Pemergian mengejut pelajar Tingkatan Dua, Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Mas, Melaka, Muhammad Raiyan Nufael pada petang Rabu benar-benar mengejutkan keluarga, rakan-rakan serta warga sekolah yang mengenalinya.
Allahyarham dilaporkan rebah ketika sedang mendengar taklimat jurulatih selepas sesi latihan ragbi dihentikan seketika untuk berehat. Mangsa kemudian dibawa mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia.
Berita kehilangan itu amat sukar diterima oleh ahli keluarga, lebih-lebih lagi apabila Allahyarham disifatkan sebagai seorang remaja yang aktif, cergas dan sentiasa menjaga kesihatan.
Menurut bapanya, Mohd Aswandi Wahid, 41, anaknya tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit dan sangat meminati sukan ragbi sejak di bangku sekolah rendah.
"Dia memang minat ragbi sejak sekolah rendah lagi. Cikgu-cikgu yang mengesan dan mengembangkan bakatnya sehingga dia aktif dalam sukan itu.
"Apabila masuk sekolah menengah, dia semakin aktif bermain ragbi tahun ini," katanya.
Mohd Aswandi berkata, Allahyarham juga seorang yang sangat menjaga kesihatan dan gemar melakukan aktiviti kecergasan.
"Arwah suka berjoging, pergi ke gimnasium ketika cuti dan aktif bersukan. Memang dia tiada sakit apa-apa," katanya.
Lebih menyentuh hati, Allahyarham yang menetap di asrama dikenali sebagai seorang anak yang berdikari dan tidak banyak menyusahkan ibu bapanya.
Menurut Mohd Aswandi, arwah sering menguruskan keperluan dirinya sendiri dan sentiasa menunjukkan sikap matang meskipun usianya masih muda.
Dalam nada penuh reda, beliau berkata, kehilangan anak tersayang itu merupakan ujian yang perlu diterima dengan hati yang tabah.
"Dia anak yang baik dan disenangi ramai. Dia mudah bergaul dengan sesiapa sahaja, termasuk rakan-rakan saya.
"Orang baik selalunya akan pergi dulu. Kami sekeluarga reda kerana ALLAH lebih menyayanginya," katanya.
Sinar Bestari merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham adik Raiyan Nufael. Semoga ahli keluarganya dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini. Al-Fatihah.