Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Cisco Malaysia mencatat satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan transformasi kampus pintar universiti menerusi pelancaran bilik kuliah pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) di bawah Program Cisco Country Digital Acceleration (CDA).
Inisiatif strategik ini mentakrif semula masa depan pembelajaran hibrid serta menyokong Agenda Transformasi Digital Hijau UMT.
Kerjasama berkenaan menggabungkan teknologi kolaborasi berkuasa AI dan infrastruktur digital pintar bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih inklusif, interaktif dan lestari.
Melalui pelaksanaannya, Cisco telah mentransformasikan bilik kuliah konvensional kepada ruang pembelajaran pintar yang dilengkapi teknologi canggih seperti Cisco Webex Board.
Peranti berasaskan AI ini menyokong mesyuarat berteraskan video, papan putih digital serta fungsi terjemahan dan transkripsi masa nyata, sekali gus membolehkan interaksi dan kolaborasi tanpa sempadan antara pensyarah dan pelajar.
Selain memperkasa pengalaman pengajaran dan pembelajaran, penggunaan Cisco Spaces iaitu platform analitik lokasi dan Internet Benda (IoT) berasaskan awan (cloud) membolehkan pemantauan masa nyata terhadap penggunaan ruang dan tenaga.
Dengan keupayaan AI, sistem ini membantu mengoptimumkan penggunaan fasiliti serta mengurangkan jejak karbon universiti, selaras dengan aspirasi kelestarian UMT.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi), Profesor Dr Muhammad Ikhwanuddin Abdullah@Polity Ak Kria menegaskan kepentingan kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi dan industri dalam mempercepat transformasi digital negara.
"UMT komited untuk terus memperkukuh penggunaan teknologi digital dalam pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan. Kerjasama bersama Cisco Malaysia ini mencerminkan keyakinan industri terhadap keupayaan universiti dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Chee Kheong Lee berkata, pihaknya berbangga dapat menyokong visi UMT dalam membangunkan kampus yang lebih pintar dan lestari.
"Melalui integrasi teknologi AI dan Cisco Spaces, UMT menetapkan penanda aras baharu dalam pendidikan tinggi dengan memperkasakan pelajar untuk berkolaborasi dari mana-mana sahaja dan berjaya dalam era digital," ujarnya.
Terdahulu, UMT menyampaikan hadiah tajaan Cisco kepada para pemenang PAMERKOM 2026 iaitu pameran projek tahun akhir pelajar bagi program Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dengan Kepujian dan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Informatik Maritim) dengan Kepujian.