JPA buka permohonan program Dermasiswa B40 Tahun 2026

Iklan
Program DB40 ialah inisiatif kerajaan bagi memperluas akses pendidikan tinggi kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah melalui tajaan berbentuk dermasiswa.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuka permohonan Program Dermasiswa B40 (DB40) Tahun 2026 kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 daripada keluarga B40, yang berkelayakan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di Institusi Pengajian Tinggi dalam negara.

Dalam kenyataan media, JPA memaklumkan permohonan bagi program itu dibuka mulai 3 Ogos 2026 pada 2 petang hingga 16 Ogos 2026 pada 5 petang menerusi Portal Penajaan JPA, https://penajaan.jpa.gov.my.

Iklan
Iklan

Program DB40 ialah inisiatif kerajaan bagi memperluas akses pendidikan tinggi kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah melalui tajaan berbentuk dermasiswa.

"Menerusi program ini, pelajar berpeluang melanjutkan pengajian diploma di Universiti Awam (UA), Politeknik, TVET MARA dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) terpilih dalam bidang-bidang strategik yang menyokong pembangunan modal insan negara," menurut kenyataan itu.

Iklan

Antara bidang pengajian yang layak dipohon ialah Kejuruteraan dan Teknologi; Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); Sains Sosial dan Sastera; Sains; serta Seni Bina.

Bagi melayakkan diri, pemohon hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut iaitu warganegara Malaysia dan menduduki peperiksaan SPM Tahun 2025 buat kali pertama.

Iklan

Pemohon juga perlu berumur di bawah 19 tahun atau di bawah 20 tahun bagi pelajar peralihan pada 31 Disember tahun peperiksaan diduduki dan bebas daripada penyakit kronik atau penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan pengajian.

Selain itu, pemohon perlu mempunyai pendapatan perkapita keluarga dalam kategori B40, iaitu RM5,249.00 sebulan dan ke bawah.

"Di samping itu, ibu bapa dan/ atau pemohon hendaklah tidak disenarai hitam oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang-undang JPA.

"Semakan status senarai hitam boleh dibuat melalui sistem eSILA mulai 3 Ogos hingga 12 Ogos 2026," menurut kenyataan itu.

JPA menggalakkan semua lepasan SPM Tahun 2025 yang memenuhi syarat kelayakan supaya merebut peluang ini dengan mengemukakan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan.

Program Dermasiswa B40 adalah antara usaha berterusan JPA dalam menyokong akses kepada pendidikan tinggi bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing.

Sebarang pertanyaan sepanjang tempoh permohonan boleh dikemukakan melalui talian 03-8000 8000 atau e-mel dermasiswa2026@jpa.gov.my pada waktu operasi hari bekerja. - Bernama