850 murid SK Bukit Jalil terokai dunia STEM & Keselamatan Makanan melalui aktiviti interaktif kendalian UiTM Shah Alam

Iklan
Sebahagian peserta yang menjayakan 'Projek Komuniti: Empowering SKBJ Community Through STEM & Food Safety Knowledge' di SK Bukit Jalil. Program anjuran UiTM Shah Alam itu berjaya memberi pendedahan awal berkaitan STEM dan Keselamatan Makanan kepada 850 murid menerusi pelbagai aktiviti serta eksperimen interaktif yang menyeronokkan.

Memupuk minat awal generasi muda terhadap bidang sains kini menjadi keutamaan dalam melahirkan modal insan berkualiti.

Selaras dengan matlamat tersebut, seramai 26 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Shah Alam, Selangor bersama lima staf pengiring telah turun padang menjayakan 'Projek Komuniti: Empowering SKBJ Community Through STEM & Food Safety Knowledge' di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Program pemindahan ilmu dan libat urus komuniti berimpak tinggi ini merupakan anjuran bersama Food Science Research Group (FSRG), Persatuan Applied Science Youth Care Crew (ASYCC), Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI) dan Fakulti Sains Gunaan UiTM.

Berlangsung dari jam 6.45 pagi hingga 3 petang, inisiatif ini dirancang selari dengan hasrat Pelan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026 - 2035 dalam membudayakan STEM di peringkat sekolah rendah. 

Iklan

Majlis perasmian program telah disempurnakan menerusi ucapan daripada Guru Besar SK Bukit Jalil, Rozaidi Ismail dan Koordinator Program Teknologi Makanan, Dr Siti Roha Ab Mutalib yang mewakili pihak UiTM Shah Alam.

Iklan

Sejurus selepas pembukaan, slot interaktif dimulakan dengan sesi perkongsian kesedaran khas daripada Dr Siti Aimi Sarah Zainal Abidin yang bertajuk 'Jom Jadi Adiwira Makanan Bersih dan Selamat'.

Menurut Penasihat Program, Profesor Madya Ts ChM Dr Raseetha Vani Siva Manikam, keunikan utama program ini terletak pada pengendalian sembilan buah booth aktiviti interaktif yang dikendalikan sepenuhnya oleh lapan pelajar pascasiswazah program Teknologi Makanan serta 17 ahli jawatankuasa ASYCC.

"Melalui pendekatan praktikal ini, seramai 800 murid Tahun Empat, Lima dan Enam bersama 50 murid pra-sekolah berpeluang merasai sendiri pengalaman menjalankan eksperimen sains harian, antaranya:

1) Sains Makanan Interaktif: (Booth 1) Eksperimen pencoklatan/pemerangan epal; (Booth 2) Teknik mencuci tepung bagi menghasilkan gluten dan (Booth 3) Pemahaman nutrisi melalui aktiviti tampalan Piramid Makanan

2) Keajaiban Kimia & Fizik: (Booth 4) Pengenalan konsep pH menggunakan indikator kubis ungu asli; (Booth 5) Uji kaji tahap kepekatan cecair menerusi 'Lumba Sos di Landasan Condong' dan (Booth 8) Eksperimen inersia 'Forces and Motion'

3) Aplikasi Biologi & Kesihatan: (Booth 7) Demonstrasi pergerakan air melalui 'Gummy Bear Osmosis' dan (Booth 6) Simulasi interaktif 'Glitter Germ' yang melatih teknik basuhan tangan 20 saat yang betul demi keselamatan makanan.

Selain memfokuskan kepada murid-murid, program ini turut menyediakan pengisian khusus buat 20 guru STEM sekolah berkenaan di Booth 9.

Para guru didedahkan dengan produk inovasi penyelidikan UiTM iaitu 'Sos Paina' berasaskan nanas melalui sesi penilaian deria rasa ('sensory evaluation'), di samping perkongsian konsep graviti dan pusat jisim menerusi eksperimen ringkas 'Balancing Fork'.

Sementara itu, Pengarah Program, Muhammad Hail Haris Muhammad Hakim berkata, penganjuran program tersebut bukan sahaja berjaya mendedahkan masyarakat luar kepada aplikasi sains harian, malah menjadi platform terbaik dalam mengasah kemahiran insaniah, komunikasi dan kepimpinan golongan mahasiswa UiTM dalam mendepani cabaran dunia sebenar.

"Program khidmat masyarakat ini membuktikan komitmen berterusan UiTM dalam melahirkan graduan yang prihatin, bertanggungjawab serta mampu menterjemahkan ilmu akademik sebagai sumbangan konkrit kepada pembangunan komuniti setempat," katanya.