Potensi ruang hijau dalam menangani krisis kesihatan mental pelajar sekolah

Iklan
Alam semula jadi bukan sekadar elemen landskap yang mencantikkan kawasan sekolah, malah berfungsi sebagai medium pemulihan psikologi yang berkesan. Foto: Canva. Gambar kecil: Profesor Madya Ts CA Dr Sreetheran

Isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah semakin mendapat perhatian masyarakat. Tekanan akademik, persaingan untuk mencapai kecemerlangan, penggunaan media sosial secara berlebihan, konflik keluarga serta kesan perubahan gaya hidup pasca pandemik telah menyebabkan semakin ramai pelajar mengalami tekanan, kebimbangan, kemurungan dan keletihan emosi. Sekiranya tidak ditangani secara menyeluruh, masalah ini bukan sahaja menjejaskan prestasi akademik, malah boleh memberi kesan kepada perkembangan sosial, emosi dan fizikal pelajar.

Walaupun pelbagai pendekatan telah diperkenalkan seperti kaunseling, program motivasi dan intervensi psikologi, satu aspek yang sering dipandang ringan ialah peranan persekitaran fizikal sekolah, khususnya ruang hijau. Kajian dari seluruh dunia menunjukkan bahawa akses kepada ruang hijau mampu memberi kesan positif terhadap kesejahteraan mental seseorang.

Iklan
Iklan

Alam semula jadi bukan sekadar elemen landskap yang mencantikkan kawasan sekolah, malah berfungsi sebagai medium pemulihan psikologi yang berkesan.

Ruang hijau seperti taman sekolah, kawasan berpokok, kebun komuniti, laluan pejalan kaki yang teduh serta kawasan pembelajaran luar bilik darjah mampu mewujudkan suasana yang lebih tenang dan kondusif. Persekitaran sebegini membantu mengurangkan tekanan fisiologi, menstabilkan emosi dan meningkatkan keupayaan pelajar untuk memberi tumpuan semasa proses pembelajaran. Pendedahan kepada alam juga didapati dapat mengurangkan keletihan mental yang sering dialami oleh pelajar akibat pembelajaran yang intensif.

Iklan

Lebih penting lagi, ruang hijau menyediakan peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara sihat dengan rakan-rakan, menjalankan aktiviti fizikal dan melibatkan diri dalam pembelajaran berasaskan pengalaman. Aktiviti seperti berkebun, pemerhatian biodiversiti, pembelajaran luar kelas serta eksplorasi alam bukan sahaja meningkatkan pengetahuan, malah dapat membina daya tahan emosi, keyakinan diri dan semangat kerjasama.

Di negara-negara maju, konsep sekolah hijau semakin berkembang sebagai sebahagian daripada strategi meningkatkan kesejahteraan warga sekolah. Rekabentuk sekolah kini memberi penekanan kepada penyediaan taman terapi, kawasan pembelajaran luar, hutan mini dan ruang santai yang dipenuhi elemen semula jadi. Pendekatan ini dilihat mampu menyokong perkembangan kognitif, emosi dan sosial pelajar secara serentak.

Iklan

Di Malaysia, kebanyakan sekolah masih memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur akademik, manakala pembangunan ruang hijau sering dianggap sebagai elemen pelengkap. Hakikatnya, landskap sekolah perlu dilihat sebagai satu bentuk pelaburan terhadap kesihatan mental pelajar. Persekitaran yang menghijau bukan sahaja menjadikan sekolah lebih indah, tetapi turut mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa, inklusif dan menyokong kesejahteraan psikologi.

Usaha ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia, pihak sekolah, pihak berkuasa tempatan, arkitek landskap, ibu bapa dan komuniti. Perancangan sekolah baharu seharusnya mengintegrasikan elemen hijau sejak peringkat awal reka bentuk, manakala sekolah sedia ada boleh dipertingkatkan melalui penanaman pokok teduhan, pembangunan taman pembelajaran, sudut refleksi dan ruang santai yang mesra pelajar.

Dalam era yang semakin mencabar ini, pendekatan menangani kesihatan mental tidak boleh hanya tertumpu kepada rawatan apabila masalah telah berlaku. Sebaliknya, usaha pencegahan perlu diperkukuh melalui pembentukan persekitaran yang menyokong kesejahteraan pelajar setiap hari. Ruang hijau merupakan salah satu intervensi berasaskan alam yang murah, lestari dan memberi manfaat jangka panjang kepada seluruh komuniti sekolah.

Sudah tiba masanya kita mengubah perspektif bahawa pokok, taman dan landskap sekolah hanyalah elemen hiasan. Sebaliknya, ruang hijau harus diiktiraf sebagai komponen penting dalam sistem pendidikan yang menyumbang kepada pembentukan pelajar yang lebih sihat, tenang, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. Sekolah yang menghargai alam bukan sahaja melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi akademik, tetapi juga generasi yang mempunyai kesejahteraan mental yang kukuh.

Maklumat penulis:

Pensyarah, Jabatan Senibina Landskap, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Ts CA Dr Sreetheran Maruthaveeran

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my