"Ketika sesi temu duga berlangsung, saya benar-benar diuji. Bukan sahaja dari segi pengetahuan, malah cara berfikir, nilai diri dan aspirasi sebagai seorang penyelidik."
Demikian perkongsian pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Afiefah Zulkifli, apabila mengimbas kembali detik yang membawanya menjadi salah seorang penerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2026.
Bagi anak kelahiran Kuantan, Pahang itu, pengumuman yang diterima bagaikan satu kejutan besar dalam hidupnya. Beliau mengakui tidak pernah meletakkan harapan terlalu tinggi untuk terpilih menerima biasiswa paling berprestij di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tersebut.
Sebaliknya, Afiefah hanya berusaha memberikan yang terbaik sepanjang proses pemilihan sebelum menyerahkan segala ketentuan kepada ALLAH SWT.
"Saya tidak pernah menjangkakan akan menerima biasiswa ini. Apa yang saya lakukan hanyalah memberikan yang terbaik sepanjang sesi temu duga dan menyerahkan segala ketentuan kepada ALLAH," katanya.
Menurut Afiefah, penganugerahan BYDPA bukan sekadar satu pengiktirafan terhadap pencapaian akademik yang diraih selama ini, malah membawa makna yang jauh lebih besar.
Katanya, anugerah tersebut merupakan satu penghormatan yang amat bermakna, namun dalam masa yang sama hadir bersama tanggungjawab yang besar untuk dipikul dengan sebaik mungkin.
"Biasiswa ini bukan sekadar penghargaan terhadap usaha yang telah dilakukan, tetapi juga satu amanah untuk terus menimba ilmu, memperbaiki diri dan akhirnya menyumbang kembali kepada masyarakat serta negara," ujarnya.
Antara 14 penerima terbaik negara
Terdahulu, seramai 14 individu cemerlang menerima BYDPA 2026 dalam satu majlis penganugerahan yang berlangsung di Istana Negara.
Selain Afiefah, penerima bagi peringkat PhD ialah Aiman Zakwan Azman (Farmakologi dan Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)); Chua Hui Qi (Matematik dan Statistik, UPM); Giroon Ijod (Pemakanan, UPM); Haimon Franklin (Biologi, UKM); Lee Yu Shi (Catalysis, Universiti Malaya) dan Waywen Loh (Immunology, University of Oxford).
Bagi peringkat Sarjana (Penyelidikan), penerima terdiri daripada Amirul Haziq Azwan (Biologi, University College London, United Kingdom), Chan Ler Yie (Farmakologi dan Farmasi, University College London), Chris Ee Jia Wen (Genetic and Heredity, Universiti Sains Malaysia), Lim Fang (Biokimia, UKM), Mohamad Izuwansah Ishak (Persekitaran, UPM), Muhammad Zulhusni Che Razali (Persekitaran, Imperial College London, United Kingdom) serta Putri Najihah Athirah Zamrifana (Sains Veterinar, UPM).
Ibu, sumber inspirasi sepanjang perjalanan
Di sebalik kejayaan yang dikecapinya hari ini, Afiefah tidak pernah melupakan insan yang sentiasa berada di belakangnya sejak kecil.
Menurut beliau, ibunya merupakan sumber inspirasi utama yang sentiasa memastikan dirinya memperoleh pendidikan terbaik dan tidak pernah mengehadkan impian serta cita-citanya.
Sokongan yang diberikan bukan sahaja menjadi pembakar semangat ketika berdepan cabaran akademik, malah membentuk keyakinan diri untuk terus melangkah lebih jauh dalam bidang penyelidikan.
"Ibu sentiasa memberi galakan dan memastikan saya mendapat peluang pendidikan yang terbaik. Beliau juga tidak pernah mengehadkan impian yang ingin saya capai," katanya.
Kini, selepas menerima BYDPA, fokus utama Afiefah adalah untuk memberikan sepenuh komitmen terhadap pengajian kedoktorannya.
Beliau berazam menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi yang bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan, malah mampu memberi manfaat kepada masyarakat.
Sebagai penyelidik dalam bidang pemakanan, Afiefah percaya kajian yang dijalankan perlu mempunyai nilai tambah kepada kesejahteraan rakyat dan membantu menangani isu-isu kesihatan yang semakin kompleks pada masa kini.
Mengakhiri perkongsiannya, Afiefah menitipkan pesanan kepada mahasiswa agar tidak mudah berputus asa apabila berdepan cabaran dalam perjalanan menuntut ilmu.
Beliau percaya setiap kejayaan memerlukan pengorbanan, kesabaran dan keberanian untuk mencabar diri sendiri.
"Jangan takut untuk keluar daripada zon selesa. Setiap cabaran yang kita hadapi sebenarnya adalah sebahagian daripada proses pembelajaran dan perjalanan menuju kejayaan," katanya.