Graduan Kolej MARA Banting (KMB), Selangor sekali lagi mengharumkan nama institusi apabila berjaya mencatat pencapaian membanggakan dalam peperiksaan International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) Sesi Mei 2026.
Nur Alin Qistina Roslan memperoleh skor penuh 45 daripada 45 mata, iaitu pencapaian tertinggi yang boleh diraih dalam program prauniversiti bertaraf antarabangsa itu.
Berkongsi rasa syukur atas kejayaan tersebut, Nur Alin Qistina menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai hasil gabungan doa, usaha serta sokongan pelbagai pihak yang sentiasa berada di belakangnya sepanjang perjalanan akademik.
"Alhamdulillah, saya amat bersyukur atas pencapaian ini. Kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa rahmat ALLAH SWT, sokongan keluarga, rakan-rakan, bimbingan guru-guru dan dorongan daripada semua pihak.
"Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kolej MARA Banting, Bahagian Pendidikan Tinggi MARA, Bahagian Penganjuran MARA dan MARA atas peluang, kepercayaan serta sokongan yang diberikan.
"Saya percaya tiada yang mustahil jika kita meletakkan sepenuh kepercayaan kepada ALLAH, berusaha dengan ikhlas dan bekerja keras. Insya-ALLAH, setiap pengorbanan dan usaha akan membuahkan hasil pada waktu yang terbaik," katanya yang kini mengikuti pengajian di University Of Melbourne dalam jurusan IB Sains (Sains Kesihatan & Sains Komputer).
Nur Alin Qistina merupakan salah seorang daripada 264 calon yang menduduki peperiksaan IBDP bagi sesi tersebut.
Kejayaan beliau turut melengkapkan pencapaian cemerlang Kolej MARA Banting apabila empat lagi graduan berjaya memperoleh 44 mata iaitu Muhammad Aaqif Dino Faezal, Muhammad Danish Mohd Fauzi, Sara Humeira Eddynor dan Ungku Hafiz Syazwan Syah Ungku Shaharudin.
Untuk rekod, IBDP merupakan program prauniversiti berprestij yang diiktiraf oleh universiti-universiti terkemuka di seluruh dunia.
Program ini bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, malah turut memberi fokus kepada pemikiran kritis, kemahiran penyelidikan, kepimpinan dan pembangunan sahsiah pelajar.