Dalam era kecerdasan buatan (AI), media sosial dan akses maklumat tanpa sempadan, ada yang beranggapan bahawa kemahiran membaca tidak lagi sepenting dahulu. Maklumat boleh diperoleh dalam bentuk video, audio, infografik dan pelbagai platform digital yang lebih pantas dan mudah diakses. Namun, hakikatnya membaca masih kekal sebagai kemahiran paling penting dalam abad ke-21.
Persoalannya bukan lagi sama ada anak-anak boleh mendapatkan maklumat, tetapi sama ada mereka mampu memahami, menilai dan menggunakan maklumat tersebut secara berkesan.
Di sinilah membaca memainkan peranan yang tidak boleh digantikan oleh teknologi. Semua proses pembelajaran bermula dengan keupayaan memahami maklumat. Sama ada dalam Sains, Matematik, Bahasa, Sejarah atau Pendidikan Islam, pelajar perlu membaca untuk memahami konsep, membuat hubungan antara idea dan membina pengetahuan baharu.
Ramai yang beranggapan bahawa pencapaian dalam Sains bergantung kepada kebolehan menghafal fakta atau memahami eksperimen. Namun, penyelidikan pendidikan menunjukkan bahawa literasi membaca mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan pencapaian dalam Sains. Pelajar yang mempunyai kemahiran membaca yang baik lebih mudah memahami konsep saintifik, menganalisis maklumat dan menyelesaikan masalah.
Dalam kajian yang sedang saya jalankan berkaitan minat Sains dalam kalangan pelajar sekolah rendah, salah satu pemerhatian yang sering muncul ialah pelajar yang gemar membaca lazimnya menunjukkan tahap rasa ingin tahu yang lebih tinggi serta lebih aktif bertanya soalan semasa proses pembelajaran. Kita hidup dalam dunia yang dipenuhi maklumat.
Setiap hari pelajar terdedah kepada pelbagai kandungan melalui media sosial, laman sesawang dan aplikasi digital. Namun, tidak semua maklumat yang diterima adalah tepat atau boleh dipercayai. Membaca melatih pelajar untuk berfikir secara kritikal. Ia mengajar mereka menilai fakta, mengenal pasti sumber yang sahih, membuat perbandingan dan membentuk pendapat berdasarkan bukti.
Kemahiran ini menjadi semakin penting dalam era AI, di mana maklumat boleh dihasilkan dengan sangat pantas tetapi tidak semestinya tepat. Dalam erti kata lain, teknologi boleh memberikan jawapan, tetapi membaca membantu pelajar memahami mengapa jawapan itu penting. Salah satu cabaran utama pendidikan hari ini ialah perubahan tabiat pembelajaran dalam kalangan generasi muda. Kandungan media sosial yang bersifat ringkas dan pantas telah mempengaruhi tempoh tumpuan pelajar.
Mereka semakin terbiasa dengan maklumat yang disampaikan dalam beberapa saat berbanding membaca bahan yang memerlukan penelitian dan pemahaman mendalam. Keadaan ini tidak bermakna teknologi perlu dipersalahkan. Sebaliknya, kita perlu mencari keseimbangan antara penggunaan teknologi dan pembinaan budaya membaca.
Teknologi seharusnya menjadi alat untuk memperkukuh pembelajaran, bukan menggantikan proses berfikir yang mendalam. Budaya membaca tidak terbentuk secara spontan. Ia perlu dipupuk sejak kecil melalui sokongan berterusan daripada ibu bapa dan guru. Di rumah, ibu bapa boleh menjadi contoh dengan menunjukkan bahawa membaca adalah sebahagian daripada kehidupan seharian.
Perbualan tentang buku, artikel atau isu semasa mampu merangsang minat anak untuk membaca dan berfikir. Di sekolah pula, guru berperanan menjadikan pembacaan sebagai pengalaman yang menyeronokkan dan bermakna. Membaca tidak seharusnya dilihat sebagai tugasan akademik semata-mata, tetapi sebagai satu proses meneroka dunia dan memahami kehidupan.
Setiap penemuan saintifik bermula dengan satu persoalan. Setiap persoalan pula bermula dengan rasa ingin tahu. Membaca merupakan antara cara terbaik untuk menyuburkan rasa ingin tahu tersebut.
Apabila pelajar membaca tentang angkasa lepas, teknologi, alam semula jadi atau tokoh-tokoh saintis, mereka mula melihat Sains sebagai sesuatu yang dekat dengan kehidupan mereka. Minat terhadap Sains tidak lahir hanya di makmal atau di dalam bilik darjah, tetapi juga melalui pendedahan kepada idea dan pengetahuan yang diperoleh melalui pembacaan.
Sebab itu budaya membaca dan budaya Sains tidak boleh dipisahkan. Kedua-duanya saling melengkapi dalam membentuk generasi yang berfikiran kritikal, kreatif dan inovatif. Walaupun dunia pendidikan terus berkembang dengan kemunculan teknologi baharu dan kecerdasan buatan, kepentingan membaca tidak pernah berkurang.
Malah, dalam dunia yang dipenuhi maklumat, kemahiran membaca menjadi semakin penting untuk membantu pelajar memahami, menilai dan menggunakan ilmu dengan bijaksana. Jika kita ingin melahirkan generasi yang mampu bersaing pada masa hadapan, kita perlu memastikan budaya membaca terus subur dalam keluarga, sekolah dan masyarakat.
Sebelum melahirkan saintis, jurutera atau inovator, kita perlu melahirkan pembaca yang berfikir. Kerana pada akhirnya, setiap ilmu bermula dengan satu halaman yang dibaca.
Maklumat penulis:
Angkasawan Negara & Felo UKM Pejabat Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur), Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor