Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memantau rapi keselamatan pelajar Malaysia di negara-negara Asia Barat dengan mendapatkan panduan daripada Kementerian Luar Negeri (KLN) susulan ketegangan di rantau itu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, KPT mengambil maklum perkembangan itu, termasuk amaran perjalanan yang dikeluarkan Amerika Syarikat kepada rakyatnya supaya meninggalkan rantau itu dan akan mengambil semua langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan pelajar Malaysia.
Beliau berkata di peringkat KPT, sumber rujukan utama ialah KLN dan kementerian akan mendapatkan panduan daripada KLN bagi memastikan keadaan pelajar-pelajar Malaysia yang sedang belajar di sana sentiasa dipantau.
"Dalam krisis yang melibatkan Iran ini, kita tahu dasar luar Amerika Syarikat sentiasa berubah-ubah. Hari ini mungkin keputusannya begini, esok mungkin berbeza. Apa pun, kami akan mengambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu bagi memastikan keberadaan rakyat Malaysia, khususnya pelajar-pelajar kita di negara-negara Asia Barat sentiasa dipantau dan keselamatan mereka terjamin," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penutup Program Karisma Antarabangsa: Kenegaraan Malaysia Madani 2026 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zambry berkata, sebanyak 456 pelajar Malaysia bakal melanjutkan pengajian ke Mesir, Jordan dan Maghribi yang dijadualkan berlepas 1 September ini telah menyertai Program Karisma Antarabangsa yang dianjurkan KPT dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM).
Beliau berkata, setakat ini KPT tidak menerima maklumat yang menunjukkan keadaan di Mesir, Jordan dan Maghribi menjejaskan pelajar Malaysia, namun KPT bersedia mengambil tindakan segera sekiranya terdapat sebarang perkembangan.
Menurut Zambry, program (AKM) itu memberi peluang kepada pelajar menerima taklimat, mendapatkan panduan serta berinteraksi secara langsung dengan pihak kementerian, selain memastikan aspek kebajikan mereka terus dipelihara.
"Kami telah memastikan semua pejabat Education Malaysia, termasuk di Mesir dan Jordan, sentiasa bersedia. Bagi Maghribi pula, walaupun kita tidak mempunyai pejabat Education Malaysia di sana, urusannya diselaraskan melalui pejabat di Mesir," katanya.
Zambry ketika mengulas mengenai jumlah pelajar Malaysia di Asia Barat berkata terdapat ribuan di Mesir, di Jordan dianggarkan antara 1,000 hingga 2,000 orang manakala jumlah pelajar di Maghribi masih kecil tetapi semakin meningkat.
Beliau berkata, pelajar Malaysia di Mesir bukan sahaja mengikuti pengajian agama, malah turut melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, pergigian, farmasi serta bidang profesional lain yang diperlukan negara.
Terdahulu, Zambry dalam ucapannya berkata pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian ke luar negara menjadi aset strategik negara dan diharap kembali menyumbang ilmu serta kepakaran kepada pembangunan negara selepas menamatkan pengajian.
Beliau turut mengingatkan proses menuntut ilmu tidak seharusnya terhad kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu disertai pembentukan akhlak menerusi konsep ta'lim (mengajar ilmu), tarbiah (membentuk insan) dan ta'dib (membina adab dan akhlak).
Zambry juga berkata, Malaysia kini menjadi destinasi pelajar dari kira-kira 180 negara, sekali gus mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kualiti serta daya saing sistem pendidikan tinggi negara.
Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan institusi pengajian tinggi tempatan terus mendapat pengiktirafan global dan tidak hanya bergantung kepada kemasukan pelajar dari sesebuah negara tertentu. - Bernama