Penyertaan 80 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Politeknik Kota Kinabalu dalam program Sabah NextGen 2.0 Oil & Gas Boot Camp 2026 mampu memperkukuhkan lagi kesiapsiagaan bakal graduan untuk memenuhi keperluan industri minyak dan gas yang semakin kompetitif.
Program yang berlangsung di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Sabah itu merupakan hasil kerjasama EPOMS Global Solutions Sdn Bhd, Politeknik Kota Kinabalu dan Pusat Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan (CEDeC), UMS bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kebolehpasaran graduan dalam industri minyak dan gas.
Pengarah CEDeC UMS, Profesor Madya Ts Dr Sidah Idris berkata, kolaborasi tersebut antara lain bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai industri minyak dan gas.
"Ini merangkumi prospek kerjaya, keperluan industri serta kemahiran yang diperlukan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.
"Program ini turut menjadi platform strategik dalam mengukuhkan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan dan pihak industri bagi melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing bersedia memasuki alam pekerjaan dalam sektor minyak dan gas," katanya.
Tambah beliau, penyertaan UMS dalam program berkenaan selaras dengan komitmen universiti untuk memperluas kerjasama strategik bersama industri bagi memperkukuh pembangunan bakat, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan melahirkan modal insan yang memenuhi keperluan sektor minyak dan gas di Sabah.
Program dua hari tersebut menyaksikan pelbagai sesi perkongsian ilmu yang dikendalikan oleh 12 wakil daripada EPOMS Global Solutions Sdn Bhd; Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC); Sabah Oil and Gas Services Council (SOGSC); Kimanis Power Sdn Bhd (KPSB); Energy Commission of Sabah (ECOS); Sabah Shell Petroleum Company (SSPC); Sabah Skills & Technology Centre (SSTC) dan SEA Hibiscus.
Sementara itu, majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Muhammaddin Mohd Jair; Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Penyelidikan, Sabah Energy Corporation Sdn Bhd, Ir Datu Mohd Redzwan Datu Basrun; Naib Presiden SOGSC, Jesselton Jason James; Ketua Pentadbiran CEDeC UMS, Ailina Jampadin dan Eksekutif Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Xenia Teo.