Seramai 30 pelajar Sarjana Muda Pendidikan (Sains Kejurulatihan) daripada Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menjayakan Program SULAM 2.0: Sihat Cergas Komuniti Prihatin bersama golongan istimewa di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sinar Bakti, Trolak Selatan, Perak baru-baru ini.
Program yang dilaksanakan menerusi pendekatan Service Learning Malaysia - University for Society (SULAM) itu merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menggabungkan pembelajaran akademik dengan khidmat kepada masyarakat.
Pendekatan ini memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam situasi sebenar sambil menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat.
Menerusi pelaksanaan SULAM bagi subjek Konsep Kesihatan dan Kesejahteraan, para pelajar bukan sahaja dapat memperkukuh pemahaman terhadap kandungan kursus, malah berpeluang mengasah kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah.
Pada masa sama, program ini turut menyemai nilai kesukarelawanan, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan bakal pendidik.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti interaktif dan menyeronokkan telah disusun bagi memberi pengalaman bermakna kepada peserta.
Antaranya termasuk senamrobik, permainan kecergasan, aktiviti koordinasi motor, permainan berasaskan pemakanan sihat serta aktiviti berkumpulan yang menggalakkan komunikasi dan kerjasama.
Aktiviti yang dijalankan bukan sahaja bertujuan meningkatkan tahap kecergasan fizikal peserta, malah membantu merangsang perkembangan kognitif, sosial dan emosi anak-anak istimewa.
Suasana program yang ceria dan mesra turut memberi ruang kepada peserta untuk berinteraksi dengan lebih yakin, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif dan inklusif.
Selain memberi manfaat kepada komuniti, program tersebut turut menjadi platform pembelajaran berasaskan pengalaman kepada mahasiswa UPSI.
Penglibatan secara langsung di lapangan membolehkan mereka memahami keperluan sebenar golongan istimewa serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mewujudkan masyarakat yang lebih prihatin dan inklusif.
Sementara itu, Penasihat Projek, Dr Norhazira Abdul Rahim berkata, program berkenaan bukan sahaja memperkukuh penguasaan akademik pelajar, malah berjaya memupuk semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial menerusi pengalaman pembelajaran bersama komuniti.
"Penglibatan secara langsung di lapangan membolehkan pelajar mengaplikasikan ilmu dalam situasi sebenar. Pada masa sama, mereka dapat meningkatkan kemahiran komunikasi, memupuk sifat empati serta memperkukuh semangat kerja berpasukan yang amat penting dalam dunia pendidikan dan kerjaya," katanya kepada Sinar Bestari.
Beliau yang juga pensyarah bagi subjek Konsep Kesihatan dan Kesejahteraan berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperluas impak positif kepada komuniti, di samping melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki nilai kemanusiaan dan keprihatinan yang tinggi.
Akhir sekali, Program SULAM 2.0 membuktikan bahawa pembelajaran di institusi pengajian tinggi tidak terhad kepada teori di dalam bilik kuliah semata-mata.
Sebaliknya, pengalaman lapangan yang diperoleh melalui penglibatan bersama komuniti mampu memperkayakan proses pembelajaran serta menyumbang kepada pembangunan profesional dan sahsiah mahasiswa secara holistik.