Buli di tempat kerja, ancaman senyap yang menghakis keharmonian organisasi

Iklan
Buli bukan sekadar konflik biasa atau perbezaan pendapat sebaliknya melibatkan penyalahgunaan kuasa, intimidasi atau layanan berterusan sehingga memberi tekanan kepada mangsa. Foto: Canva. Gambar kecil: Noor Eszereen

Buli di tempat kerja semakin menjadi ancaman kepada kesejahteraan pekerja dan kelestarian organisasi. Perlakuan seperti penghinaan, intimidasi dan gangguan yang berterusan bukan sahaja menjejaskan kesihatan mental mangsa, malah boleh mengurangkan produktiviti serta melemahkan prestasi organisasi secara keseluruhan.

Ketua Seksyen Perkhidmatan Intervensi, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, buli di tempat kerja merangkumi sebarang tingkah laku yang berulang, tidak munasabah dan bertujuan atau memberi kesan menjatuhkan maruah, mengancam, mengasingkan atau menjejaskan kesejahteraan seseorang pekerja.

Iklan
Iklan

"Buli bukan sekadar konflik biasa atau perbezaan pendapat sebaliknya melibatkan penyalahgunaan kuasa, intimidasi atau layanan berterusan sehingga memberi tekanan kepada mangsa," katanya.

Beliau yang juga Pegawai Psikologi Kanan berkata, ramai yang menyangka buli hanya berlaku melalui kekerasan fizikal, kata-kata kasar atau jeritan, namun terdapat pelbagai bentuk buli yang lebih halus dan sering tidak disedari.

Iklan

"Antaranya seperti menghina atau memperlekehkan seseorang di hadapan orang lain, menyebarkan fitnah, mengasingkan pekerja daripada mesyuarat, memberikan beban kerja yang tidak munasabah, sengaja tidak menyalurkan maklumat penting, mengugut serta melakukan buli siber melalui aplikasi komunikasi kerja atau media sosial," katanya.

Walaupun perkara tersebut tidak meninggalkan kesan fizikal, buli boleh menyebabkan luka emosi yang mendalam dan jika tidak ditangani, berisiko membawa kepada masalah kesihatan mental yang lebih serius.

Iklan

Siti Fatimah berkata, seorang pekerja yang toksik juga mampu mempengaruhi keseluruhan budaya organisasi melalui sikap suka menghasut, menjatuhkan rakan sekerja, mencetuskan konflik, enggan bekerjasama atau menyalahgunakan kedudukan.

"Apabila tingkah laku seperti ini dibiarkan pekerja akan berasa tidak selamat, hilang kepercayaan sesama rakan dan kurang bermotivasi. Budaya saling menyokong akhirnya bertukar menjadi budaya saling mencurigai," katanya.

Beliau berkata, terdapat juga keadaan apabila majikan sendiri mengamalkan budaya kerja toksik sehingga kebajikan pekerja yang setia berkhidmat tidak diberikan perhatian sewajarnya dari segi peluang pembangunan kerjaya atau kemudahan yang sepatutnya.

Mengulas faktor yang mendorong berlakunya buli di tempat kerja, Siti Fatimah berkata, antaranya ialah kurangnya kecerdasan emosi, tekanan kerja yang tidak diurus dengan baik, persaingan tidak sihat, gaya kepimpinan yang lemah atau autoritarian, kegagalan mengambil tindakan terhadap pelaku serta budaya organisasi yang menganggap buli sebagai perkara biasa atau kaedah mendisiplinkan pekerja.

"Kesan buli bukan sahaja dirasai oleh individu malah turut memberi implikasi besar kepada organisasi. Mangsa lazimnya mengalami tekanan, kebimbangan, kemurungan, hilang keyakinan diri, sukar memberi tumpuan, keletihan emosi atau burnout selain gangguan kesihatan fizikal seperti masalah tidur dan tekanan darah tinggi.

"Pada peringkat organisasi produktiviti akan menurun, kualiti kerja merosot, kadar ketidakhadiran meningkat, berlaku pusing ganti pekerja yang tinggi, sukar mengekalkan bakat berkualiti dan akhirnya reputasi organisasi turut terjejas," katanya.

Beliau menegaskan kepimpinan memainkan peranan penting dalam membentuk budaya kerja yang sihat melalui pelaksanaan dasar sifar toleransi terhadap buli, mendengar aduan secara adil, bertindak segera terhadap konflik, melindungi kerahsiaan pengadu serta menyediakan latihan berkaitan komunikasi berkesan, kecerdasan emosi dan pengurusan konflik.

"Pemimpin yang berdiam diri terhadap perlakuan buli sebenarnya memberi isyarat bahawa tingkah laku tersebut boleh diterima," katanya.

Siti Fatimah turut mengingatkan mangsa atau saksi kejadian buli supaya tidak berdiam diri, sebaliknya merekodkan setiap insiden, menyimpan bukti berkaitan, mendapatkan sokongan daripada penyelia, pegawai sumber manusia atau pegawai psikologi, serta menggunakan saluran aduan dalaman organisasi.

"Jika insiden melibatkan risiko terhadap keselamatan dan kesihatan psikologi di tempat kerja, perkara itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atau pihak pengurusan," katanya.

Beliau berkata, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang diperkukuh melalui pindaan serta garis panduan berkaitan memberi penekanan bahawa majikan bertanggungjawab menyediakan tempat kerja yang selamat, termasuk daripada risiko psikososial seperti buli, gangguan dan keganasan di tempat kerja.

"Majikan perlu mengambil langkah pencegahan, menyediakan mekanisme aduan yang berkesan, menjalankan siasatan secara adil serta melaksanakan tindakan pembetulan bagi memastikan kesejahteraan mental pekerja sentiasa dipelihara.

"Buli di tempat kerja bukan isu peribadi semata-mata, tetapi isu organisasi. Kita perlu bergerak daripada budaya 'tak apa, biasalah' kepada budaya 'cakna, hormat dan bertindak'. Setiap pekerja berhak bekerja dalam persekitaran yang selamat, bermaruah dan bebas daripada sebarang bentuk buli.

"Kesihatan mental di tempat kerja adalah tanggungjawab bersama. Apabila organisasi menjaga kesejahteraan manusia, organisasi itu sebenarnya sedang membina tenaga kerja yang lebih produktif, inovatif, berintegriti dan mampan," katanya.

Maklumat penulis:

Seksyen Komunikasi Korporat, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM, Noor Eszereen Juferi

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my