Akhir-akhir ini, saban hari kita dikejutkan dengan berita kemalangan yang tragis meragut nyawa serta mencederakan insan yang tidak bersalah di jalanraya. Laporan media dan statistik harian yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM pada awal tahun 2026, menunjukkan statistik kemalangan jalan raya di Malaysia masih berada pada tahap yang membimbangkan. Di peringkat global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan kemalangan jalan raya sebagai salah satu punca utama kematian dalam kalangan golongan muda berumur 15 sehingga 29 tahun. Masalah ini perlu di tangani sebelum parah.
Sudah terang lagi bersuluh, kejadian kemalangan jalan raya berlaku bukan sahaja di musim perayaan tetapi juga di hari biasa. Nahas jalan raya merupakan antara isu keselamatan awam yang menjadi ancaman negara. Setiap tahun, ribuan nyawa terkorban dan menjadi mangsa akibat sikap tidak peduli dan kelalaian pengguna jalan raya. Malah, puluhan ribu menjadi mangsa kemalangan maut. Fenomena ini merupakan bencana hitam yang bukan sahaja membuka mata rakyat Malaysia tetapi menggusarkan seluruh masyarakat; sekaligus menjadikan krisis semasa ini satu cabaran besar kepada kerajaan, pihak berkuasa dan keselamatan rakyat.
Punca Utama Kecelakaan Jalan Raya
Jika dilihat, kebanyakan nahas jalan raya boleh dielak kerana ia berpunca daripada sikap individu yang cuai, hilangnya sifat sabar, toleransi, mementingkan diri sendiri dan kurangnya etika serta disiplin ketika memandu kereta, lori, bas atau menunggang motosikal. Adakalanya, pemandu dan penunggang memotong
kenderaan di garisan berkembar dengan cara yang merbahaya. Pemanduan yang dipengaruhi alkohol dan dadah juga boleh menjadi penyebab kepada nahas kemalangan. Selain itu, keadaan jalan raya yang berlubang teruk dan kawasan yang gelap, kurang pencahayaan juga menjadi faktor yang menyumbang kepada musibah kemalangan.
Kerajaan, pihak berkuasa, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seharusnya memandang serius akan permasalahan ini kerana infrastruktur dan perancangan jalan harus diselia dengan baik dengan menaik taraf sistem jalan raya bagi menghindar sebarang kemalangan yang tidak diingini. Ini bagi melahirkan keyakinan rakyat kepada kerajaan dan pihak berkuasa dengan memastikan mutu serta kualiti sistem jalan raya yang baik serta sempurna.
Hentikan Lagak Ngeri kerana Jalan Raya bukan Litar Lumba
Hakikatnya, kes kemalangan juga berpunca daripada kelemahan dan sikap pemandu itu sendiri. Insiden kumpulan “Mat Rempit” juga masih bermaharajalela hingga kini bangga dengan aksi berani mereka dengan mempamerkan lagak ‘Superman’, akrobatik, corner lipat ketika berada di atas motosikal. Inikah yang dibanggakan oleh anak muda dan belia harapan negara? Apa sudah jadi dengan pengguna jalan raya?
Adakah jalan raya dijadikan medan untuk bertempur, mencabar diri dengan berlumba dan mempertaruhkan nyawa diri sendiri serta orang lain dengan menunggang di dalam keadaan yang sangat merbahaya? Ironinya, kelajuan benar-benar memukau tetapi ia boleh membawa padah, kesengsaraan, kesedihan dan malang tidak berbau bukan sahaja diri sendiri tetapi juga kepada pengguna lain.
Ketahuilah bahawa memandu dengan kelajuan yang melebihi had laju boleh meningkatkan risiko kehilangan kawalan kenderaan dan membahayakan pengguna jalan raya. Usah menormalisasikan jalan raya dengan menjadikan ia sebagai pusara
di lebuh raya. Setiap pengguna jalan raya harus bertanggungjawab dengan memandu secara berhemah serta mematuhi undang-undang dan keselamatan setiap masa demi kesejahteraan semua. Hindari bersikap agresif dengan memandu mengikut perasaan, melanggar lampu isyarat merah dan memotong secara bahaya.
Tingkatkan Etika Pemanduan Berhemah Demi Keselamatan
Penggunaan telefon bimbit atau berselfie di dalam kenderaan seharusnya dielakkan ketika kerana ia boleh mengakibatkan hilangnya luar kawalan. Kemalangan juga berlaku akibat keletihan atau “micro sleep” kurangnya fokus terhadap pemanduan akibat terlelap, mengantuk lalu membawa kepada risiko kemalangan yang serius. Sindrom micro sleep adalah masalah tidur apabila individu terbabit mengalami keadaan di mana otaknya tidur tetapi sensori seperti mata, tangan dan kaki masih aktif.
Menurut Pengarah UMCares, Pusat Komuniti dan Kemampanan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin menyatakan bahawa keadaan itu biasanya berlaku dalam kalangan mereka yang bekerja syif atau bekerja dalam sistem pekerjaan yang menyebabkan tidur yang tidak teratur. Masalah ini juga berlaku akibat insomnia iaitu individu yang mengalami masalah tidur malam boleh menyumbang kepada micro sleep. Sewajarnya, pemandu perlu mendapatkan rehat yang cukup dan sentiasa fokus di jalan raya. Elakkan memandu di dalam keadaan penat kerana ia boleh mengundang bahaya walaupun hanya terlelap di dalam sesaat.
Segelintir pemandu yang lalai, tidak mengendahkan keselamatan dan kepentingan pemakaian tali pinggang yang akhirnya mengundang kecelakaan di jalan raya. Pemakaian tali pinggang amat penting kerana ia membantu menghindar kecederaan yang serius jika berlaku kemalangan. Pengguna jalan raya perlu sentiasa
mengamalkan kesedaran dan bertanggungjawab dengan menyelenggara kenderaan secara berkala dengan baik bagi memastikan kenderaan yang dibawa selamat. Ini bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya. Wahai rakyat Malaysia, sentiasa peka, beringat dan berwaspada; jangan jadi penyumbang kepada statistik kes kemalangan kerana nyawa anda sangat berharga dan tiada galang ganti. Pepatah Melayu ada mengatakan, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi. Usah gopoh tetapi bersikap rasional ketika memandu. Sematkan di dalam hati dan minda dengan mengamalkan tips peringatan “Pandu cermat, Jiwa Selamat.”
Kemalangan membawa Kesan kepada Psikologi Mangsa, Ekonomi dan Sosial
Insiden kemalangan juga membawa kepada peningkatan kos ekonomi negara kerana pembiayaan rawatan hospital perlu dilalui oleh mangsa kecelakaan jalan raya. Dengan purata kematian yang tinggi, impaknya menjejaskan kualiti hidup individu dan kestabilan negara. Lazimny, kehilangan nyawa dan kecacatan kekal mengurangkan produktivi tenaga kerja.
Kerosakan harta benda seperti harta awam, kemudahan jalan raya dan kehilangan sumber tenaga manusia memberi impak besar kepada sektor ekonomi dan sosial negara. Isu kemalangan jalan raya tidak seharusnya dipandang sepi kerana ia mencalar imej negara, menunjukkan sikap biadab pemandu Malaysia dan mencerminkan budaya pemanduan yang tidak sihat.
Nasi sudah menjadi bubur, itulah bidalan perumpamaan tragis buat keluarga mangsa. Tragedi kemalangan sememangnya meninggalkan kesan psikologi dari segi emosi, kemurungan dan trauma kepada mangsa serta keluarga yang terlibat. Kecederaan fizikal turut dirasai oleh mangsa kemalangan ngeri. Mangsa juga boleh menderita akibat fobia memandu, hilangnya mata pencarian, keupayaan untuk bergerak atau
bekerja akibat nahas jalan raya. Lebih menghibakan jika ia menyebabkan kehilangan ketua keluarga (breadwinner) yang bertanggungjawab menyara kehidupan lalu mengakibatkan tekanan emosi, kesedihan, atau depresi serta masalah kewangan kepada ahli keluarga yang lain untuk jangka masa yang panjang.
Solusi dan Pelaksanaan Hukuman Keras Bagi Mengurangkan Kes Kemalangan
Realitinya sangat memilukan kerana hampir setiap hari kita dihidangkan dengan berita kes kemalangan jalan raya. Lebih menyayat hati, peningkatan mangsa korban akibat pemandu mabuk semakin meningkat di Malaysia. Di manakah penghujung permasalahan yang mengorbankan nyawa yang tidak berdosa? Jangan sudah terhantuk, baru terngadah. Sudah sampai masanya penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan dengan lebih tegas, diperkasakan berterusan dan bukannya bermusim.
Pihak berkuasa, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan perlu tegas di dalam melaksanakan undang-undang dengan mengambil tindakan serta mengenakan hukuman yang setimpal kepada pesalah yang cuai, pemandu yang dipengaruhi alkohol yang tinggi serta bermasalah dengan dadah. Penggantungan lesen atau pembatalan lesen memandu seharusnya dijalankan selain mengenakan denda yang setimpal kepada pemandu yang lalai. Ini sebagai memberi iktibar dan peringatan keras kepada pengguna jalan raya di negara ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali menegaskan hukuman lebih berat akan diambil terhadap mana-mana individu yang memandu secara cuai atau berbahaya hingga menyebabkan kematian, khususnya melibatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Beliau juga menekankan bahawa, pemandu yang melanggar individu hingga menyebabkan kematian boleh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Pesalah juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali. Oleh yang demikian, setiap pemandu seharusnya cakna memainkan peranan masing-masing demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
Pelaksanaan operasi sekatan jalan raya, pemeriksaan pemandu samada mereka dibawah pengaruh alkohol atau dadah perlu dipertingkatkan. Penggunaan kamera had laju dan pemerkasaan undang-undang yang berat dan jitu perlu dijalankan bagi mengurangkan kes kemalangan jalan raya. Pendidikan tentang kesedaran akan keselamatan jalan raya perlu dilaksanakan secara menyeluruh di bangku sekolah rendah, menengah dan universiti. Pameran menitikberatkan pematuhan undang-undang dan keselamatan di jalan raya boleh diadakan bukan sahaja di premis pendidikan tetapi juga di jabatan sektor awam dan swasta. Etika pemanduan dan minda yang rasional perlu dititikberatkan dalam pembelajaran dan ketika ujian memandu.
Pemandu seharusnya lebih bertanggungjawab memberi lampu isyarat sebelum memotong kenderaan atau mengubah haluan bagi mengelakkan kemalangan. Jangan hanya kerana sesudah mendapat lesen, segala sikap dan tanggungjawab diketepikan sekaligus menjadi samseng yang mementingkan diri di jalan raya. Langkah meningkatkan kesedaran dan membentuk sikap individu serta masyarakat yang bertanggungjawab, prihatin, beretika, berdisiplin, hormat dan berhemah ketika memandu perlu diwawarkan secara meluas melalui siaran media massa dan pesanan khidmat masyarakat (PSA) secara konsisten dan menyeluruh.
Infrastruktur jalan perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa oleh pihak berkuasa terbabit bagi memastikan penyelenggaraan jalan, penutupan lubang dan pencahayaan berada dalam keadaan optimal. Pembinaan laluan khas untuk motosikal perlu diperluaskan bagi mengurangkan risiko kemalangan. Natijahnya, asas atau tunjang keselamatan jalan raya ialah pendekatan bersepadu iaitu penjagaan, pemuliharaan serta kemudahan dinaik taraf dengan baik oleh pihak berkuasa bagi menjamin kualiti sistem jalan raya selamat digunakan oleh masyarakat.
Setiap pengguna jalan raya perlu sentiasa sedar dan bertanggungjawab di dalam menyelenggara kenderaan masing-masing sebelum memulakan perjalanan. Contohnya membuat servis dengan memeriksa sistem brek, tayar kenderaan, lampu isyarat berfungsi, menukar minyak enjin dan penapis bagi memastikan kenderaan selamat untuk dipandu sebelum bergerak.
Pemandu juga perlu bijak bertindak seiring dengan peningkatan teknologi dengan memasang peranti keselamatan demi kebaikan ketika berada di jalan raya. Penggunaan sistem keselamatan seperti sistem Brek Cegah Kunci atau ABS, airbag dan sistem bantuan pemandu dapat membantu mengurangkan risiko dan kesan kecederaan ketika kemalangan berlaku.
Sekiranya, pemandu berasa letih, tersengguk-sengguk dan mengantuk sila lah berhenti dari meneruskan pemanduan dan letakkan kenderaan di tempat yang selamat dengan berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan. Keselamatan lebih utama daripada cepat sampai. Hargai nyawa dan insan yang tersayang. Ini boleh mengelakkan bukan sahaja masalah micro sleep tetapi juga nahas jalan raya.
Pemeriksaan kesihatan juga perlu dilakukan oleh setiap pemandu dan pengguna jalan raya. Ini bagi memastikan keadaan kondisi mata yang sihat dan bebas daripada penyakit kronik. Warga emas dinasihatkan untuk tidak memandu kerana bukan sahaja disebabkan faktor umur, penglihatan kabur, penurunan keupayaan kognitif dan fizikal tetapi juga dikhuatiri hilang penumpuan dan boleh membahayakan pengguna jalan raya. Mereka amat berisiko dan perlu dipantau oleh ahli keluarga.
Tuntasnya, tragedi kemalangan jalan raya di Malaysia merupakan masalah serius yang memerlukan kerjasama semua pihak. Pendekatan holistik dengan penguatkuasaan undang-undang, semai kesedaran melalui pendidikan tentang keselamatan jalan raya dan pemupukan sikap bertanggungjawab dan disiplin pengguna jalan raya dapat membantu mengurangkan kes kemalangan.
Pada dasarnya, keselamatan jalan raya bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi tanggungjawab serta kewajipan bersama seluruh masyarakat. Ia perlu ditekankan dari masa ke semasa kepada seluruh warga Malaysia agar sentiasa peka, berwaspada ketika memandu bagi melahirkan masyarakat yang mampan, rasional tindak tanduk dari segi akalnya, beretika mengendalikan kenderaan serta saling hormat-menghormati pengguna lain demi kesejahteraan dan keselamatan awam.
Maklumat penulis:
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka, Norazlinda Hj Mohammad