Penularan trend penyalahgunaan vape yang dikesan mengandungi bahan dadah sintetik berbahaya dalam remaja kini mencetuskan kebimbangan parah, susulan kandungan tular di media sosial yang memaparkan individu berada dalam keadaan tidak normal selepas mengambilnya. Penggunaan peranti rokok elektronik yang asalnya kerap kali disalah anggap sebagai alternatif merokok, kini telah dimanipulasi oleh sindiket narkotik sebagai medium penyebaran bahan terlarang secara halus. Fenomena ini menjadi semakin meruncing apabila kesan buruk daripada pengambilan bahan tersebut mula dipamerkan secara terbuka di ruang maya, sekali gus menuntut perhatian segera daripada pihak berkuasa, institusi keluarga dan masyarakat bagi mengekang barah sosial ini daripada terus merosakkan modal insan negara.
Penggunaan istilah seperti piu piu dan magic mushroom secara meluas tidak rasmi di platform digital kontemporari seperti Threads telah menarik perhatian masyarakat awam selepas istilah-istilah tersebut dikaitkan secara langsung dengan aktiviti menghisap cecair vape yang mengandungi bahan kimia terlarang. Pengambilan bahan tersebut dikenal pasti mampu mencetuskan kesan halusinasi yang melampau serta mengakibatkan perubahan tingkah laku yang mendadak secara drastik. Penularan beberapa klip video pendek di media sosial yang telah memaparkan sekumpulan remaja, berada dalam keadaan yang tidak stabil hilang pertimbangan diri dan khayal setelah menyedut vape berkenaan. Jelas membuktikan bahawa ancaman ini bukan lagi sekadar spekulasi, melainkan satu realiti yang sedang meracuni minda anak muda.
Pendedahan konkrit daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menjelaskan bahawa label magic mushroom yang kerap kali dipopularkan oleh pengguna media sosial sebenarnya merujuk kepada dadah sintetik yang sangat berbahaya.
Hasil ujian makmal rasmi mendapati bahawa majoriti kes yang dikaitkan dengan trend tersebut melibatkan penggunaan synthetic cannabinoids atau ganja tiruan yang telah diproses secara kimia dalam bentuk cecair khusus untuk kegunaan rokok elektronik. Bahan kimia buatan ini terbukti mampu mengakibatkan kesan sampingan kronik termasuklah halusinasi melampau, perubahan tingkah laku agresif serta peningkatan risiko mencederakan diri sendiri mahupun orang awam di sekeliling. Lebih membimbangkan, penggunaan bahan kimia misteri yang tidak diketahui formula asalnya ini bukan sahaja menyukarkan prosedur perubatan kecemasan di hospital, malah mempercepatkan kadar ketagihan tegar bagi tempoh jangka masa panjang.
Langkah intervensi yang agresif bakal digerakkan oleh pihak AADK menerusi penggunaan kit ujian khas bermula Jun 2026 bagi mengesan kehadiran dadah berbahaya generasi baharu seperti fentanyl, synthetic cannabinoid, kokain dan juga psilocybin (magic mushroom tulen) sampel cecair serta bahan larangan yang disyaki. Ketegasan penguatkuasaan ini disokong kuat oleh data statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN). Berdasarkan laporan rasmi, rekod rampasan cecair vape bermula dari tahun 2024 sehingga Mac 2025 menunjukkan trend peningkatan purata bulanan yang sangat ketara. Sepanjang 2024, sebanyak 64 kes rampasan berkaitan cecair vape bernarkotik telah direkodkan, manakala hanya dalam tempoh tiga bulan pertama 2025 (Januari hingga Mac), pihak berkuasa telah pun mencatatkan sebanyak 32 kes. Angka ini membuktikan penyalahgunaan peranti vape sebagai perkakas dadah sintetik bukan lagi satu isu terpencil, melainkan satu ancaman kritikal yang sedang berkembang pantas.
Normalisasi budaya hedonisme digital menerusi penyebaran video-video pendek berkaitan magic mushroom di media sosial didapati turut membuka ruang polemik yang besar mengenai sejauh mana kandungan siber mampu merosakkan moral golongan belia. Paparan visual yang menonjolkan aksi menghisap vape bernarkotik secara terbuka tanpa tapisan berisiko tinggi membina persepsi songsang dalam pemikiran remaja bahawa perbuatan keji tersebut hanyalah sekadar trend moden yang normal atau sebahagian daripada gaya hidup kontemporari. Jeratan algoritma digital yang tidak memaparkan risiko kesihatan sebenar boleh mengelirukan penonton muda, sekali gus menuntut para pengurus kandungan media sosial untuk bersikap lebih bertanggungjawab dan beretika dalam menyebarkan sebarang hantaran agar tidak menjadi ejen yang mempromosikan budaya merosakkan.
Sebagai faedah dan pengajaran manusiawi buat pembaca portal, usaha holistik bagi memutuskan rantaian gejala ini sama sekali tidak boleh diserahkan kepada operasi penguatkuasaan undang-undang semata-mata. Golongan pakar sosiologi mengingatkan bahawa penglibatan dalam penyalahgunaan dadah sintetik bukan sahaja merosakkan sistem saraf dan kesihatan mental remaja, malah berpotensi besar menghancurkan prestasi akademik, meretakkan hubungan kekeluargaan serta menutup peluang membina kerjaya yang cemerlang pada masa hadapan. Oleh itu, peranan ibu bapa dan institusi pendidikan dalam memperkasakan pemantauan aktiviti dalam talian, mengekalkan komunikasi dua hala yang berkesan serta memberikan bimbingan awal mengenai bahaya narkotik moden merupakan benteng pertahanan paling utama bagi menyelamatkan anak-anak daripada terpengaruh dengan kandungan digital yang manipulatif.
Disorot dari saujana Islam, segala perbuatan yang membawa kepada penyalahgunaan dadah serta pengambilan bahan yang memudaratkan akal fikiran dan tubuh badan adalah dilarang keras secara mutlak. Prinsip syariat Islam amat menitikberatkan pemeliharaan nyawa (Hifz an-Nafs) serta penjagaan akal (Hifz al-Aql) sebagai teras utama dalam kesejahteraan hidup manusia. Oleh yang demikian, setiap individu Muslim memikul tanggungjawab moral yang besar untuk menjauhi sebarang perkara yang boleh membawa kemusnahan diri dan mengancam keselamatan masyarakat sekeliling. Kerjasama yang padu antara komuniti, pengendali platform digital dalam menyekat video tular luapan dadah serta ketegasan agensi keselamatan merupakan kunci utama demi memastikan ruang siber dan realiti kehidupan Malaysia kekal harmoni, selamat, dan bebas daripada barah narkotik sintetik demi generasi masa hadapan.
Maklumat penulis:
Pelajar Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu, Universiti Sains Islam Malaysia, Nurin Humaira Nazri Kamar dan Pensyarah, Dr Afiqah Mior Kamarulbaid
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my