Pendahuluan
Sekiranya ditanya tentang cita-cita, berapa ramai agaknya pelajar sekolah hari ini yang akan menjawab, “Saya mahu menjadi seorang ahli agroteknologi atau pakar biak baka atau pengusaha pertanian pintar atau usahawan biji benih”? Mungkin tidak ramai.
Bidang pertanian masih sering dibayangkan sebagai pekerjaan di bawah terik matahari, panas, berlumpur, kotor, menggunakan banyak tenaga dan memberikan pendapatan yang tidak menentu. Para pelajar lebih mudah tertarik kepada kerjaya sebagai doktor, jurutera, peguam atau pakar teknologi maklumat berbanding saintis tanaman, jurutera pertanian atau usahawan agromakanan.
Persepsi ini kelihatan kecil, tetapi implikasinya adalah amat besar kepada keterjaminan makanan negara. Kerana anak muda hari ini merupakan bakal petani, penyelidik, teknologis dan pembuat dasar pada masa hadapan. Jika mereka tidak berminat terhadap pertanian, siapa yang akan menghasilkan makanan untuk negara dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang?
Petani semakin berusia, pelapis muda masih kurang
Data menunjukkan satu trend yang jelas di mana sektor pertanian kita semakin berusia, tetapi pelapis muda masih kurang. Data Banci Pertanian 2024 memberikan gambaran yang membimbangkan. Hampir separuh daripada pengusaha pertanian individu di negara ini berumur 60 tahun dan ke atas, sedangkan golongan berumur 15 hingga 30 tahun hanya sekitar tiga peratus. Jika keadaan ini berterusan, negara mungkin berdepan kekurangan generasi pelapis dalam sektor pertanian.
Petani berpengalaman merupakan aset besar kepada negara. Mereka mempunyai pengetahuan tentang tanah, tanaman, cuaca dan pengurusan ladang yang tidak semestinya terdapat dalam buku. Namun, jika bilangan generasi pelapis terlalu kecil, siapakah yang akan meneruskan dan mewarisi pengetahuan dan perusahaan mereka? Kita mungkin mempunyai tanah, teknologi dan pelbagai dasar pertanian. Namun, semuanya tidak akan memberikan hasil tanpa sumber manusia yang berminat, terlatih dan bersedia menggerakkan sektor tersebut.
Minat perlu bermula di sekolah
Masalah kekurangan generasi pelapis bermula lebih awal iaitu di rumah dan di sekolah keran disinilah minat terhadap sains juga masih perlu diperkukuh. Data KPM menunjukkan enrolmen murid dalam bidang STEM meningkat daripada 40.95 peratus pada 2021 kepada 50.83 peratus setakat Jun 2024, tetapi masih belum mencapai sasaran 60 peratus. Lebih penting, Indeks Tahap Pembudayaan STEM pada 2023 hanya mencatat skor keseluruhan 46.77 dan masih berada pada tahap rendah. Ini bermakna pertambahan bilangan murid dalam aliran STEM belum semestinya disertai minat, penghayatan dan keyakinan yang kukuh terhadap bidang tersebut. Ini bermakna cabarannya bukan sekadar bilangan murid yang memilih pakej STEM. Kita juga perlu memastikan mereka benar-benar melihat sains sebagai sesuatu yang menarik, dekat dengan kehidupan dan mempunyai masa hadapan. Jika minat terhadap sains masih belum kukuh, pertanian mungkin menghadapi cabaran yang lebih besar kerana bidang ini sering dianggap kurang moden berbanding bidang perubatan, kejuruteraan atau teknologi digital. Sedangkan pertanian masa kini sebenarnya menggabungkan hampir semua cabang STEM.
Sebagai contoh, untuk membangunkan tanaman tahan perubahan iklim, kita memerlukan pengetahuan di dalam bidang genetik dan bioteknologi; untuk mengesan penyakit tanaman, kita memerlukan teknologi sensor, dron dan kecerdasan buatan; untuk mengurus air dan baja secara tepat, kita memerlukan automasi serta analisis data; untuk membawa hasil dari ladang kepada pengguna, kita memerlukan teknologi makanan, logistik, pemasaran digital dan keusahawanan. Pertanian bukan suatu bidang yang terpisah daripada teknologi. Pertanian merupakan antara pengguna teknologi yang paling penting.
Di mana anak-anak boleh mengenali pertanian? Adakah ianya memadai?
Persoalan seterusnya ialah sejauh mana pelajar sekolah mendapat peluang mengenali pertanian secara bermakna. Di bawah KPM, terdapat tiga buah Sekolah Menengah Teknik yang menawarkan kursus barkaitan Sains Pertanian. Mata pelajaran berkaitan sains pertanian juga turut ditawarkan di sekolah menengah terpilih melalui elektif teknikal. Namun, aksesnya belum benar-benar meluas dan seragam. Untuk membuka kelas Sains Pertanian, sekolah memerlukan bilangan murid yang mencukupi, guru beropsyen serta bilik atau kemudahan khas. Apabila permintaan murid rendah, sekolah sukar menawarkan mata pelajaran tersebut. Apabila mata pelajaran tidak ditawarkan, semakin sedikit murid mengenali pertanian sebagai bidang pengajian dan kerjaya.
Tanpa pendedahan dari bangku sekolah, sukar untuk mengharapkan anak muda memilih bidang yang tidak pernah mereka kenali. Jika pelajar tidak diperkenalkan kepada pertanian moden, mereka mungkin terus melihatnya sebagai pekerjaan tradisional dan bukan sebagai kerjaya berasaskan sains, teknologi dan inovasi.
Kita tidak semestinya perlu menjadikan Sains Pertanian mata pelajaran wajib. Namun, setiap murid wajar mendapat pengalaman asas tentang bagaimana makanan dihasilkan. Mereka perlu memahami bahawa nasi tidak bermula di pasar raya, sayur tidak muncul begitu sahaja di rak jualan dan bekalan makanan tidak sentiasa terjamin.
Apa akan berlaku jika keadaan ini berterusan?
Kesan pertama ialah negara berisiko kehilangan generasi pelapis. Ladang yang tidak diwarisi atau diusahakan boleh terbiar, mengecil atau ditukar kepada kegunaan lain. Pengetahuan petani berpengalaman juga mungkin hilang tanpa sempat dipindahkan kepada generasi seterusnya.
Kesan kedua ialah penggunaan teknologi pertanian menjadi lebih perlahan. Kerajaan dan institusi penyelidikan boleh membangunkan dron, sensor, varieti baharu dan sistem automasi, tetapi teknologi itu memerlukan tenaga kerja yang mampu mengguna, menyelenggara dan melakukan penambahbaikan.
Kesan ketiga ialah negara mungkin semakin bergantung pada makanan import, termasuk beras yang menjadi makanan ruji rakyat Malaysia. Berdasarkan data terkini yang diterbitkan oleh DOSM bagi 2024, pengeluaran tempatan hanya memenuhi 52.9 peratus keperluan beras negara. Kadar sara diri cili pula hanya 35.8 peratus dan bawang merah 0.01 peratus. Pada masa sama, kebergantungan import bagi daging lembu dan daging kambing masing-masing mencecah 83.5 dan 92.1 peratus. Tanpa penyertaan generasi muda, usaha meningkatkan pengeluaran makanan tempatan akan menjadi semakin mencabar.
Import bukan sesuatu yang salah. Tetapi apabila negara terlalu bergantung pada bekalan luar, perubahan kadar mata wang, sekatan eksport, peperangan atau gangguan cuaca di negara pengeluar boleh mempengaruhi harga dan bekalan makanan kita.
Kesan keempat ialah negara mungkin mempunyai ramai pengguna teknologi tetapi tidak cukup pencipta teknologi dan inovasi pertanian. Kita mahu anak muda bukan sekadar membeli sistem fertigasi, dron atau benih dari luar, tetapi mampu mereka cipta, menghasilkan dan mengkomersialkan teknologi sendiri.
Pertanian perlu diperkenalkan dengan wajah baharu
Untuk menarik anak muda, kita perlu berhenti memperkenalkan pertanian hanya sebagai kerja di ladang. Pertanian moden menawarkan pelbagai laluan kerjaya, antaranya pengendali serta penganalisis data dron, pakar pertanian pintar dan automasi, jurutera sistem pengairan, pakar kesihatan tanah, saintis makanan, pakar biak baka tanaman, usahawan benih dan bahan tanaman, pengurus rantaian bekalan dan pemasar produk agromakanan.
Seorang anak muda yang meminati komputer masih boleh membina kerjaya dalam pertanian melalui kecerdasan buatan dan analisis data. Mereka yang meminati kejuruteraan boleh membangunkan robot penuaian. Pelajar yang menyukai biologi boleh membangunkan tanaman tahan penyakit. Mereka yang kreatif dalam perniagaan boleh membina jenama makanan tempatan. Pertanian bukan lagi pilihan untuk mereka yang “tidak mempunyai pilihan lain”. Ia ialah industri masa hadapan yang memerlukan individu berilmu, kreatif dan berkemahiran tinggi.
Jadikan sekolah tempat lahirnya minat
Sekolah tidak semestinya memerlukan ladang yang luas untuk memperkenalkan pertanian. Kebun kecil, sistem hidroponik, fertigasi mini, tanaman dalam bekas atau projek pengkomposan sudah memadai sebagai permulaan. Pelajar boleh diberi peluang menggunakan sensor kelembapan tanah, merakam pertumbuhan tanaman, menguji kesan baja, membangunkan sistem penyiraman automatik atau menjual hasil melalui projek keusahawanan. Aktiviti seperti ini menghubungkan sains, matematik, teknologi, alam sekitar dan perniagaan dalam satu pengalaman sebenar.
Program lawatan juga perlu berubah. Pelajar bukan hanya dibawa melihat ladang tradisional, tetapi turut didedahkan kepada makmal pembiakbakaan, kilang pemprosesan makanan, pertanian persekitaran terkawal, penggunaan dron dan syarikat agroteknologi.
MARDI, Jabatan Pertanian, pemain industri dan institusi pengajian tinggi yang menawarkan program pertanian boleh menjadikan sekolah sebagai rakan bimbingan. Saintis dan usahawan muda perlu masuk ke sekolah untuk berkongsi kisah kerjaya mereka. Pelajar pula perlu dibawa ke tempat teknologi pertanian dibangunkan dan digunakan. Atas kesedaran ini, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, UiTM telah menjalin hubungan kerjasama terutama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dalam memupuk minat dalam bidang pertanian melalui aktiviti-aktiviti sama ada di sekolah terpilih ataupun lawatan pelajar sekolah ke kampus bagi mendedahkan pelajar-pelajar sekolah dengan bidang pertanian. Pendedahan dan interaksi bersama pensyarah dan mahasiswa program berkaitan perladangan dan agroteknologi ini dapat memberi impak kepada minat pelajar dalam bidang pertanian dan membantu pelajar- pelajar sekolah melihat bahawa pertanian mempunyai asas saintifik serta potensi komersial yang nyata.
Sokongan ada, tetapi perlu bermula lebih awal
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyediakan Program Agropreneur Muda kepada warganegara berumur antara 18 hingga 43 tahun. MARDI pula menjadi antara agensi yang memberikan latihan teknikal dan bimbingan kepada peserta. Inisiatif ini penting dan selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 serta Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 yang menekankan sektor agromakanan mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.
Kajian KPKM dan PNB Research Institute (PNBRI) pada 2026 mendapati kebolehpasaran graduan TVET Pertanian meningkat daripada 61 peratus pada 2018 kepada 76 peratus pada 2024 walaupun masih ketinggalan berbanding graduan daripada keseluruhan bidang TVET di negara ini. Ini menunjukkan bahawa potensinya ada, tetapi latihan, pendedahan industri dan laluan kerjaya pertanian masih perlu diperkukuh.
Perkembangan ini tepat pada masanya kerana pembangunan tenaga mahir pertanian perlu disusun berdasarkan keperluan industri sebenar. Namun, usaha menarik belia pada usia 18 tahun mungkin sudah agak lewat jika sepanjang zaman persekolahan mereka tidak pernah melihat pertanian sebagai bidang yang menarik. Minat perlu dipupuk sebelum mereka membuat pilihan mata pelajaran, program pengajian dan kerjaya.
Penutup
Keterjaminan makanan bukan tanggungjawab petani dan KPKM semata-mata. KPM, KPT, universiti, institusi penyelidikan, industri, sekolah dan ibu bapa mempunyai peranan yang sama penting. Menghasilkan makanan yang mencukupi, selamat dan mampu dibeli ialah antara cabaran terbesar dunia. Pertanian memberi peluang kepada anak muda untuk menyelesaikan cabaran itu melalui sains, teknologi, inovasi dan keusahawanan. Jika generasi muda terus melihat pertanian sebagai bidang masa lalu, keterjaminan makanan negara akan menjadi semakin rapuh.
Tetapi jika mereka melihatnya sebagai industri teknologi dan kerjaya masa hadapan, Malaysia bukan sahaja dapat melahirkan lebih ramai petani moden, malah saintis, inovator serta usahawan yang mampu menjaga bekalan makanan negara. Akhirnya, masa depan pertanian bukan hanya tentang apa yang kita tanam hari ini. Ia bergantung pada minat yang kita semai dalam diri anak-anak kita.
Maklumat penulis:
Dekan, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka, Kampus Jasin, Profesor Madya Ts Dr Shamsiah Abdullah