Seramai 200 pelajar dari sekolah-sekolah di Terengganu menyertai Blue School Malaysia Marine Camp 2026 anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), sekali gus memperkukuh usaha melahirkan generasi celik lautan menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Program yang diterajui UMT selaku Penyelaras Kebangsaan Blue School Malaysia di bawah UNESCO-IOC Blue School Global Network itu memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepentingan ekosistem marin, biodiversiti, pemuliharaan sumber laut serta peranan masyarakat dalam menyokong pembangunan Ekonomi Biru negara.
Pengarah Program Blue School Malaysia Marine Camp 2026 yang juga Penyelaras Kebangsaan Blue School Malaysia, Dr Afiq Durrani Mohd Fahmi berkata, program berkenaan merupakan platform strategik untuk mendekatkan generasi muda dengan ilmu kelautan menerusi pengalaman pembelajaran secara langsung.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, UMT berkata, Blue School bukan sekadar memberi pengetahuan berkaitan lautan, sebaliknya membentuk kesedaran serta rasa tanggungjawab dalam kalangan pelajar terhadap kelestarian sumber marin.
"Blue School memberi peluang kepada pelajar untuk belajar bersama alam, bukan sekadar tentang alam. Apabila mereka turun ke lapangan, memerhati ekosistem pantai, mengenali biodiversiti marin dan memahami cabaran sebenar yang dihadapi lautan, mereka bukan sahaja memperoleh ilmu, malah membina rasa tanggungjawab terhadap pemeliharaan sumber laut," katanya.
Menurut beliau, usaha membudayakan literasi lautan perlu bermula sejak di bangku sekolah memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara maritim yang mempunyai hubungan rapat dengan laut dari aspek ekonomi, keselamatan makanan, biodiversiti dan kesejahteraan masyarakat.
"Blue School menjadi platform yang menghubungkan pendidikan, penyelidikan, komuniti dan tindakan sebenar supaya murid bukan sahaja memahami kepentingan laut, malah terdorong menjadi ejen perubahan yang mampu menyumbang kepada kelestarian serta pembangunan Ekonomi Biru negara," katanya.
Blue School Malaysia merupakan sebahagian daripada usaha UNESCO-IOC melalui Blue School Global Network yang menggalakkan institusi pendidikan mengintegrasikan literasi lautan dalam pembelajaran melalui pendekatan rentas disiplin, aktiviti lapangan dan penglibatan komuniti.
Sebagai Universiti Fokus Marin, UMT memainkan peranan penting dalam memperkukuh agenda tersebut melalui kepakaran dalam bidang sains marin, oseanografi, biodiversiti, perikanan dan konservasi.
Kepimpinan UMT dalam bidang literasi lautan turut diperkukuhkan menerusi pelantikan Dr Afiq Durrani sebagai Ahli Kumpulan Pakar Ocean Literacy UNESCO-IOC, yang membolehkan universiti berkenaan menyumbang kepada pembangunan agenda literasi lautan di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, peserta program, Muhammad Haris Mikhail Mansor dari Sekolah Kebangsaan Durian Mas 1, Terengganu berkata, penyertaan dalam Blue School Malaysia Marine Camp 2026 memberi pengalaman baharu tentang kepentingan menjaga kelestarian laut.
"Program ini sangat menyeronokkan kerana kami dapat belajar secara langsung tentang hidupan laut dan alam sekitar. Saya kini lebih faham mengapa kita semua perlu menjaga laut dan mengurangkan pencemaran supaya khazanah ini dapat dinikmati oleh generasi akan datang," katanya.
Program Blue School Malaysia Marine Camp 2026 mencerminkan komitmen UMT dalam memperluas pendidikan kelautan kepada masyarakat, khususnya golongan muda, sebagai langkah awal membina generasi yang berpengetahuan, bertanggungjawab dan bersedia menyokong agenda kelestarian lautan serta masa depan Ekonomi Biru Malaysia