Dalam dunia akademik, bukan semua pensyarah berpeluang menerima undangan untuk berkongsi kepakaran di pentas antarabangsa. Lebih-lebih lagi apabila undangan tersebut datang daripada institusi pendidikan tinggi yang mempunyai reputasi global.
Justeru, apabila Pensyarah Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar menerima jemputan khas daripada Jabatan Falsafah Sosial, Peoples' Friendship University of Russia (RUDN University), Moscow, Rusia, ia bukan sahaja menjadi pengiktirafan peribadi buat beliau, malah turut mengangkat nama USIM dan Malaysia di persada antarabangsa.
Undangan tersebut mencerminkan kepercayaan masyarakat akademik global terhadap kepakaran beliau dalam bidang bioetika, perubatan dan pemikiran Islam yang semakin mendapat perhatian dunia.
Melalui syarahan umum bertajuk Gender Ideology: Contemporary Social and Ethical Challenges to Medicine and Islam yang disampaikan secara dalam talian, Profesor Dr Rafidah membincangkan cabaran sosial dan etika yang timbul susulan perkembangan ideologi gender serta implikasinya terhadap bidang perubatan dan perspektif Islam.
Beliau turut mengupas persoalan asas berkaitan identiti manusia, sama ada ia terbentuk sepenuhnya melalui konstruksi sosial atau mempunyai asas yang berpaksikan realiti biologi dan ontologi manusia.
Menurut beliau, isu tersebut perlu diteliti secara kritis kerana pengaruhnya semakin meluas terhadap institusi sosial, struktur kekeluargaan dan amalan perubatan moden.
"Dalam syarahan tersebut, saya menghuraikan isu ini melalui dua kerangka utama iaitu bioetika dan pemikiran Islam, dengan memberi perhatian kepada cabaran sosial serta etika yang dihadapi dalam dunia perubatan kontemporari," katanya.
Sebagai pakar yang turut berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Etika Penyelidikan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Profesor Dr Rafidah juga menyentuh mengenai krisis antropologi serta cabaran yang dihadapi perubatan moden dalam menyeimbangkan hak autonomi individu dengan tanggungjawab mempertahankan hakikat biologi yang objektif.
Kejayaan Profesor Dr Rafidah menerima undangan daripada universiti terkemuka Rusia itu menjadi bukti bahawa kecemerlangan akademik, kepakaran yang mendalam dan komitmen terhadap penyelidikan berkualiti mampu membuka ruang kepada pengiktirafan dunia.
INFO
- Dilahirkan di Kuala Ketil, Kedah
- Latar belakang akademik
- Sekolah Kebangsaan (SK) Gurun Pusat, Kedah
- SK Guar Chempedak, Kedah
- Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan
- Universiti Kebangsaan Malaysia (kelulusan Doktor Perubatan, 1997)
- Memperolehi Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Fisiologi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta menerima Anugerah Pelajar PhD terbaik Kulliyyah of Medicine, UIAM