Program Innopreneur 4.0 Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 menyasarkan nilai jualan melebihi RM200,000 menerusi pengkomersialan produk inovasi yang dibangunkan peserta sebelum pemenang diumumkan pada Majlis Penutup Program Innopreneur 4.0 September depan.
Program bertemakan 'Smart Innovation, Future Entrepreneurs' itu dilancarkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts Abdul Razak Sabtu, di Bangi Golf Resort pada Selasa.
Sebanyak 43 pasukan berjaya melayakkan diri ke peringkat kebangsaan selepas melepasi proses saringan, membabitkan lapan pasukan Universiti Awam, 17 pasukan Politeknik dan 18 pasukan Kolej Komuniti dari seluruh negara.
Dalam ucapan perasmiannya, Abdul Razak berkata, Innopreneur 4.0 bukan sekadar pertandingan inovasi, malah menjadi platform pembangunan bakat yang menggabungkan elemen teknologi, inovasi dan keusahawanan bagi melahirkan graduan TVET yang mampu mencipta peluang pekerjaan.
Menurutnya, dalam era Revolusi Industri 4.0, graduan perlu memiliki nilai tambah melebihi kelayakan akademik dengan keupayaan berfikir secara kreatif, menyelesaikan masalah sebenar industri dan menghasilkan inovasi yang mempunyai nilai komersial.
"Kita mahu melihat idea yang lahir daripada program ini berkembang menjadi produk dan perniagaan sebenar.
"Pertandingan ini hanyalah titik permulaan kepada perjalanan sebagai usahawan. Inovasi perlu terus diperkasakan sehingga mampu menembusi pasaran dan memberi impak kepada ekonomi negara," katanya.
Sepanjang program berlangsung, peserta akan mengikuti pelbagai sesi pembangunan kapasiti meliputi Internet of Things (IoT), Artificial Intelligence (AI) dalam perniagaan, pemasaran digital, Business Model Canvas, perlindungan harta intelek dan pengurusan kewangan perniagaan bagi memastikan produk yang dibangunkan memenuhi kehendak pasaran.
Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Jempol merangkap Pengerusi Keusahawanan POLYCC Zon Melaka dan Negeri Sembilan, Amalulkhair Sarbini, berkata, sasaran jualan melebihi RM200,000 yang ditetapkan menjadi penanda aras kejayaan peserta dalam menterjemahkan idea kepada produk yang benar-benar mendapat sambutan pengguna.
Ujarnya, pendekatan pertandingan yang mengukur prestasi berdasarkan pencapaian jualan sebenar memberi pengalaman dunia perniagaan kepada peserta, selain menggalakkan mereka membina strategi pemasaran, mengenal pasti pelanggan sasaran dan mengembangkan potensi produk masing-masing.
"Program ini memberi ruang kepada pelajar untuk membuktikan bahawa inovasi tidak seharusnya berakhir di bilik kuliah atau sekadar menjadi projek pertandingan. Sebaliknya, ia perlu berkembang menjadi produk yang mampu menjana pendapatan serta memberi manfaat kepada masyarakat dan industri," katanya.
Program Innopreneur 4.0 dianjurkan oleh Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar (BAPP), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dengan kerjasama Unit Keusahawanan POLYCC Zon Melaka dan Negeri Sembilan, manakala Kolej Komuniti Jempol bertindak sebagai pengelola bersama.
Selepas majlis peluncuran, kesemua 43 pasukan akan meneruskan fasa pengkomersialan dan pemasaran produk masing-masing sehingga September 2026.
Prestasi jualan, keberkesanan strategi pemasaran serta potensi produk akan dinilai sebelum pemenang diumumkan pada Majlis Penutup Program Innopreneur 4.0 Peringkat Kebangsaan 2026.
Penganjuran program ini diharap menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan lebih ramai usahawan TVET yang inovatif, kompetitif dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi negara untuk memperkukuh ekosistem inovasi dan keusahawanan berasaskan teknologi.