Ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik, gangguan perdagangan antarabangsa dan perubahan teknologi yang semakin pantas, Malaysia kini berada pada fasa penting membina sebuah model ekonomi baharu yang lebih berdaya tahan, kompetitif dan mampan.
Kekuatan ekonomi sesebuah negara hari ini bukan lagi hanya dinilai melalui kadar pertumbuhan tahunan semata-mata, sebaliknya melalui kemampuan menyesuaikan diri dengan perubahan global, mempelbagaikan sumber pertumbuhan serta membina ekosistem ekonomi yang mampu bertahan dalam apa juga keadaan.
Melalui kerangka Ekonomi MADANI, pengukuhan rantaian bekalan serantau, pembangunan kecerdasan buatan (AI), pusat data mampan, industri semikonduktor dan agenda kelestarian menjadi antara asas penting dalam membentuk ekonomi masa depan negara.
Gangguan rantaian bekalan global membuktikan kebergantungan kepada satu laluan perdagangan tertentu boleh memberi risiko besar kepada ekonomi sesebuah negara.
Justeru, usaha memperkukuhkan hubungan perdagangan ASEAN dan pembangunan hab logistik rentas sempadan menjadi langkah strategik memastikan Malaysia mempunyai jaringan ekonomi lebih stabil.
Pembangunan pelabuhan darat di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Padang Besar, Perlis serta hubungan ekonomi lebih erat dengan Thailand membuka peluang pembentukan koridor perdagangan baharu yang bukan sahaja memperkukuhkan hubungan serantau, malah meningkatkan daya saing Malaysia dalam perdagangan global.
Dalam masa sama, sektor pusat data muncul sebagai pemacu ekonomi baharu apabila Malaysia berjaya menarik minat pelaburan digital berskala besar daripada syarikat teknologi global.
Kelebihan Malaysia bukan hanya bergantung kepada pembangunan infrastruktur digital, tetapi turut disokong komitmen membangunkan pusat data mampan melalui penggunaan teknologi cekap tenaga dan pengurangan jejak karbon.
Selama lebih lima dekad, Malaysia dikenali sebagai pemain penting industri semikonduktor global.
Namun, masa depan ekonomi turut bergantung kepada kemampuan negara memanfaatkan kecerdasan buatan.
Gabungan kekuatan semikonduktor, pusat data, pengkomputeran awan dan AI mampu memberi peluang kepada Malaysia muncul sebagai hab teknologi utama ASEAN.
Selain teknologi, agenda kelestarian turut menjadi tonggak penting Ekonomi MADANI.
Kelestarian bukan lagi sekadar isu alam sekitar, tetapi sebahagian daripada strategi ekonomi bagi memastikan pertumbuhan negara bergerak seiring dengan tanggungjawab sosial dan pemeliharaan alam.
Pengurusan sisa, ekonomi kitaran dan penggunaan teknologi hijau kini menjadi komponen penting dalam membina ekonomi yang lebih cekap serta kurang bergantung kepada sumber luar.
Dalam era dunia yang semakin tidak menentu, kejayaan sesebuah negara bukan hanya bergantung kepada kekuatan ekonomi semasa tetapi kemampuan menyediakan asas kukuh menghadapi perubahan masa depan.
Pendekatan Ekonomi MADANI memberi penekanan kepada pembangunan yang seimbang antara kemajuan teknologi, kemampanan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.
Dengan strategi yang tersusun, Malaysia mempunyai peluang besar untuk muncul sebagai sebuah ekonomi masa depan yang bukan sahaja berkembang, tetapi mampu bertahan menghadapi gelombang krisis global.
Maklumat penulis
Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik Technology and Supply Chain Excellence Institute (TESCE) Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Hendrik Lamsali