Apabila berbicara mengenai kecemerlangan mahasiswa, ramai masih mengukur kejayaan berdasarkan keputusan akademik semata-mata.
Hakikatnya, dunia hari ini memerlukan graduan yang bukan sahaja bijak di dalam bilik kuliah, malah mempunyai kepimpinan, kemahiran insaniah, daya tahan serta kesedaran terhadap tanggungjawab sosial dan alam sekitar.
Atas sebab itu, sepanjang saya menerajui Pusat Kokurikulum Universiti Utara Malaysia (UUM), saya sentiasa berusaha memperkukuh peranan kokurikulum sebagai platform pembangunan mahasiswa secara menyeluruh.
Kokurikulum bukan sekadar memenuhi keperluan kredit, tetapi menjadi medan membentuk graduan masa depan yang bersedia menghadapi cabaran global.
Seiring dengan aspirasi universiti, pendekatan kokurikulum juga perlu berkembang mengikut kehendak semasa.
Justeru, saya melihat keterangkuman tiga elemen utama iaitu Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dan Environmental, Social and Governance (ESG) wajar diterapkan dalam setiap program yang dilaksanakan.
Pendekatan ini akan diperkasakan melalui kerjasama strategik dengan Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI) serta Jabatan Sustainability UUM supaya setiap aktiviti kokurikulum bukan sahaja memberi pengalaman kepada pelajar, malah menyumbang kepada pembangunan kampus yang lebih hijau, lestari dan kondusif.
Antara program yang akan diperluaskan ialah Program Tanam Pokok yang melibatkan pelajar kokurikulum.
Inisiatif ini bukan sekadar aktiviti menanam anak pokok, sebaliknya mendidik mahasiswa menghargai alam sekitar, mengurangkan jejak karbon, memupuk semangat sukarelawan serta membina rasa tanggungjawab terhadap kelestarian bumi.
Saya percaya setiap pokok yang ditanam membawa seribu harapan.
Ia melambangkan komitmen mahasiswa terhadap masa depan yang lebih baik, selain menyokong agenda SDG, memperkukuh amalan EKSA dan memperkasakan budaya ESG dalam kalangan warga universiti.
Dalam masa yang sama, pelajar turut memperoleh pengalaman mengurus program, bekerja secara berpasukan, berinteraksi dengan komuniti serta memimpin pelbagai aktiviti.
Pengalaman seperti inilah yang membentuk keyakinan diri, kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan kepimpinan iaitu nilai tambah yang amat dihargai oleh majikan pada masa kini.
Saya juga berharap ibu bapa terus menggalakkan anak-anak menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum.
Kejayaan sebenar seseorang graduan bukan hanya terletak pada keputusan peperiksaan, tetapi pada kemampuan mereka menjadi individu yang berintegriti, bertanggungjawab, prihatin terhadap masyarakat dan mampu menyumbang kepada negara.
Akhirnya, saya menyeru seluruh mahasiswa UUM agar menjadikan setiap program kokurikulum sebagai peluang membina jati diri dan mencipta impak positif.
Bersama-sama kita melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah menjadi pemimpin masa depan yang menghayati nilai kelestarian, kesejahteraan dan tadbir urus yang baik.
Kokurikulum bukan sekadar aktiviti mahasiswa. Kokurikulum ialah medan membentuk graduan masa depan.
Maklumat penulis:
Pengarah Pusat Kokurikulum, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Zai'm Ahmad
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my