Fenomena scroll tanpa henti telah menjadi sebahagian daripada rutin harian yang sukar dipisahkan dalam kalangan mahasiswa hari ini sehingga mula menjejaskan waktu tidur, tumpuan pembelajaran dan kualiti interaksi sosial mereka. Situasi biasa memaparkan bagaimana seorang pelajar pada jam dua pagi masih menatap skrin telefon di bilik kolej kediaman, bermula dengan niat asal sekadar memeriksa satu notifikasi media sosial sebelum tidur. Bagaimanapun, kitaran algoritma yang membawa daripada satu video ke video yang lain tanpa sedar menghabiskan masa hampir dua jam, menyebabkan mangsa terjaga lewat, terlewat menghadiri kelas, dan gagal menyiapkan tugasan akademik yang sepatutnya dihantar pada hari tersebut. Walau tidak dinafikan bahawa media sosial menawarkan pelbagai manfaat murni seperti akses pantas kepada maklumat dan jaringan komunikasi yang luas, penggunaannya yang berlebihan secara tidak terkawal boleh membawa kepada ketagihan kronik yang menjejaskan kesejahteraan akademik dan kehidupan seharian pelajar.
Perkembangan teknologi digital dan capaian internet yang semakin meluas di seluruh pelosok negara kini menjadikan platform media sosial Instagram, TikTok, X dan Facebook sebagai sebahagian penting dalam urusan harian mahasiswa. Platform-platform pintar ini secara meluas diguna pakai untuk berkomunikasi, mendapatkan maklumat penting, mengikuti perkembangan semasa serta menyokong tujuan pembelajaran digital. Walau bagaimanapun, penggunaan yang terlalu kerap dan tanpa sebarang kawalan kendiri telah mencetuskan krisis ketagihan media sosial yang semakin ketara dalam kalangan golongan muda.
Faktor utama yang menyumbang kepada lonjakan ketagihan ini adalah kewujudan kandungan digital yang sentiasa dikemas kini dan direka khas secara psikologi untuk menarik perhatian pengguna dalam tempoh yang lama. Ciri-ciri interaktif seperti format video pendek, lambakan notifikasi segera dan kepintaran algoritma yang mencadangkan kandungan berdasarkan minat spesifik pengguna menjadi faktor penolak yang kuat untuk pelajar untuk terus meluangkan masa menghadap skrin pintar mereka. Ditambah pula dengan tekanan sosial untuk sentiasa mengikuti trend semasa serta keinginan tinggi mendapatkan pengiktirafan luaran melalui jumlah tanda suka (likes), komen atau perkongsian semula, tingkah laku mahasiswa di alam maya menjadi semakin sukar dikendalikan.
Dari sudut analisis impak, ketagihan siber ini memberi kesan rantaian yang amat negatif terhadap prestasi akademik dan kualiti peribadi seseorang mahasiswa. Masa yang sepatutnya digunakan untuk mengulang kaji pelajaran, menelaah buku teks, atau menyiapkan tugasan sering dihabiskan dengan melayari media sosial. Keadaan ini secara drastik mengundang kepada penurunan prestasi akademik, gangguan pola tidur yang kritikal, serta kesukaran untuk memberi tumpuan penuh semasa sesi kuliah sedang berlangsung di dalam kelas. Lebih membimbangkan, pendedahan yang berterusan kepada kandungan digital yang memaparkan kehidupan ideal individu lain sering kali menimbulkan perasaan rendah diri, tekanan emosi dan kebimbangan melampau.
Tinjauan kesihatan mental melalui kajian ilmiah oleh Keles, McCrae dan Grealish (2020), mengesahkan bahawa penggunaan media sosial yang berlebihan mempunyai kaitan langsung dengan peningkatan tahap kebimbangan, kemurungan dan tekanan psikologi dalam kalangan golongan muda. Dapatan kajian tersebut menjadi bukti kukuh bahawa penggunaan media sosial secara tidak terkawal mampu merosakkan kesejahteraan emosi dan kesihatan mental pengguna sekiranya tidak dibendung dengan perhatian yang serius bagi memastikan kecemerlangan pelajar universiti dapat dipelihara.
Sorotan statistik global yang membimbangkan turut menyokong hakikat betapa runcingnya kemelut ketagihan digital ini melanda masyarakat moden. Kajian komprehensif yang dijalankan oleh DataReportal menunjukkan bahawa pengguna internet di seluruh dunia kini menghabiskan purata masa melebihi dua jam semata-mata di platform media sosial. Dalam kalangan golongan muda yang berusia 18 hingga 24 tahun, tempoh masa penggunaan adalah lebih tinggi berbanding kumpulan umur lain. Laporan daripada Pew Research Center turut mendapati bahawa sebahagian besar belia mengakses akaun media sosial mereka beberapa kali sehari, malah ada yang dikesan menggunakannya hampir secara berterusan sepanjang hari. Di peringkat domestik pula, pasaran di Malaysia mencatatkan trend penggunaan telefon pintar dan media sosial dalam kalangan pelajar universiti yang terus meningkat seiring dengan perkembangan pembelajaran digital dan komunikasi dalam talian.
Statistik ini menunjukkan bahawa media sosial telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian pelajar. Namun, penggunaan yang berlebihan boleh menjejaskan produktiviti, pola tidur dan kesejahteraan mental. Oleh itu, ketagihan media sosial merupakan isu yang memerlukan perhatian dan pengurusan masa yang lebih berkesan.
Kesan terhadap kehidupan sosial dan hubungan interpersonal mahasiswa juga tidak boleh dipandang remeh akibat penularan ketagihan skrin ini. Dari sudut hubungan kemasyarakatan, penggunaan media sosial yang melampau dikesan mengurangkan kadar interaksi secara bersemuka dengan rakan, keluarga serta masyarakat di sekeliling mereka. Lama-kelamaan, pelajar universiti yang terperangkap dalam dunia maya ini akan menjadi kurang aktif dalam aktiviti sosial fizikal dan kurang mahir untuk membina hubungan interpersonal yang sihat di dunia nyata. Kecenderungan untuk menangguhkan kerja atau tugasan kerana lebih banyak masa dihabiskan untuk melayari media sosial akhirnya akan meningkatkan tahap stres dan tekanan apabila tarikh akhir penghantaran tugasan semakin hampir. Oleh yang demikian, usaha untuk mewujudkan titik keseimbangan antara penggunaan media sosial dan interaksi di dunia sebenar amat penting bagi memastikan perkembangan diri mahasiswa berjalan secara sihat dan seimbang.
Mengupas perspektif Islam mengenai tataetika penggunaan teknologi, pada asasnya penggunaan media sosial dan kemudahan internet adalah dibenarkan selagi mana ia tidak membawa kepada kemudaratan fizikal mahupun spiritual. Islam amat menekankan konsep kesederhanaan atau (wasatiyyah) dalam setiap aspek kehidupan manusia, termasuklah dalam urusan pembahagian masa dan pemilihan hiburan. ALLAH SWT secara tegas mengingatkan umat manusia agar tidak sesekali membazirkan masa dan sentiasa memelihara amanah waktu yang telah dikurniakan. Peringatan ini jelas termaktub menerusi firman ALLAH dalam Surah al-'Asr yang menegaskan bahawa seluruh umat manusia berada dalam keadaan kerugian kecuali mereka yang beriman, beramal soleh serta saling berpesan kepada kebenaran dan kesabaran. Ayat ini membuktikan kepentingan menghargai masa dan memanfaatkannya untuk perkara yang membawa kebaikan. Oleh itu, ketagihan media sosial yang sehingga melalaikan tanggungjawab utama sebagai seorang pelajar boleh dianggap sebagai satu bentuk kelalaian yang perlu dielakkan.
Sebagai langkah penyelesaian yang membawa manfaat, para pelajar universiti amat digalakkan untuk menukar corak penggunaan media sosial mereka secara berhemah dengan memilih kandungan yang benar-benar memberikan nilai tambah ilmu dan tanggungjawab akademik. Umat Islam turut dituntut untuk sentiasa menjaga kesucian hati dan ketajaman minda daripada perkara yang boleh mencetuskan fitnah, perbandingan sosial yang negatif serta gangguan emosi yang merosakkan. Dengan mengamalkan disiplin diri yang ketat, menetapkan niat yang betul, serta mengehadkan waktu skrin, media sosial mampu diubah menjadi instrumen yang memberi manfaat besar, bukannya sebagai alat yang melalaikan.
Kesedaran dan kawalan kendiri yang utuh amat penting bagi memastikan kehidupan akademik dan kesejahteraan diri para mahasiswa sentiasa seimbang. Kisah mahasiswa yang terperangkap dalam jerat masa digital harus menjadi pengajaran berat agar generasi muda hari ini lebih bijak menguruskan masa, membina benteng disiplin dan tidak membiarkan masa depan mereka terlebur di sebalik skrin pintar.
Maklumat penulis:
Pelajar Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu, Universiti Sains Islam Malaysia, Puteri Balqis Abdul Nasir dan Pensyarah, Dr Afiqah Mior Kamarulbaid
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my