Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai juara sulung Super Schools Hockey (SSH) 2026 selepas menewaskan seteru senegeri, SMS Raja Tun Azlan Shah (SERATAS), 6-2 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi, Selangor pada Ahad.
Kemenangan itu melengkapkan kempen cemerlang wakil Ipoh tersebut yang mempamerkan prestasi konsisten sepanjang kejohanan untuk muncul pasukan pertama menjulang trofi SSH.
Perlawanan akhir turut diserikan dengan kehadiran Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), I Vikneswaran yang menyaksikan sendiri pertembungan dua gergasi Perak dalam perebutan kejuaraan sulung kejohanan berkenaan.
Terdahulu, aksi penentuan tempat ketiga menyaksikan SMS Johor (SMSJ) bangkit menafikan cabaran Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) menerusi kemenangan penentuan shootout 3-2 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam masa sebenar.
Keputusan tersebut melengkapkan kedudukan akhir SSH 2026 dengan STAR muncul juara, diikuti SERATAS selaku naib juara, SMSJ di tempat ketiga dan SDAR di kedudukan keempat.
Sementara itu, majlis penyampaian hadiah turut menyaksikan beberapa pengiktirafan khas dan individu diberikan kepada mereka yang cemerlang sepanjang kejohanan.
Bekas pemain kebangsaan dan Olimpian, R Shankar menerima Anugerah Ikon SSH sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan beliau kepada arena hoki negara.
Anugerah Fairplay SSH 2026 pula menjadi milik SMS Sembrong (SASEM), sebagai pengiktirafan terhadap semangat kesukanan dan disiplin tinggi yang dipamerkan sepanjang kejohanan.
Penjaga gol SERATAS, Muhammad Aqil dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik, manakala penyerang STAR, Wafir Wajdie Burhanuddin, muncul Penjaring Terbanyak kejohanan.
Pemain STAR, Muhd Danish Hakimi pula dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) selepas memainkan peranan penting dalam kejayaan pasukannya merangkul gelaran juara.
SSH 2026 merupakan penganjuran sulung hasil kerjasama antara Enervive Sports dan STAROBA Hockey dengan matlamat memperkenalkan platform pembangunan hoki sekolah yang lebih berstruktur, kompetitif dan profesional di peringkat kebangsaan.
Edisi pertama ini berjaya menghimpunkan lapan pasukan sekolah berprestij dari seluruh negara dan menampilkan elemen siaran langsung, liputan media serta kerjasama strategik yang membantu meningkatkan keterlihatan hoki sekolah kepada khalayak lebih luas.
Kejayaan penganjuran sulung ini membuka lembaran baharu dalam landskap pembangunan hoki akar umbi negara, dengan SSH berhasrat untuk terus menjadi platform melahirkan lebih ramai bakat muda yang berpotensi mengharumkan nama Malaysia di pentas lebih tinggi pada masa hadapan.
Dengan berakhirnya edisi pertama ini, nama STAR kini terpahat sebagai juara pertama dalam sejarah SSH, manakala kejohanan yang lahir daripada kerjasama Enervive Sports dan STAROBA Hockey itu dilihat berada di landasan tepat untuk berkembang sebagai antara platform pembangunan dan pertandingan hoki sekolah paling berprestij di negara ini.
INFO: Ringkasan keputusan dan anugerah SSH 2026
Perlawanan Akhir
- STAR 6-2 (SERATAS)
Perlawanan Tempat Ketiga
- SMSJ 2-2 (SDAR) (SMSJ menang menerusi shootout 3-2)
Kedudukan Akhir
- Juara: STAR
- Naib Juara: SERATAS
- Ketiga: SMSJ
- Keempat: SDAR
Anugerah Individu
- Penjaga Gol Terbaik: Muhammad Aqil (SERATAS)
- Penjaring Terbanyak: Wafir Wajdie Burhanuddin (STAR)
- Pemain Paling Bernilai (MVP): Muhd Danish Hakimi (STAR)
Anugerah Khas
- Anugerah Fairplay: SASEM
- Anugerah Ikon: R Shankar