Politeknik Jeli Kelantan (PJK) berjaya membangunkan sistem panel solar untuk kereta bugi yang pertama di Kelantan menerusi Projek Inovasi Teknologi Solar Buggy Car.
Pengarah PJK, Mohd Zamre Ab Rahman berkata, projek bernilai hampir RM300,000 itu dibangunkan oleh 20 pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik (Tenaga Hijau) Semester Tiga dalam tempoh kira-kira sebulan.
Beliau berkata, projek yang diketuai pensyarah, Chung Boon Chuan itu memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran asas yang dipelajari pelajar sejak Semester Pertama.
"Sistem panel solar dipasang pada kereta bugi bagi membolehkan baterinya dicas menggunakan tenaga matahari, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan elektrik," katanya kepada pemberita selepas sesi demonstrasi projek berkenaan di PJK.
Mohd Zamre berkata, PJK kini memiliki enam kereta bugi yang dilengkapi sistem panel solar, terdiri daripada empat unit empat tempat duduk dan dua unit dua tempat duduk, dengan setiap satu bernilai kira-kira RM40,000.
Beliau berkata, inovasi itu selaras dengan aspirasi PJK sebagai kampus hijau yang komited memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan elektrik.
Katanya, Diploma Kejuruteraan Elektrik (Tenaga Hijau) yang mula ditawarkan pada Julai tahun lepas turut mendapat sambutan memberangsangkan apabila pengambilan pelajar baharu meningkat daripada 40 orang kepada 80 orang bagi sesi tahun ini.
"Perkembangan industri tenaga hijau di negara ini, khususnya di Kelantan termasuk pembangunan ladang solar di Tok Uban dan Pasir Mas, membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan permintaan terhadap program yang ditawarkan," katanya.
Beliau berkata, PJK turut menerima peruntukan RM2 juta daripada Kementerian Pendidikan Tinggi tahun lepas bagi menaik taraf makmal serta melengkapkannya dengan peralatan dan kemudahan baharu untuk menyokong pengajaran dan pembelajaran dalam bidang tenaga hijau.
Selain menjadi platform pembelajaran, beliau berkata, PJK juga bersedia menerima tempahan daripada orang ramai dan agensi bagi pemasangan sistem panel solar pada kereta bugi.
"Usaha ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar terhadap aplikasi sebenar teknologi tenaga boleh diperbaharui, malah melahirkan graduan berkemahiran yang mampu memenuhi keperluan industri hijau yang semakin berkembang," katanya.