Ekonomi gig dan cabaran pekerjaan belia menurut perspektif ekonomi Islam

Iklan
Dalam konteks semasa, ekonomi gig boleh dilihat sebagai salah satu alternatif pekerjaan yang membolehkan individu meneroka pelbagai peluang pekerjaan dan menjana pendapatan secara lebih fleksibel. Gambar kecil: Nur Athiratul Jannah (atas) dan Dr Jaharudin (bawah)

Pada era globalisasi ini, isu pengangguran dan kebolehpasaran belia sering dikaitkan dengan kekurangan peluang pekerjaan yang tersedia kepada masyarakat di Malaysia. Keadaan ini berpunca daripada sebahagian syarikat dan organisasi yang masih berada dalam fasa pemulihan ekonomi selepas krisis yang tercetus akibat pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan besar kepada ekonomi global. Sehubungan itu, ekonomi gig muncul sebagai salah satu alternatif utama bagi menjana pendapatan dalam kalangan masyarakat. Dari perspektif Islam, usaha mencari rezeki merupakan satu tuntutan yang digalakkan. ALLAH SWT berfirman dalam Surah Al-Mulk ayat 15:"Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan ALLAH...". Ayat ini menunjukkan bahawa manusia dituntut untuk berusaha dan memanfaatkan segala peluang yang tersedia bagi memperoleh rezeki yang halal. Dalam konteks semasa, ekonomi gig boleh dilihat sebagai salah satu alternatif pekerjaan yang membolehkan individu meneroka pelbagai peluang pekerjaan dan menjana pendapatan secara lebih fleksibel. Walau bagaimanapun, perubahan trend pekerjaan ini juga turut membawa beberapa cabaran yang berpotensi menjejaskan kesejahteraan sosioekonomi golongan belia dalam jangka panjang. Oleh itu, perbincangan ini penting bagi menilai sejauh mana ekosistem pekerjaan semasa menepati tuntutan syariah dan maqasid syariah dalam melindungi hak serta kebajikan pekerja.

Dalam konteks semasa, perkembangan ekonomi digital di Malaysia semakin pesat. Menurut data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta e-dagang menyumbang sebanyak 23.5 peratus kepada ekonomi negara pada tahun 2023 dengan nilai RM427.7 billion. Perkembangan ini turut merangsang pertumbuhan ekonomi gig melalui pelbagai platform digital yang menawarkan peluang pekerjaan baharu, khususnya kepada golongan belia. Antara pekerjaan yang mendapat sambutan dalam ekonomi gig ialah seperti pemandu e-hailing, penghantar makanan, pereka grafik, program pemasaran afiliasi seperti tiktok affiliate dan shopee affiliate serta banyak lagi pekerjaan yang terdapat dalam gig ekonomi. Pekerjaan seperti ini amat membantu golongan belia kerana setiap individu bebas melakukan kerja pada bila-bila masa sahaja, mereka juga berpeluang untuk melakukan lebih daripada satu pekerjaan agar dapat menampung kehidupan mereka pada ketika ini di mana kos sara hidup yang semakin meningkat dari masa ke semasa. Dengan ini, boleh dikatakan bahawa penglibatan dalam ekonomi gig bukan semata-mata didorong oleh pilihan individu sahaja. Oleh itu, bagi belia yang menghadapi kesukaran memperoleh pekerjaan tetap yang sepadan dengan kelayakan akademik dan kemahiran mereka, ekonomi gig menjadi salah satu alternatif utama untuk menjana pendapatan.

Iklan
Iklan

Meskipun begitu, terdapat juga cabaran dalam ekonomi gig, salah satunya adalah ketidakstabilan pendapatan. Pekerja gig tidak mempunyai jaminan pendapatan tetap kerana pendapatan mereka bergantung sepenuhnya kepada permintaan pasaran, keadaan cuaca, musim perayaan serta algoritma platform digital. Hal ini memungkinkan mereka tidak memperolehi sebarang penghasilan jika tiadanya permintaan dalam pasaran. Situasi ini menunjukkan wujudnya unsur ketidaktentuan yang boleh menjejaskan kebajikan (maslahah) pekerja kerana mereka sukar merancang kehidupan kewangan secara stabil dan berterusan disebabkan pendapatan harian yang tidak stabil. Selain itu, cabaran lain yang dihadapi oleh pekerja dalam ekonomi gig ialah ketiadaan perlindungan sosial. Berbeza dengan pekerja tetap yang dilindungi oleh skim seperti KWSP, PERKESO dan faedah cuti sakit, pekerja gig perlu menanggung sendiri segala risiko seperti kemalangan, penyakit atau kehilangan pendapatan. Dari perspektif ekonomi Islam, keadaan ini menyentuh prinsip keadilan (‘adl) kerana setiap pihak dalam sesuatu urusan pekerjaan seharusnya menerima hak dan perlindungan yang sewajarnya agar kehidupan mereka dapat berjalan dengan lebih baik. Islam juga menekankan bahawa kesejahteraan pekerja perlu dijaga secara menyeluruh sebagai sebahagian daripada maslahah umum. Seterusnya, isu eksploitasi dan ketidakadilan kontrak juga menjadi cabaran yang ketara dalam ekonomi gig. Banyak platform menetapkan syarat secara sepihak seperti kadar komisen yang tinggi, perubahan polisi tanpa rundingan, serta ketiadaan saluran aduan yang berkesan. Keadaan ini boleh membawa kepada unsur ketidakadilan dan pengambilan hak secara tidak sah yang bertentangan dengan prinsip muamalat Islam.

Hal ini selari dengan pengajaran al-Quran melalui kisah Nabi Syuaib a.s. kepada kaum Madyan yang menegaskan larangan menzalimi hak manusia dalam urusan ekonomi. ALLAH berfirman dalam surah Al-A'raf ayat 85:"... Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya...", dalam ayat ini jelas menunjukkan larangan keras terhadap penindasan, ketidakadilan dan pengambilan hak orang lain secara tidak sah dalam aktiviti ekonomi, manakala dalam konteks ekonomi gig, ia menuntut agar hubungan antara platform dan pekerja dibina atas asas keadilan, ketelusan dan amanah. Dari sudut maqasid syariah, isu ini berkait rapat dengan pemeliharaan harta (hifz al-mal) dan kebajikan manusia kerana pekerja berhak menerima upah yang adil, jelas dan tidak dieksploitasi demi memastikan kesejahteraan semua pihak terpelihara.

Iklan

Islam bukan sekadar mengkritik masalah dalam sistem ekonomi, tetapi juga menawarkan penyelesaian yang bersifat menyeluruh dan berteraskan prinsip keadilan serta maslahah. Oleh itu, beberapa cadangan penambahbaikan boleh dikemukakan bagi memperkukuhkan ekosistem ekonomi gig selari dengan prinsip ekonomi Islam. Antara penyelesaian yang dapat dilakukan ialah dengan menyediakan takaful untuk pekerja gig. Sistem takaful (insurans Islam) boleh dikembangkan secara khusus untuk melindungi pekerja gig daripada risiko kemalangan, penyakit, dan kehilangan pendapatan. Model ini berasaskan konsep tolong-menolong (ta‘awun) yang sangat digalakkan dalam Islam. Hal ini selaras dengan maqasid syariah dalam aspek pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs) dan pemeliharaan harta (hifz al-mal), kerana ia memastikan kebajikan dan keselamatan kewangan pekerja sentiasa terjamin. Seterusnya, pemberian zakat dan dana kebajikan. Institusi zakat boleh memainkan peranan penting dalam membantu pekerja gig yang berpendapatan rendah atau tidak menentu. Dana zakat boleh digunakan untuk membiayai latihan kemahiran, peralatan kerja, dan perlindungan asas kepada golongan asnaf yang terlibat dalam ekonomi gig. Pendekatan ini mencerminkan prinsip keadilan sosial dalam Islam, di samping memastikan agihan kekayaan berlaku secara lebih saksama dalam masyarakat. Selain itu, penyediaan platform gig patuh syariah juga patut dilaksanakan. Pada era pendigitalan ini, platform gig yang berteraskan nilai-nilai Islam yang mengutamakan keadilan kontrak, ketelusan upah, dan tidak mengeksploitasi pekerja harus dibangunkan untuk kesejahteraan masyarakat. Model seperti koperasi digital atau platform berasaskan wakaf boleh menjadi alternatif yang lebih adil dan lestari. Ini selari dengan prinsip maqasid syariah yang menekankan pemeliharaan harta (hifz al-mal) serta pencegahan unsur gharar dan ketidakadilan dalam urusan muamalat.

Secara keseluruhannya, pendekatan ekonomi Islam tidak hanya melihat ekonomi gig sebagai satu fenomena ekonomi moden, tetapi juga menekankan aspek keseimbangan antara kebebasan ekonomi dan tanggungjawab sosial. Melalui pelaksanaan prinsip maqasid syariah, ekonomi gig berpotensi menjadi sistem yang lebih adil, inklusif dan beretika dalam memastikan kesejahteraan semua pihak dalam masyarakat.

Iklan

Maklumat penulis:

1) Mahasiswa Tahun Dua, Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Athiratul Jannah Mohd Azmani

2) Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my