hari pendaftarannya turut ditemani ibu serta abang yang sanggup terbang ke Sabah bagi memberi sokongan kepada langkah baharu yang bakal mengubah perjalanan hidupnya.
Pemuda yang lebih mesra dipanggil sebagai Haikal itu berkata, keputusan memilih KKBS bukanlah dibuat secara terburu-buru. Sebaliknya, ia lahir daripada minat mendalam terhadap dunia masakan yang telah bercambah sejak kecil.
"Saya memang meminati bidang kulinari sejak kecil lagi. Saya mahu membina kemahiran yang betul dan memahami asas memasak secara menyeluruh sebelum melangkah lebih jauh dalam bidang ini," katanya dalam perkongsian KKBS di laman sosial Facebook.
Menariknya, Haikal sebenarnya memiliki keputusan akademik yang membolehkannya melanjutkan pengajian terus ke peringkat diploma dalam bidang kulinari di institusi lain.
Namun, beliau memilih laluan berbeza dengan memulakan pengajian di peringkat sijil kerana percaya kejayaan dalam dunia kulinari tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata.
Baginya, penguasaan kemahiran asas yang kukuh merupakan kunci utama untuk membina kerjaya sebagai cef profesional pada masa depan.
"Saya mahu belajar daripada asas. Dalam bidang kulinari, kemahiran praktikal sangat penting. Sebab itu saya memilih untuk bermula di peringkat sijil supaya dapat menguasai asas dengan lebih baik," ujarnya.
Selain faktor pembelajaran, Haikal turut melihat KKBS sebagai platform yang mampu membuka peluang lebih luas untuk menyertai pertandingan kemahiran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau percaya persekitaran pembelajaran yang lebih fokus dan bimbingan tenaga pengajar berpengalaman dapat membantu merealisasikan impiannya suatu hari nanti.
Di sebalik semangat yang ditunjukkan, Haikal mengakui terselit rasa sebak apabila mengenangkan jarak yang memisahkannya daripada keluarga di Selangor.
Namun, beliau menjadikan pengorbanan tersebut sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha dan membuktikan bahawa kejayaan memerlukan keberanian untuk keluar dari zon selesa.
"Saya memang sedih kerana perlu berjauhan dengan keluarga, tetapi saya tahu ini adalah langkah yang perlu diambil untuk mengejar cita-cita," katanya.
Kisah Haikal membuktikan bahawa kejayaan tidak semestinya bermula dengan laluan yang paling pantas atau paling popular. Kadangkala, ia bermula dengan keberanian membuat pilihan yang diyakini mampu membina asas lebih kukuh untuk masa depan.
Kini, anak muda dari Banting itu memulakan lembaran baharu di bumi Sabah dengan satu impian besar iaitu menjadi cef profesional yang bukan sahaja berjaya dalam kerjaya, malah mampu mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Selamat maju jaya daripada Sinar Bestari!