Budaya inovasi pendidikan melahirkan generasi kreatif dan berdaya saing

Iklan
Berbekalkan pengalaman luas sebagai peserta dan juri dalam pelbagai pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Madam Muni melihat semakin ramai inovator pendidikan tampil dengan idea-idea yang kreatif dan bermanfaat.

Pendidikan masa kini semakin rancak dengan pelbagai idea dan produk inovasi yang dihasilkan oleh para pendidik dan pelajar.

Perkembangan ini bukan sahaja memperkayakan kaedah pengajaran dan pembelajaran, malah turut menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan negara secara keseluruhannya.

Iklan
Iklan

Menurut Pensyarah Fizik, Kolej Matrikulasi Kedah, Siti Munirah Mohamed atau Madam Muni, yang aktif dalam bidang inovasi dan kajian tindakan, perkembangan ini merupakan satu fenomena yang amat membanggakan.

Berbekalkan pengalaman luas sebagai peserta dan juri dalam pelbagai pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, beliau melihat semakin ramai inovator pendidikan tampil dengan idea-idea yang kreatif dan bermanfaat.

Iklan

Nilai sesuatu inovasi tidak hanya dinilai berdasarkan kecanggihan teknologi semata-mata. Sebaliknya, aspek paling penting ialah impak inovasi tersebut terhadap kumpulan sasaran, masyarakat dan negara.

Antara persoalan utama yang sering menjadi pertimbangan dalam penilaian inovasi pendidikan ialah sejauh mana inovasi tersebut memberi manfaat kepada pelajar, guru, pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), pentadbir serta institusi dalam dan luar jabatan. Malah, kesannya terhadap komuniti juga turut diambil kira.

Iklan

Selain itu, inovasi yang baik juga dinilai berdasarkan kemampuannya meningkatkan kecekapan dan produktiviti. Inovasi yang mampu menjimatkan kos, masa dan tenaga serta memperkemas proses kerja pastinya memberikan nilai tambah yang besar kepada sistem pendidikan.

Sesuatu inovasi akan menjadi lebih bermakna apabila ia disebarluaskan dan dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai pihak. Walau bagaimanapun, tidak semua inovasi boleh dikomersialkan.

Terdapat inovasi yang boleh dijual dan ada juga yang hanya sesuai untuk disebarkan sebagai amalan terbaik. Sebagai contoh, inovasi berbentuk teknikal seperti teknik atau kaedah PdP boleh dikongsi dan disebarluaskan kepada para pendidik, namun ia tidak sesuai untuk tujuan penjualan.

Sebaliknya, inovasi yang berbentuk produk fizikal atau digital berpotensi untuk dikomersialkan dan dipasarkan kepada masyarakat. Pekomersialan juga merupakan salah satu elemen penting dalam pertandingan inovasi.

Apabila sesuatu inovasi berjaya dikomersialkan, ia menjadi bukti jelas bahawa inovasi tersebut sangat diperlukan oleh masyarakat dan menjurus kepada impak komuniti yang lebih besar. Malah, kejayaan ini turut memberi impak positif kepada sektor pendidikan, sosial dan juga ekonomi negara. 

Dalam menilai sesuatu inovasi, beberapa aspek lain turut diambil kira. Antaranya ialah unsur keaslian (originality), kebaharuan (novelty) serta penambahbaikan yang telah dilakukan terhadap inovasi tersebut sekiranya ia pernah dipertandingkan sebelum ini dan pengiktirafan yang pernah diterima seperti anugerah terdahulu (successful story).

Setiap kenyataan yang dikemukakan oleh peserta dalam pertandingan inovasi mestilah disokong oleh data dan bukti yang kukuh.

Walaupun rubrik penilaian mungkin berbeza mengikut penganjur namun elemen-elemen penting seperti impak, kebaharuan, keberkesanan, potensi penyebarluasan dan pekomersialan tetap menjadi penilaian standard dalam kebanyakan pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang dianjurkan oleh pelbagai institusi termasuk matrikulasi dan universiti.

Sebagai pendidik yang aktif membuat inovasi, menjalankan perkongsian, bimbingan serta penilaian inovasi pendidikan dalam pelbagai skala, beliau berharap agar para pelajar dan pendidik terus berani mencuba dan menghasilkan inovasi baharu.

Amalan berinovasi mampu melatih generasi muda untuk berfikir secara kreatif, kritis dan inovatif dalam menyelesaikan masalah.

Akhirnya, budaya inovasi dalam pendidikan bukan sahaja melahirkan idea baharu, malah membantu membentuk generasi yang holistik, berdaya saing dan berkeupayaan menjadi pemacu kepada kemajuan negara.

INFO

1) JURI PERTANDINGAN INOVASI PERINGKAT ANTARABANGSA

  • International Virtual Expo Of Innovation Product And System Design 2026 anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
  • International Education Innovation Competition 2025 anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
  • Ekspo Rekacipta UniMAP 2025 anjuran UniMAP
  • Aspiring Educator Symposium at Great Teacher Summit (GTS) 2024 kendalian Leave a Nest Malaysia Sdn Bhd di Multimedia Malaysia University (MMU)
  • The Third International Competition On Sustainable Education 2024 (SUSED 2024) anjuran International Islamic University Malaysia (IIUM)
  • International Education Innovation Expo 2023 anjuran UPSI

2) JURI PERTANDINGAN INOVASI PERINGKAT KEBANGSAAN

  • Seminar Pendidikan Fizik Kebangsaan (SPFK 2023) anjuran UPSI

3) JURI PERTANDINGAN INOVASI PERINGKAT NEGERI

  • Kolokium Kolej Matrikulasi Perlis 2025 & 2024 anjuran Kolej Matrikulasi Perlis 

Maklumat penulis:

Pensyarah Fizik, Kolej Matrikulasi Kedah yang juga Johan Anugerah Guru Berwibawa: Pensyarah Berwibawa sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025, Siti Munirah Mohamed (Madam Muni)

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my