Dasarwasa ini, budaya tolong menolong atau Ta'awun semakin terpinggir dalam kalangan masyararakat Islam. Hal ini dikatakan demikian kerana sesetengah individu dalam masyarakat Islam lebih mementingkan diri mereka sendiri tanpa menghiraukan keadaan masyarakat sekeliling. Definisi Ta'awun ialah amalan tolong menolong antara pelbagai individu atau komuniti dalam pelbagai aspek seperti aspek kebajikan, kesihatan dan sosial. Konsep ini sangat bermakna dan bernilai dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum kerana ia mampu untuk mengurangkan beban-beban individu yang mempunyai masalah untuk meneruskan kelangsungan kehidupan mereka.
ALLAH berfirman dalam Surah Al-Ma’idah ayat 2:"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada ALLAH, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)".
Berdasarkan ayat ini, ALLAH telah mengarahkan kepada semua manusia supaya sentiasa mengamalkan sifat Ta'awun dalam diri mereka dari segi kebaikan, kebajikan dan hindarilah perkara-perkara kemungkaran seperti maksiat dan pencurian. Dalam konteks ekonomi Islam, sifat Ta’awun bukan sahaja merujuk kepada kerelaan individu ini berbuat kebaikan kepada orang lain, tetapi ia merujuk kepada ketahanan ekonomi dan pembentukan mereka dalam menghadapi keadaan yang genting dan kritikal seperti kemiskinan, pengangguran, inflasi, bencana alam dan krisis kewangan. Amalan tolong menolong yang diamalkan secara istiqamah mampu mewujudkan masyarakat yang saling menyokong dan tiada jurang ketidaksamaan ekonomi. Oleh itu, konsep Ta'awun ini memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah dan meningkatkan akhlak setiap individu dalam komuniti individu.
Mengurangkan kemiskinan dan jurang pendapatan
Salah satu peranan utama konsep budaya Ta'awun dalam memastikan keutuhan ekonomi masyarakat adalah kemampuannya untuk mengurangkan kemiskinan dan jurang pendapatan. Dalam sistem ekonomi Islam, mereka yang kaya bertanggungjawab untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan melalui pelbagai inisiatif seperti zakat, sedekah, infak dan wakaf. Kaedah ini memastikan bahawa kekayaan tidak hanya berlegar di kalangan kelas-kelas tertentu, malahan ia mesti disumbangkan kepada mereka yang memerlukannya.
Dengan adanya amalan Ta'awun, orang yang kurang berkemampuan akan mendapat pelbagai bantuan kewangan, makanan, tempat tinggal dan jaminan pendidikan yang terbaik. Bantuan ini dapat meningkatkan kualiti kehidupan mereka dan dapat mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi dalam masyarakat. Sebagai contoh, dana zakat dapat digunakan untuk membantu asnaf dengan memulakan langkah membuka perniagaan mereka dan secara tidak langsung, ia menghasilkan pendapatan sendiri. Langkah ini adalah sangat produktif dan bukan sahaja dapat membantu individu daripada golongan asnaf keluar daripada kemiskinan, bahkan juga ia meningkatkan produktiviti ekonomi komuniti secara keseluruhan.
Memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial
Budaya tolong-menolong sangat penting sebagai suatu jaringan keselamatan sosial ketika menghadapi berbagai rintangan ekonomi. Dalam kehidupan harian manusia yang penuh kekacauan dan huru hara, kita mungkin mengalami kehilangan kerja, sakit atau bencana alam yang akan menyebabkan pendapatan kita terganggu. Dalam situasi seperti ini, komuniti perlulah berganding bahu untuk mereliasasikan konsep tolong-menolong kerana ia memainkan peranan penting dalam menjaga kesejahteraan masyarakat. Budaya tolong-menolong membantu memastikan bahawa kita dapat saling membantu dan mendukung satu sama lain ketika menghadapi kesulitan, sehingga kita dapat terus menjaga kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.
Masyarakat yang mengamalkan konsep Ta'awun akan lebih pantas membantu masyarakat yang menghadapi kesusahan dalam hidup. Sebagai contoh, saat wabak pandemik COVID-19 melanda, banyak komuniti Islam membuat pelbagai program bantuan makanan dan bantuan dana kebajikan untuk membantu keluarga yang kehilangan sumber pendapatan akibat wabak ini. Tindakan ini menunjukkan bahawa bagaimana konsep Ta'awun ini dapat mengurangkan krisis ekonomi kepada masyarakat. Hal ini seterusnya menyumbang kepada kestabilan ekonomi dan kesejahteraan sosial dalam jangka masa panjang.
Menggalakkan keusahawanan dan pembangunan ekonomi
Konsep Ta'awun memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan keusahawanan dan pertumbuhan ekonomi komuniti. Dalam Islam, kerjasama dalam aktiviti ekonomi sangat digalakkan melalui pelbagai konsep seperti musyarakah iaitu perkongsian modal dan mudharabah iaitu perkongsian keuntungan. Konsep-konsep ini memberikan kesempatan kepada individu yang mempunyai idea keusahawanan yang bagus tetapi mempunyai kekurangan dana akan mendapatkan bantuan dari pihak lain yang berkaitan. Dengan demikian, konsep ta’awun membuka peluang bagi sesiapa sahaja yang ingin memulakan keusahawanan dan secara tidak langsung ia dapat meningkatkan produktiviti ekonomi komuniti masyarakat.
Jika ramai usahawan telah berjaya dalam bidang yang diceburi tersebut, maka akan ada lebih banyak peluang pekerjaan dan kadar pengangguran dapat menurun. Hal ini secara tidak langsung dapat memberikan impak yang positif bagi ekonomi komuniti masyarakat kerana lebih banyak orang memiliki sumber pendapatan yang stabil. Oleh hal yang demikian, budaya Ta'awun ini bukan sahaja dapat membantu orang, tetapi ia juga mendorong pertumbuhan ekonomi yang lebih adil dan stabil.
Memperkukuhkan ukhuwah dan kepercayaan sosial
Keutuhan ekonomi sesuatu komuniti bukan sahaja bergantung pada faktor ekonomi semata-mata, tetapi ia juga bergantung pada tingkat perhubungan sosial dan kepercayaan yang tinggi sesama komuniti masyarakat. Budaya Ta'awun ini dapat membina perhubungan dan kepercayaan yang tinggi dan jitu antara sesama komuniti masyarakat. Kepercayaan penting dalam ekonomi kerana ia suatu aset ekonomi yang kukuh kerana kepercayaan akan memudahkan urusan perdagangan, pelaburan dan perkongsian perniagaan. Komuniti masyarakat dengan tingkat kepercayaan yang tinggi dan jitu ini mudah melakukan urusan ekonomi tanpa ada sebarang keraguan.
Selain itu, kerjasama yang erat sesama komuniti masyarakat membolehkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan menjadi lebih mudah yang akan memberi manfaat dan menguntungkan semua pihak. Sebagai contoh, masyarakat dapat berganding bahu membangunkan pusat koperasi, pusat kesihatan, atau program kesejahteraan rakyat seperti program gotong royong yang dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat. Oleh itu, semangat budaya Ta'awun ini tidak hanya memperkuat hubungan sosial, tetapi ia juga menyumbang pada pembangunan ekonomi yang lebih efektif dan produktif.
Mewujudkan pembangunan ekonomi yang mampan dan beretika
Seterusnya, satu kelebihan lain daripada konsep Ta'awun adalah kemampuannya untuk mewujudkan pembangunan ekonomi yang mampan dan beretika. Dalam sistem ekonomi Islam, keseimbangan antara keuntungan barang dan tanggungjawab sosial sangat ditekankan dalam kehidupan masyarakat Islam. Berbeza pula dengan sistem yang hanya mementingkan keuntungan individu, sistem ekonomi Islam mendorong semua pihak untuk berbuat kebaikan sesame komuniti masyarakat Islam dalam setiap kegiatan ekonomi Islam.
Dengan mempraktikkan budaya Ta'awun dalam kehidupan masyarakat Islam, sumber daya ekonomi dapat digunakan dengan lebih efektif dan produktif, dan pelbagai manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh komuniti masyarakat tanpa sesetengah kepentingan individu. Sebagai contoh, institusi wakaf dapat digunakan untuk menampung pembangunan sekolah, hospital dan fasiliti umum yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat dalam jangka panjang. Pelbagai manfaat yang terhasil daripada aset wakaf ini dapat dinikmati oleh generasi sekarang dan generasi akan datang tanpa pengurangan nilai asal aset tersebut.
Kesimpulannya, budaya Ta'awun merupakan salah satu prinsip terpenting dalam ekonomi Islam yang mampu memperkukuhkan ketahanan dan keutuhan ekonomi komuniti Islam. Dengan Ta'awun ini, kita dapat mengurangkan kemiskinan dan jurang pendapatan, memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial, menggalakan keusahawanan dan pembangunan ekonomi, meningkatkan perpaduan masyarakat, dan membangun ekonomi yang mampan dan beretika.
Ta'awun dapat membantu kita mencapai jalinan komuniti masyarakat yang lebih adil, aman, dan sejahtera. Di dunia yang penuh dengan rintangan akibat ketidaktentuan ekonomi global, kita harus terus memupuk dan mengamalkan nilai Ta'awun dalam diri masing-masing. Dengan menghayati semangat Ta'awun ini sebagaimana yang digalakkan oleh Islam, kita akan lebih bersedia menghadapi pelbagai rintangan ekonomi dan dapat mencapai pembangunan yang baik dan ia diberkati ALLAH.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Dua, Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhammad Najmuddin Md Nasir
2) Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my