Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus menerajui inovasi dakwah inklusif apabila menjadi universiti pertama di Malaysia yang menawarkan kursus pengajaran Quran Isyarat menerusi pelaksanaan Kursus Kompetensi Pengajaran Quran Isyarat Tahap 1 bersama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).
Program anjuran Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), USIM itu berlangsung di Hotel Grand Margherita, Kuching dari 12 hingga 14 Julai lalu dan disertai seramai 27 Pegawai Tadbir Agama Bahagian serta Pegawai Pengislaman Bahagian Saudara Kita JAIS dari seluruh Sarawak.
Menurut kenyataan media yang dikirimkan kepada Sinar Bestari, kursus tersebut bertujuan membangunkan kompetensi tenaga pengajar dalam kemahiran membaca dan mengajar Quran Isyarat bagi memastikan penyampaian ilmu al-Quran kepada komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran, termasuk mualaf dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, efektif dan inklusif.
"Penganjuran kursus ini mencerminkan keyakinan agensi kerajaan terhadap kepakaran UMMI, USIM dalam memperkasa pegawai agama untuk mendepani cabaran dakwah kepada komuniti OKU pendengaran.
"Antara pengisian utama kursus ialah peranan guru sebagai dai, teori asas pengajaran dan pembelajaran al-Quran untuk OKU, kemahiran membaca al-Quran menggunakan Kod Tangan Quran (KTQ) secara hands-on serta pelaksanaan penilaian kompetensi peserta," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah JAIS, Mual Suaud berkata, pembangunan kapasiti tenaga pengajar merupakan elemen penting dalam memperluaskan akses pendidikan Islam kepada komuniti OKU pendengaran di Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada USIM atas kesediaan berkongsi kepakaran dalam bidang Quran Isyarat menerusi program berkenaan.
Sepanjang tiga hari program berlangsung, peserta mengikuti latihan intensif yang dikendalikan pasukan pakar UMMI diketuai oleh Profesor Madya Dr Nurul Asiah Fasehah Muhamad dan Dr Siti Fatimah Mohd Tawil bersama staf serta Felo Budi UMMI yang berpengalaman.
Penglibatan pasukan multidisiplin itu menyerlahkan kekuatan ekosistem kepakaran USIM dalam mengintegrasikan penyelidikan, inovasi dan latihan profesional bagi memperkasakan pendidikan Islam yang inklusif.
Dalam perkembangan sama, Pengarah UMMI, Profesor Madya Dr Norakyairee Mohd Raus berkata, pembangunan Quran Isyarat merupakan agenda strategik USIM bagi memastikan komuniti OKU pendengaran mendapat hak yang sama untuk mempelajari, memahami dan menghayati al-Quran melalui pendekatan yang sesuai dengan keperluan mereka.
"USIM melalui UMMI bukan sahaja membangunkan kaedah membaca al-Quran menggunakan Kod Tangan Quran (KTQ), malah membina ekosistem lengkap yang merangkumi penyelidikan, pembangunan modul, latihan kompetensi, inovasi dan pemindahan ilmu kepada pelbagai agensi di seluruh negara.
"Penganjuran kursus ini turut membuktikan keyakinan agensi kerajaan terhadap kepakaran UMMI, USIM dalam memperkasakan pegawai agama bagi mendepani cabaran dakwah kepada komuniti OKU," katanya.
Akhir sekali, kerjasama strategik antara USIM dan JAIS ini turut memperkukuh usaha memperluas pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Quran Isyarat di Sarawak.
Melalui latihan yang diberikan, para peserta diharap dapat menjadi agen penggerak dakwah inklusif dalam menyampaikan pendidikan al-Quran kepada komuniti OKU secara lebih tersusun, berkesan dan berteraskan nilai ihsan.