Dari UMT ke dunia: Kepakaran analisis ambergris PPPL tembusi 16 negara

Iklan
Perkhidmatan analisis yang pada awalnya dibangunkan untuk memenuhi keperluan penyelidikan tempatan kini berkembang menjadi antara servis berimpak tinggi universiti apabila menerima penghantaran sampel daripada pelanggan merentasi Perancis, United Kingdom, Sepanyol, Qatar dan Hong Kong. Gambar kecil: Chm Nor Atiyyah

Kepakaran saintifik yang dibangunkan oleh Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam analisis ketulenan ambergris kini mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila perkhidmatan tersebut berjaya menembusi pasaran global dengan penerimaan sampel dari 16 buah negara.

Pencapaian ini sekali gus mengangkat nama UMT sebagai antara institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja aktif dalam penyelidikan marin dan sumber semula jadi, malah muncul sebagai hab rujukan saintifik dunia dalam pengesahan ambergris, bahan marin eksklusif yang mempunyai nilai komersial tinggi dalam industri wangian premium antarabangsa.

Iklan
Iklan

Ambergris merupakan bahan semula jadi yang sangat bernilai dan digunakan secara meluas dalam industri minyak wangi mewah sebagai bahan penetap aroma (fixative) yang membantu mengekalkan wangian lebih lama. Selain itu, ambergris turut mempunyai nilai tinggi dalam penyelidikan saintifik, perdagangan antarabangsa dan dalam bidang perubatan tradisional, ambergris dipercayai membantu meningkatkan kesihatan, tenaga dan fungsi reproduktif.

Kepercayaan antarabangsa terhadap kepakaran tempatan

Iklan

Perkhidmatan analisis yang pada awalnya dibangunkan untuk memenuhi keperluan penyelidikan tempatan kini berkembang menjadi antara servis berimpak tinggi universiti apabila menerima penghantaran sampel daripada pelanggan merentasi Perancis, United Kingdom, Sepanyol, Qatar dan Hong Kong.

Analisis ketulenan ambergris secara tradisional sering dilakukan melalui pemerhatian fizikal dan ujian deria. Ujian bau digunakan untuk menilai aroma khas ambergris yang biasanya kompleks, manis, berkayu, berlaut dan sedikit musky, bergantung kepada tahap kematangan sampel. Sampel yang tulen lazimnya menghasilkan bau yang unik dan tahan lama apabila dipanaskan atau digosok.

Iklan

Selain itu, ujian bakar turut digunakan sebagai kaedah saringan awal ketulenan. Ambergris tulen akan melembut dan mencair apabila terdedah kepada haba, kemudian terbakar perlahan-lahan sambil mengeluarkan asap putih serta aroma harum yang menyerupai wangian mewah. Sebaliknya, bahan tiruan atau campuran lazimnya menghasilkan bau hangit, terbakar dengan cepat, atau meninggalkan residu yang tidak menyerupai ciri ambergris tulen. Walau bagaimanapun, kaedah tradisional ini bersifat subjektif dan bergantung kepada pengalaman penguji.

Justeru, PPPL UMT mengisi jurang tersebut dengan menawarkan pengesahan saintifik yang bersandarkan kepada tiga komponen utama iaitu analisis kimia, analisis termal dan analisis fizikal.

Analisis kimia berketepatan tinggi: Pengesanan ambrein menggunakan GCMS

Pengesahan ketulenan ambergris di PPPL UMT dilaksanakan melalui analisis kimia berketepatan tinggi menggunakan Gas Chromatography Mass Spectrometry (GCMS). Kaedah ini memfokuskan kepada pengesanan ambrein, iaitu sebatian utama yang diiktiraf sebagai penanda molekul ambergris tulen. Sampel yang telah melalui proses penyediaan dan pengekstrakan khusus dianalisis untuk mengenal pasti profil kimia dan dibandingkan dengan data rujukan ambergris autentik.

Bagi memperkukuh keputusan analisis kimia, sampel turut diuji menggunakan Differential Scanning Calorimetry (DSC) untuk menilai sifat dan kestabilan termalnya. Ambergris tulen mempunyai corak tindak balas haba yang tersendiri hasil proses pembentukan biologi dan penuaan semula jadi yang panjang. Analisis ini membolehkan pembezaan dibuat antara ambergris sebenar dengan bahan lain seperti lemak organik, resin, petroleum atau campuran lilin.

Selain itu, ujian ketumpatan dijalankan sebagai analisis fizikal sokongan bagi menilai hubungan antara jisim dan isipadu sampel. Nilai ketumpatan yang diperoleh dibandingkan dengan julat rujukan ambergris sebenar untuk menilai keserasian ciri fizikalnya. Gabungan analisis GCMS, DSC dan ketumpatan menghasilkan pendekatan penentusahan yang komprehensif, meningkatkan ketepatan keputusan serta memberikan keyakinan yang lebih tinggi terhadap status ketulenan sampel.

Standard analisis bertaraf global

PPPL UMT mengamalkan standard analisis ambergris yang berteraskan prinsip saintifik, ketelusan dan dokumentasi yang lengkap. Keunikan kaedah analisis yang dibangunkan turut diiktiraf apabila didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di bawah nombor pendaftaran LY2022WO6409 dan LY2022WO6414. Pengiktirafan ini membuktikan komitmen PPPL UMT dalam membangunkan metodologi analisis yang sistematik, inovatif dan boleh dipercayai.

Setiap sampel yang diterima akan melalui protokol makmal yang ketat sebelum keputusan dikeluarkan dalam bentuk Sijil Analisa rasmi berdasarkan data instrumen yang diperoleh. Laporan ini menjadi rujukan penting untuk urusan perdagangan, dokumentasi pembeli antarabangsa, penilaian pelaburan serta industri wangian premium. Keupayaan tersebut meletakkan

PPPL UMT sebagai pusat analisis ambergris khusus di peringkat antarabangsa.

Analisis ambergris di PPPL UMT adalah berpaksikan gabungan kepakaran saintifik, teknologi analisis moden dan kompetensi pegawai yang berpengalaman. Pendekatan ini memastikan setiap keputusan yang dikeluarkan adalah tepat, konsisten serta memenuhi standard profesional yang diiktiraf bagi tujuan penyelidikan, perdagangan dan pengesahan ketulenan ambergris.

Menjenamakan UMT sebagai pusat rujukan ambergris antarabangsa

Kejayaan PPPL UMT menyediakan perkhidmatan analisis ambergris kepada pelanggan dari 16 negara membuktikan keupayaan universiti tempatan menghasilkan kepakaran bertaraf antarabangsa yang memberi impak kepada komuniti saintifik dan industri global. Pencapaian ini memperkukuhkan kedudukan UMT sebagai pusat rujukan analisis ambergris yang diyakini di peringkat dunia.

Maklumat penulis:

Pusat Perkhidmatan Penyelidikan Dan Lapangan, Chm Nor Atiyyah Mohamed

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my