MSU di kedudukan ke-88 dunia, lonjakan terbaik THE Sustainability Impact Ratings 2026

Iklan

Management and Science University (MSU) terus mengukuhkan kedudukannya dalam landskap pendidikan tinggi global apabila mencatat peningkatan terbaik dalam penarafan Times Higher Education (THE) Sustainability Impact Ratings 2026 ke kedudukan ke-88 dalam kalangan universiti seluruh dunia.

Pencapaian itu merupakan peningkatan memberangsangkan berbanding kedudukan pada 2025 iaitu dalam kelompok 101-200 dunia kepada kedudukan ke-88 pada tahun ini dengan mencatat skor keseluruhan 89.8 peratus, sekali gus menjadi peningkatan paling signifikan sejak universiti itu mula disenaraikan dalam penarafan berkenaan pada tahun 2021.

Iklan
Iklan

THE Sustainability Impact Ratings merupakan satu-satunya penarafan global yang menilai sumbangan universiti terhadap 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui empat komponen utama iaitu penyelidikan, pengurusan, jaringan dan pengajaran.

Edisi kelapan penarafan ini melibatkan sebanyak 1,646 universiti dari 116 negara dan wilayah yang dinilai berdasarkan komitmen dan impak mereka dalam memajukan pembangunan mampan.

Iklan

MSU memperoleh skor bagi kesemua 17 metrik SDG, dengan beberapa bidang mencatat prestasi cemerlang di peringkat global.

Sebelum ini dikenali sebagai THE Impact Rankings, penarafan berkenaan merupakan satu-satunya jadual prestasi global yang menilai universiti berdasarkan kesemua 17 SDG. Institusi yang mengemukakan data bagi SDG 17 serta sekurang-kurangnya tiga SDG lain layak dimasukkan dalam penarafan keseluruhan.

Iklan

Antara pencapaian terbaik yang direkodkan ialah SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat (Partnership for the Goals) dengan skor 91.6 peratus dan kedudukan ke-66 dunia. Selain itu, MSU turut mencapai kedudukan ke-29 dunia bagi SDG 4: Pendidikan Berkualiti (Quality Education) dengan skor 83.3 peratus.

Universiti itu juga mencatat pencapaian membanggakan apabila berada di kedudukan ketiga dunia bagi SDG 5: Kesaksamaan Jantina (Gender Equality) dengan skor 82.9 peratus.

Dalam aspek lain, MSU berada di kedudukan ke-39 dunia bagi SDG 1: Tiada Kemiskinan (No Poverty) dengan skor 82.7 peratus, manakala SDG 10: Ketidaksamaan Yang Kurang (Reduced Inequalities) dan SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan (Good Health and Wellbeing) masing-masing berada di kedudukan ke-60 dunia dengan skor 80.7 peratus dan 80.0 peratus.

Turut menunjukkan prestasi memberangsangkan ialah SDG 6, SDG 12, SDG 13 dan SDG 14 yang berada dalam kelompok 101-200 terbaik dunia. SDG 11 dan SDG 15 pula berada dalam kelompok 201-300 dunia, diikuti SDG 7 dan SDG 16 dalam kelompok 301-400 dunia serta SDG 8 dan SDG 9 dalam kelompok 401-600 dunia.

Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan MSU dalam memperkukuh agenda kemampanan menerusi pelbagai inisiatif pembangunan lestari yang dilaksanakan di kampus, selain menggalakkan budaya kecemerlangan, integriti dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga universitinya.

Penubuhan pusat kecemerlangan universiti yang berfungsi untuk memacu pelbagai aktiviti penyelidikan dan kelestarian turut memperkasakan lagi matlamat tersebut. Ianya termasuk Centre for Applied Intelligence (CAI), MSU Centre for Climate Resilience & Strategy (m-CREST), Centre of Life-Enhancing Eyecare Innovation and Rehabilitation (CLEAR), Neuroscience & Mental Well-being Centre (NeuroMIND), MSU Centre for Environmental, Social and Governance (ESG) serta Global One Health Centre (G1).

Kejayaan itu turut didorong kerjasama erat antara MSU dengan rakan universiti, industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai pihak berkepentingan dalam merealisasikan matlamat pembangunan mampan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.