Pensyarah UMT antara 3 penyelidik dunia dipilih sebagai Penyelidik Tamu Institusi Diraja Arab Saudi

Iklan
Pelantikan itu merupakan pengiktirafan terhadap kepakaran Dr Riswadi dalam bidang manuskrip Alam Melayu, khususnya berkaitan manuskrip al-Quran Diraja Terengganu sekali gus mengangkat keupayaan penyelidikan Malaysia dalam manuskrip al-Quran dan warisan tamadun Islam ke peringkat antarabangsa.

Pensyarah Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Riswadi Azmi dipilih antara tiga penyelidik dari seluruh dunia yang dilantik sebagai Penyelidik Tamu (Visiting Researcher) di King Abdulaziz Foundation for Research and Archives (DARAH), Riyadh, Arab Saudi.

Lebih membanggakan, beliau menjadi penyelidik pertama dari Asia Tenggara yang menyertai program Penyelidik Tamu yang julung kali diperkenalkan oleh institusi penyelidikan diraja Arab Saudi itu.

Iklan
Iklan

Bagi kohort sulung program tersebut, hanya tiga penyelidik dipilih masing-masing dari Malaysia, Jerman dan Australia.

Pelantikan itu merupakan pengiktirafan terhadap kepakarannya dalam bidang manuskrip Alam Melayu, khususnya berkaitan manuskrip al-Quran Diraja Terengganu sekali gus mengangkat keupayaan penyelidikan Malaysia dalam manuskrip al-Quran dan warisan tamadun Islam ke peringkat antarabangsa.

Iklan

Sepanjang tempoh pelantikan, beliau akan menjalankan penyelidikan yang memfokuskan analisis perbandingan manuskrip al-Quran dalam koleksi DARAH dengan tradisi penyalinan manuskrip al-Quran di Asia Tenggara, meliputi aspek seni iluminasi, khat, pembahagian ayat dan juzuk serta ciri-ciri kodikologi manuskrip. 

Iklan

Menurut Dr Riswadi, penyelidikan itu memfokuskan perkembangan tradisi penyalinan al-Quran dalam konteks sejarah Islam, di samping membuka ruang kepada jaringan kerjasama akademik yang lebih kukuh antara Malaysia dan Arab Saudi dalam bidang manuskrip Islam serta warisan budaya.

"Hasil penyelidikan ini diharap dapat diterbitkan dalam jurnal antarabangsa, dibentangkan pada persidangan ilmiah, selain dimanfaatkan untuk memperkukuh pengajaran, penyelidikan dan usaha pemeliharaan warisan manuskrip Islam di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMT, Profesor Dr Suriyani Muhamad berkata, pelantikan tersebut membuktikan pengiktirafan masyarakat akademik antarabangsa terhadap kecemerlangan penyelidikan warga universiti.

"Pengiktirafan ini bukan sahaja memperkukuh reputasi UMT sebagai universiti yang aktif memacu penyelidikan berimpak tinggi, malah membuka peluang memperluas kerjasama strategik dengan institusi penyelidikan bertaraf dunia, khususnya dalam bidang warisan Islam, manuskrip Melayu dan tamadun Islam," katanya.

DARAH merupakan institusi penyelidikan, arkib dan dokumentasi sejarah milik Kerajaan Arab Saudi yang berperanan memelihara serta membangunkan khazanah sejarah, manuskrip dan warisan kebangsaan.

Institusi itu menjadi antara pusat rujukan utama dunia bagi penyelidikan sejarah, manuskrip dan tamadun Islam.