Pelaksanaan semula inisiatif Baucar Buku MADANI 2026 bernilai RM100 yang dibuka untuk penebusan bermula Rabu, mendapat reaksi positif daripada golongan pelajar sekolah menengah.
Tinjauan mendapati baucar berkenaan dimanfaatkan untuk mendapatkan bahan bacaan berkualiti serta buku rujukan peperiksaan tanpa membebankan kewangan keluarga.
Bagi pelajar Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Seri Gombak, Nurul Asyikin Mohd Nizam, 17, baucar itu memberi kelegaan kerana sering menangguhkan pembelian buku rujukan kerana kekangan kewangan.
"Buku rujukan kadang-kadang mahal, jadi saya selalu pinjam dekat perpustakaan sekolah atau fotostat buku kawan. Dengan baucar ini, saya boleh beli sendiri buku rujukan untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan jimatkan duit belanja yang mak ayah beri," katanya.
Sementara itu, pelajar Tingkatan Satu, SMK Hillcrest, R Thivagar, 13, mengaku hanya mengetahui mengenai Baucar Buku MADANI pada Rabu dan bercadang menggunakannya secepat mungkin.
"Saya baru tahu mengenai Baucar Buku MADANI ini. Lepas ini saya akan minta tolong mak ayah belikan buku untuk belajar menggunakan baucar sebelum tamat tempoh," katanya.
Menurutnya, meskipun bahan bacaan digital semakin mudah diperoleh, pengalaman membaca buku fizikal mempunyai keistimewaan tersendiri.
Bagi pelajar Tingkatan Empat, SMK Sungai Kertas, Mohamad Annaim Anuar, 16, Baucar Buku MADANI merupakan antara inisiatif yang sentiasa dinantikan kerana banyak membantunya mendapatkan bahan bacaan setiap tahun.
"Saya memang tunggu baucar buku ini sebab setiap tahun saya gunakannya untuk beli buku belajar, buku motivasi, buku agama dan juga novel," katanya yang mengetahui mengenai pembukaan penebusan baucar itu daripada rakannya.
Menurut pengawas pusat sumber itu, dia pernah menggunakan baucar itu secara dalam talian menerusi platform BookCapital dan menyifatkan proses penebusannya mudah.
"Proses beli di BookCapital mudah, cuma kadang-kadang buku yang kita mahu, dijual oleh penjual berbeza. Jadi kita kena bijak merancang pembelian supaya nilai baucar itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.
Baucar Buku MADANI merupakan inisiatif Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menawarkan e-baucar bernilai RM100 kepada pelajar sekolah menengah yang layak bagi pembelian bahan bacaan melalui portal DELIMa BookCapital.
Setiap penerima diwajibkan membeli sekurang-kurangnya sebuah buku daripada kategori 'Judul Khas Baucar Buku MADANI 2026' sebelum baki nilai e-baucar digunakan untuk membeli bahan bacaan lain.
Baucar boleh ditebus hingga 31 Oktober ini menerusi platform BookCapital yang menyediakan pelbagai pilihan bahan bacaan daripada penerbit tempatan. - Bernama