Sedekah atas talian: Kod QR dan wakaf digital jadi pilihan mahasiswa?

Iklan
Menariknya, pengaruh digital ini bukan sahaja mengubah cara berbelanja, tetapi ia juga mengubah cara mereka beramal. Gambar kecil: Nurul Ain Natashah (atas) dan Dr Jaharudin (bawah)

Pada zaman sekarang, kalau kita periksa dompet mahasiswa, memang susah nak jumpa wang tunai RM1 atau RM5. Hampir semua mahasiswa hari ini telah beralih ke gaya hidup tanpa wang tunai atau lebih dikenali sebagai cashless. Urusan pembayaran makanan melalui imbas kod QR, manakala pembelian nota kuliah melalui pemindahan online. Menariknya, pengaruh digital ini bukan sahaja mengubah cara berbelanja, tetapi ia juga mengubah cara mereka beramal. Tabung masjid yang diedarkan secara fizikal kini bertukar kepada imbasan kod QR dan platform wakaf digital. Persoalannya, adakah inovasi kewangan Islam digital ini benar-benar berkesan dalam menggalakkan mahasiswa bersedekah, atau sekadar mengikut trend semasa? Perkara ini penting untuk dikupas bagi melihat bagaimana alat kewangan Islam berkembang selaras dengan jiwa anak muda.

Dalam ekonomi Islam, amalan bersedekah, infak dan wakaf merupakan alat penting dalam sistem pengagihan kekayaan. Islam mengajar kita untuk saling membantu agar tiada jurang ekonomi dalam masyarakat supaya kekayaan tidak hanya beredar dalam kalangan orang tertentu sahaja. Melalui konsep wakaf, harta yang didermakan tidak akan berkurang, tetapi manfaatnya akan terus dinikmati oleh golongan yang memerlukan secara berterusan. Dulu, wakaf dianggap hanya untuk orang kaya yang mampu menyumbang harta yang besar. Namun, dengan wujudnya platform wakaf digital, sesiapa pun termasuklah mahasiswa boleh mula berwakaf dengan serendah RM1. Amalan wakaf mikro ini mampu menjana kesan sosioekonomi yang luar biasa. Ini membuktikan bahawa keadilan sosial dalam Islam kini lebih mudah diakses oleh semua golongan tanpa mengira status kewangan.

Iklan
Iklan

Bagi mahasiswa, aplikasi bank, e-wallet, dan kod QR merupakan platform digital paling ideal untuk bersedekah kerana ia menyokong transaksi dana yang mempunyai nilai yang kecil atau lebih dikenali sebagai transaksi mikro. Walaupun berdepan dengan bajet bulanan yang terhad, mereka tetap boleh bersedekah mengikut kemampuan mereka, sekali gus membolehkan mereka bersedekah dengan baki wang yang kecil tanpa rasa ragu. Selain itu, ekonomi Islam amat menekankan sifat telus serta keterbukaan dalam sebarang urusan pentadbiran harta dan kewangan awam. Platform sedekah atas talian biasanya memaparkan sistem pelaporan transaksi yang nyata dan boleh diakses pada bila-bila masa. Ketelusan maklumat yang teratur amat penting bagi mengelakkan unsur penyewelengan wang yang boleh merosakkan matlamat asal sistem kebajikan ini. Tahap ketelusan ini berupaya memulihkan semula keyakinan mahasiswa terhadap institusi agama. Hal ini sedemikian kerana mereka boleh mengakses untuk mengesan aliran setiap wang yang disalurkan kepada golongan asnaf atau membiayai projek kebajikan kampus.

Walau bagaimanapun, kemudahan digital dan kod QR turut membawa cabaran baharu berkaitan keselamatan siber dan etika yang bertentangan dengan prinsip ekonomi Islam. Kebelakangan ini, berlaku sindiket penipuan iaitu kod QR masjid atau tabung amal diganti dengan kod QR peribadi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Perbuatan tidak beretika ini bukan sahaja satu bentuk rompakan digital yang haram, malah ia menjejaskan nama baik sistem kewangan islam. Menurut hukum syarak, penipuan maklumat dan penyalahgunaan wang awam adalah dosa besar yang menzalimi sesama manusia. Kesannya, kerugian wang ringgit dan hilang kepercayaan masyarakat untuk bersedekah atas talian. Apabila penderma hilang rasa percaya, kelangsungan bantuan untuk golongan miskin juga terjejas secara langsung. Melalui pembudayaan amalan murni ini di peringkat universiti, ia secara tidak langsung melatih mahasiswa untuk memikul tanggungjawab sosial yang lebih besar selepas bergraduasi nanti Sebagai golongan celik IT, mahasiswa perlu berhati-hati dan sentiasa meneliti nama penerima sebelum membuat pembayaran agar setiap sumbangan sampai kepada yang berhak.

Iklan

Untuk memastikan sedekah atas talian ini memberi kesan maksimum, pihak universiti perlulah memainkan peranan yang proaktif. Pihak universiti boleh meneroka kerjasama dengan institusi perbankan Islam atau pusat zakat untuk membina ekosistem fintech Islam yang lebih mesra mahasiswa. Contohnya, pihak pengurusan universiti boleh mewujudkan tabung kebajikan digital bagi membantu pelajar mendapatkan makanan harian dan juga gajet pembelajaran. Integrasi teknologi seperti kod QR di kafeteria atau sistem potongan mikro automatik daripada akaun bank pelajar boleh diperkenalkan bagi memudahkan proses transaksi harian. Pada masa yang sama, kempen kesedaran tentang kelebihan berwakaf dan berinfak juga boleh dilakukan secara kreatif di media sosial melalui video pendek, maklumat infografik, dan siaran secara langsung (live streaming). Apabila mahasiswa melihat sendiri bagaimana sumbangan kecil mereka mampu mengubah kehidupan rakan mereka, ia dapat melahirkan generasi yang lebih berempati dan juga pemurah. Secara tidak langsung, usaha ini bakal melahirkan ekosistem universiti yang madani iaitu kebajikan warganya dijaga oleh warganya sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada dana luar.

Kesimpulannya, peralihan amalan bersedekah daripada tabung fizikal kepada kod QR dan platform wakaf digital merupakan perkembangan yang positif dalam ekonomi Islam moden. Perubahan ini membuktikan sistem kewangan Islam bersifat progresif dan relevan mengikut peredaran masa. Bagi mahasiswa, kemudahan ini bukan sahaja budaya tanpa tunai, tetapi ruang terbaik untuk membina saham akhirat secara konsisten. Walaupun terdapat ancaman siber, risiko tersebut boleh ditangani melalui langkah keselamatan dan sikap pengguna yang sentiasa berwaspada. Secara keseluruhannya, platform sedekah digital ini selari dengan matlamat Maqasid Syariah dalam memelihara harta serta menegakkan keadilan sosial. Dengan mengintegrasikan teknologi dan nilai-nilai murni, generasi muda berupaya memacu ekonomi yang berkat, seterusnya melahirkan masyarakat yang sejahtera, progresif, dan juga saling membantu demi mencapai redha ALLAH SWT. 

Iklan

Maklumat penulis:

1) Mahasiswa Tahun Dua, Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nurul Ain Natashah Mohmad Sah

2) Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my