Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pendidikan tinggi bagi pelajar dari pelbagai negara. Perkembangan ini adalah bukti keyakinan terhadap kualiti institusi pengajian tinggi tempatan, di samping memperlihatkan peranan universiti Malaysia sebagai pusat perkongsian ilmu, penyelidikan dan inovasi. Dalam landskap pendidikan tinggi semasa, pengantarabangsaan bukan lagi sekadar pilihan, tetapi menjadi antara elemen penting dalam meningkatkan kecemerlangan dan daya saing universiti.
Universiti hari ini bukan sekadar institusi yang melahirkan graduan. Ia turut menjadi platform yang menghimpunkan kepelbagaian kepakaran, budaya dan pengalaman. Penglibatan pensyarah, penyelidik dan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang mampu memperkayakan proses pembelajaran, meningkatkan mutu penyelidikan serta memperluas jaringan kerjasama antarabangsa.
Universiti Sains Malaysia (USM), misalnya, terus mengembangkan agenda pengantarabangsaan melalui mobiliti mahasiswa dan pensyarah, penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran serta program akademik dengan institusi luar negara. Inisiatif ini memberi peluang kepada warga universiti untuk berinteraksi dalam persekitaran yang lebih pelbagai dan memperoleh pendedahan kepada idea, teknologi serta pendekatan baharu.
Naib Canselor USM menegaskan bahawa pengantarabangsaan perlu membawa nilai yang lebih besar daripada peningkatan jumlah mahasiswa antarabangsa atau pemeteraian kerjasama semata-mata.
“Pengantarabangsaan perlu diterjemahkan kepada pertukaran ilmu, penyelidikan bersama, pembangunan bakat dan jaringan strategik yang memberi manfaat nyata kepada universiti, negara dan masyarakat.”
Kehadiran mahasiswa antarabangsa turut menjadikan suasana pembelajaran lebih dinamik. Mereka membawa perspektif yang terbentuk daripada pengalaman pendidikan, budaya dan konteks sosial negara masing-masing. Perkongsian pandangan ini menggalakkan perbincangan yang lebih terbuka dan kritis, di samping membantu mahasiswa tempatan membina kemahiran komunikasi antara budaya, pemikiran global serta keupayaan bekerjasama dalam persekitaran merentas sempadan.
Pada peringkat penyelidikan, mahasiswa antarabangsa, khususnya dalam program sarjana dan doktor falsafah, turut terlibat dalam projek bersama pensyarah serta penyelidik tempatan. Kerjasama ini menyumbang kepada penerbitan ilmiah, perkongsian kepakaran, pembangunan teknologi dan pembentukan rangkaian penyelidikan rentas negara.
Hubungan akademik yang terbina juga berpotensi meningkatkan penyertaan universiti dalam konsortium antarabangsa dan membuka peluang mendapatkan geran penyelidikan. Manfaatnya bukan sahaja kepada penyelidik dan mahasiswa yang terlibat, tetapi turut menyokong pembangunan kapasiti penyelidikan institusi serta kemajuan ilmu negara.
Kehadiran mahasiswa antarabangsa turut memberi kesan kepada aktiviti ekonomi. Perbelanjaan bagi yuran pengajian, penginapan, pengangkutan, makanan, kesihatan dan keperluan harian menghasilkan limpahan kepada komuniti sekitar kampus. Secara tidak langsung, sektor pendidikan menyokong perusahaan kecil dan sederhana serta pelbagai industri perkhidmatan berkaitan.
Alumni antarabangsa yang pernah menuntut di Malaysia juga berpotensi menjadi penghubung kepada kerjasama masa hadapan. Sebahagian daripada mereka kembali ke negara asal sebagai ahli akademik, penyelidik, usahawan, pegawai kerajaan atau profesional industri. Hubungan yang dibina sepanjang
pengajian boleh berkembang kepada kerjasama dalam penyelidikan, perdagangan, pelaburan, pelancongan dan pembangunan teknologi.
Dalam konteks ini, pendidikan tinggi turut berfungsi sebagai instrumen diplomasi ilmu. Hubungan yang terbina melalui pengalaman akademik dan interaksi antara masyarakat dapat memperkukuh persefahaman serta jaringan Malaysia dengan komuniti antarabangsa.
Pada masa yang sama, mekanisme kemasukan mahasiswa antarabangsa ke universiti awam berbeza daripada laluan pelajar tempatan. Pengambilan dilaksanakan berdasarkan dasar, kapasiti dan ketetapan Kementerian Pendidikan Tinggi serta institusi pengajian tinggi.
Bagi program prasiswazah, kemasukan mahasiswa antarabangsa dilaksanakan melalui saluran berasingan dan secara “over and above”, iaitu di luar kuota arus perdana pelajar tempatan. Bagi program pascasiswazah pula, kemasukan bergantung pada kelayakan akademik, kapasiti penyelidikan dan keupayaan penyeliaan universiti. Pendekatan ini membolehkan agenda pengantarabangsaan dilaksanakan tanpa menjejaskan mekanisme kemasukan pelajar tempatan.
Kesimpulannya, mahasiswa antarabangsa memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi melalui sumbangan kepada pembelajaran, penyelidikan, ekonomi dan jaringan global. Pendekatan yang terbuka serta seimbang akan membantu Malaysia terus berkembang sebagai destinasi pendidikan tinggi yang berdaya saing dan diyakini di peringkat antarabangsa.
Maklumat penulis
Pensyarah Komunikasi Digital Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Miharaini Md Ghani